Isnin, 25 Februari 2013

Pakatan selesai runding lebih 700 kerusi

SINAR HARIAN

Mohd Hatta Mohd Ramli
Dr Mohd Hatta Mohd Ramli
 
SHAH ALAM -  Kepimpinan PKR-DAP-Pas selesai mengadakan rundingan mengenai pembahagian lebih 700 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU13), kata Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr Hatta Ramli.

Beliau berkata, kesemua parti bersedia menghadapi PRU13 yang akan diadakan tidak lama lagi dengan memastikan setiap kerusi ditandingi dibuat atas formula satu lawan satu.

"Sebanyak 798 kerusi Dun dan Parlimen akan ditandingi Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya umum kali ini yang merangkumi 222 kawasan Parlimen manakala selebihnya kerusi Dun.

"Daripada 798 kerusi ini, pembahagian kerusi untuk lebih 700 kerusi selesai dirundingkan," katanya ketika memberi amanat pada Konvensyen Pakatan Rakyat Keempat di sini hari ini.

Pada pilihan raya umum 2008, Barisan Nasional (BN) gagal memperoleh majoriti dua pertiga kerusi Parlimen apabila PKR memenangi 31 kerusi, DAP 27 dan Pas 23.

Dari segi negeri, PR berjaya menguasai lima negeri iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan mengekalkan Kelantan.

Bagaimanapun, tujuh anggota Parlimen daripada PKR memutuskan untuk keluar parti selepas pilihan raya itu dan menjadi wakil rakyat bebas manakala BN mengambil alih Perak setelah tiga Adun (dua daripada PKR dan seorang daripada DAP) keluar daripada parti masing-masing dan menjadi wakil rakyat bebas.

Hatta berkata pihaknya akan memberi penerangan kepada pengundi pos di luar negara untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar dan teliti.

Ketua Jentera Pilihan Raya DAP Pusat, Tan Kok Wai berkata, jentera PKR-DAP-Pas akan bergerak sebagai satu entiti iaitu sebagai PR menjelang pilihan raya umum di mana aktiviti berkempen akan diselaraskan di setiap peringkat pusat, Parlimen dan negeri.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PKR Pusat, Azmin Ali berkata, PR kini berada pada pecutan terakhir menjelang pilihan raya umum. - Bernama

Tiada ulasan: