IPOH - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan dakwaan pembangkang kononnya beliau mempunyai kaitan menghalang pakar forensik Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand melakukan bedah siasat kedua ke atas mangsa dakwaan keganasan polis, C Sugumaran.
Perdana menteri berkata, dakwaan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N Surendran itu tidak benar sama sekali.
"Tak adalah...cerita-cerita dongeng banyak. Tak usah dengar semua. Tak ada sama sekali," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan beberapa portal berita yang memetik pemimpin PKR itu mendakwa Najib telah berkomunikasi dengan Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra berhubung bedah siasat kedua itu.
Surendran mendakwa ekoran daripada komunikasi itu, kerajaan Thailand memutuskan supaya Pornthip tidak perlu melakukan bedah siasat tersebut agar tidak menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara.
Dalam kejadian pada 23 Januari lepas, Sugumaran yang dipercayai mengalami masalah mental, dilaporkan mengamuk lalu merosakkan harta benda awam dengan menggunakan palang besi.
Menurut laporan media sebelum ini, Sugumaran bertindak agresif ketika cuba ditahan oleh anggota polis dan digari sebelum dia tiba-tiba rebah dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan