Isnin, 11 Februari 2013

Pas saran BN beri Nasha tiket tanding PRU13

Wartawan Sinar Harian

Datuk Husam Musa
Datuk Husam Musa
 
KOTA BHARU – Barisan Nasional (BN) disaran beri peluang kepada bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang jika parti itu berminat dan memerlukan bekas orang nombor dua Pas itu.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, BN terutama Umno tidak harus mengetepikan Nasharudin dalam pilihan raya ini kerana beliau sudah bekerjasama dengan parti itu sejak 2008 lagi.

Antaranya, beliau didakwa pernah cuba melobi untuk menubuhkan kerajaan gabungan Pas dengan Umno di Selangor dua hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12).

"Nasharudin kelihatan seperti begitu cuba untuk membantu Umno dalam pelbagai hal hingga ketepi kepentingan Pas sendiri. Kerana itu, jika benar Umno perlukan dia, buka peluang untuk dia bertanding di mana-mana kerusi atau beri laluan di Bachok," katanya pada sidang media di Kota Darul Naim, semalam.

Husam berkata, pengguguran Nasharudin daripada Majlis Syura Ulama Pas bukan disebabkan kerjasamanya dengan Umno, tetapi ketidakhadirannya dalam beberapa mesyuarat Majlis Syura dan Pas Pusat.

"Kalau dia nak, dia boleh merayu semula. Saya cadangkan dia kembali, tetapi dengan syarat, dia mesti patuh pada peraturan dan hadir mesyuarat seperti biasa. Dia bukan Umno tapi semua kerja yang dilakukan adalah untuk membantu Umno.

"Kalau kita kahwin dan isteri main kayu tiga, dayuslah kalau kita tidak tegur perbuatan dia," katanya.

Menurutnya, pendekatan Pas adalah menepati matlamat untuk menukar dasar kerajaan yang zalim.

Tiada ulasan: