Selasa, 5 Februari 2013

Pakatan jamin beri pendidikan percuma, hapus PTPTN

Oleh Ruqayya Rahman
SHAH ALAM : Pakatan Rakyat komited untuk terus memperjuang hak rakyat dengan memberi pendidikan percuma serta menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai jaminan mereformasi sistem pendidikan negara.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli optimis Malaysia bukan hanya mampu menyediakan pendidikan percuma, malah kemudahan pendidikan yang kondusif jika perbendaharaan negara diurus tadbir dengan baik.

Rafizi Unisel

"Belanjawan negara harus memberi keutamaan kepada aspek pendidikan dan bantuan perlu disasarkan kepada golongan susah dan miskin,” katanya.

Beliau menyampaikan forum bertajuk Pendidikan Percuma: Implikasi Kewangan kepada Malaysia pada Konvensyen Antarabangsa Pendidikan 2013 (KAP 2013) di Universiti Selangor (Unisel), di sini, hari ini.

Antara lain beliau menyentuh keperluan penggubalan dasar yang lebih mengutamakan aspek pendidikan.
Selain itu, hak dan kebajikan pelajar melibatkan isu berkaitan yuran, kos sara hidup, kemudahan pendidikan, kediaman dan pengagihan biasiswa secara terurus turut dikupas Rafizi.

Menjawab pertikaian sesetengah pihak berkaitan kemampuan Malaysia menyediakan pendidikan percuma, Rafizi menjelaskan, RM6.5 bilion yang diperlukan kerajaan bagi menampung penyediaan pendidikan percuma hanyalah sebahagian daripada nilai keuntungan yang diperolehi syarikat-syarikat tol dan lebuhraya.

“Ini sama banyak dengan untung yang diperolehi beberapa kerat tauke tol lebuh raya,” katanya.

Terdahulu, Ahli Biro Politik KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali menegaskan, Malaysia mampu untuk batalkan PTPTN dan beri pendidikan percuma.

“Pendapatan negara daripada minyak petrol dan sawit ialah RM150 bilion. Takkan bankrap,” katanya yang turut hadir KAP 2013 itu.

Tiada ulasan: