Roketkini.com
KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah melanggar Ikrar Integriti Pilihan Raya yang ditandatanganinya pada Rabu lalu iaitu sepanjang 15 hari Tahun Baru Cina, termasuk secara terbuka mengkhianati pirnsip 1Malaysia dan menggunakan agama mengapi-apikan bahawa “satu undi untuk PAS kepada satu undi perpecahan umat Islam dan satu undi untuk DAP adalah satu undi kepada penindasan terhadap umat Islam seluruhnya”.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, pembohongan Najib di Kuala Terengganu semalam bahawa PAS adalah boneka DAP adalah bercanggah dengan pembohongan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kepada pengundi Cina bahawa DAP “hanyalah sisa-sisa politik dalam bayangan PAS”.
Katanya, sikap tidak jujur, hipokrit dan oportunisme tidak berprinsip itu terbukti melanggar Ikrar Ingeriti Pilihan Raya TI untuk menjunjung prinsip “kebenaran, integriti, tatalaku beretika dan akauntabiliti”.
“Arahan bersifat memecahbelah dan perkauman kerana menayangkan secara eksklusif filem 13 Mei, Tanda Putera, kepada 3,000 peneroka Felda walaupun Kabinet membuat keputusan pada November lalu, seperti yang didedahkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, bahawa filem itu “tidak sesuai” untuk ditayangkan kerana “berat sebelah” dalam menggambarkan rusuhan 13 Mei 1969.
“Ini melanggar “tadbir urus yang baik serta ketelusan” Ikrar Ingeriti Pilihan Raya TI dan sepanjang15 hari sejak 9 Februari lalu Najib sibuk berkempen untuk memenangkan dirinya dan UMNO/Barisan Nasional (BN) sehingga tidak dapat meluangkan masa melawat Lahad Datu Sabah untuk mendapatkan maklumat terus mengenai ketakutan dan kebimbangan penduduk terhadap pencerobohan 150 pasukan bersenjata Sulu.
“Najib juga sepatutnya menjelaskan kepada rakyat mengapa terdapat kelompongan keselamatan yang begitu serius dan mengapa polis dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bukannya tentera dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang ditugaskan menguruskan krisis “pendudukan” militan Sulu itu,” katanya ketika berucap pada bengkel pilihan raya DAP Sarawak di ibu Pejabat DAP Kuching, di sini, semalam.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Najib juga melanggar prinsip “Rakyat Didahulukan” Ikrar Ingeriti Pilihan Raya “Mendukung dan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat secara keseluruhan”.
Katanya, ini bermakna Najib tidak jujur apabila melaporkan tiga hari lalu meniru laman web cybertrooper UMNO/BN dakwaan palsu bahawa kumpulan pemikir British Economist Intelligence Unit (EIU) menolak Pakatan Rakyat sebagai cabaran besar buat BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Menurutnya, ini termasuk perbelanjaan mewah RM3.5 juta untuk menjemput bintang K-Pop Korea pada Rumah Terbuka Tahun Baru Cina BN di Pulau Pinang, 11 Februari lalu dan perbelanjaan lain yang tidak dikira termasuk memasang 10,000 bendera 1Malaysia di seluruh negeri Pulau Mutiara itu yang sehingga kini tiada pengumuman mengenai kos projek itu adalah bukti politik wang yang merosakkan menjelang PRU-13 nanti.
Katanya, Najib mungkin tidak sedar dalam Ikrar Ingeriti Pilihan Raya TI itu yang beliau berikrar untuk tidak “terbabit dengan amalan rasuah dalam apa jua cara” kerana politik wang ketika pilihan raya adalah akar kepada berleluasanya rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa dalam negara.
“Najib juga mempertikai pemimpin DAP dan PR tidak menandatangani ikrar itu sedangkan sebelum ini mereka menuduh BN dengan bermacam perkara, termasuk rasuah, salah guna kuasa dan amalan kronisme.
“Sebaliknya Najib usah mempertilkai iltizam saya memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa setelah mendedikasikan hampir setengah abad hidup saya dalam politik Malaysia, tetapi persoalannya sama ada iltizam saya memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa itu akan menjadi jenaka dan penghinaan sekiranya saya menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya itu selepas Najib,” katanya
Menurut Kit Siang, Najib perlu ikhlas dan serius dalam menandatanangi ikrar itu yang menetapkan empat prinsip yang perlu menjadi perhatian ketika PRU-13 nanti iaitu:-
- Kebenaran, integriti, tatalaku beretika dan akauntabiliti, termasuk tidak menerima atau memberi rasuah atau terlibat dengan amalan rasuah dalam apa jua cara;
- Mendukung dan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat secara keseluruhan;
- Tadbir urus yang baik serta ketelusan; dan
- Mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan Malaysia.
“Amat sesuai, relevan dan penting sama ada Najib menandatangani ikrar itu terutama dengan kehadiran Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud, watak besar dalam kempen memerangi rasuah antarabangsa, meningkat atau menjatuhkan malah memusnahkan kewibawaan dan legitimasi Ikrar Ingeriti Pilihan Raya itu.
“Ini adalah selepas mempertimbangkan bahawa Malaysia, di bawah empat tahun pemerintahan Najib, paling korup berbanding Perdana Menteri sebelumnya sepanjang 56 tahun usia negara mengikut Indeks Persepsi Rasuah (CPI) TI,” katanya. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan