Oleh Arif Juhani
KUALA LUMPUR : Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemaju
Menara Warisan Merdeka 118 tingkat dikecam kerana enggan mengadakan
pertemuan bersama penduduk sekitar sebelum projek dilaksana.
Ekoran itu, NGO Pertahankan Taman Merdeka Negara (PTMN) bertemu Datuk
Bandar Kuala Lumpur menuntut penjelasan projek itu dan menjemput beliau
hadir ke majlis pendengaran awam minggu kedua Mac nanti.
Bagaimanapun, Pengerusi PTMN, Ishak Surin berkata, Datuk Bandar tidak
profesional kerana enggan bertemu dengan sekretariat PTMN di pejabatnya
hari ini.
“Sejak Disember lalu, tiga surat dihantar tetapi langsung tiada
respon dan hari ini PTMN hanya bertemu dengan pembantu khas beliau.
“DBKL maklum akan bincangkan perkara ini dan respon akan dimaklumkan
segera,” ujarnya yang dikenali Cikgu Ishak pada sidang media di lobi
DBKL.
Turut
hadir Presiden Kumpulan Bertindak Interlok Kebangsaan (Niat), Datuk
Thasleem Mohd Ibrahim; Naib Pengerusi PTMN, Ser Choon Ing dan Victor
Chin; Pengerusi Eksekutif Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor
(KLSCAH), Tang Ah Chai; Ahli Jawatankuasa PTMN, Jayanath Appadurai;
wakil Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Giok (LLG) Ng Yap Hwa dan
sekretariat PTMN.
Sebanyak 22 kumpulan bergabung dalam NGO PTMN antaranya Sekretariat
Pembangunan Kampung Baru, Persatuan kwong Siew Selangor dan Wilayah
Persekutuan serta Seniman Paksi Rakyat (Paksi).
Sementara
itu, Thasleem berkata, projek Menara Warisan menghancurkan legasi
sejarah tinggalan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman.
“Empat simbol warisan musnah dalam projek itu seperti Taman Merdeka
Negara atau Taman Tunku Abdul Rahman, Stadium Chin Woo, Stadium Merdeka
yang digazetkan Warisan Kebangsaan pada 2003 dan Stadium Negara.
“Sepatutnya DBKL dan pemaju adakan rundingan awam sebelum projek
dibuat kerana ini bukan sahaja melibatkan bangunan bersejarah tetapi
kepentingan penduduk sekitar.
“Kalau di Thailand, tindakan kerajaan membangunkan projek dengan
membelakangkan suara rakyat akan menerima nasib dalam pilihan raya. Kita
gesa rakyat bangkit untuk ajar pemimpin angkuh yang pentingkan
pembangunan,” katanya.
Beliau yang juga Naib Pengerusi PTMN berkata, pertemuan dengan pemaju
– Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan dibuat tidak lama lagi.
Kongres Rakyat Kuala Lumpur pula akan mengadakan referendum ‘Bersama
Memelihara dan Membangunkan Kuala Lumpur’ bagi mengutip respon penduduk
mengenai projek ini dan pelancaran tabung dana RM10 bertujuan
menggagalkan projek kontroversi itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan