Isnin, 4 Februari 2013

MB: Pusat tidak minat bantu Selangor


 

KL TODAY

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan meminta Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) memberi secara terperinci bentuk perbelanjaan membabitkan bantuan kewangan RM120 juta yang diterima syarikat konsesi itu daripada kerajaan persekutuan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, desakan itu akan dibuat kerajaan negeri sekiranya kerajaan persekutuan masih bertekad membantu syarikat itu.

“Kerajaan Selangor mempertikaikan tindakan kerajaan persekutuan membantu Syabas meluluskan bantuan kewangan walaupun terbukti syarikat konsesi berkenaan didakwa gagal menguruskan bekalan air bersih, sumber air secara profesional dan berkesan.

“Dana ini membuktikan kerajaan pusat sebenarnya tidak berminat membantu Kerajaan Selangor mengambil alih air demi kebajikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak lebih mengutamakan syarikat konsesi yang dikuasai kroni Umno yang selama ini berusaha menaikkan kadar tarif air tetapi berjaya dihalang oleh Kerajaan Selangor.

Namun katanya lagi, Kerajaan Selangor sentiasa mengutamakan kebajikan serta kemampanan generasi sekarang dan akan datang supaya tidak dibebani  dengan pelbagai hutang  tidak perlu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, kerajaan pusat sepatutnya menyokong usaha penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor yang memberikan penyelesaian secara menyeluruh dalam memastikan perkhidmatan air diuruskan dengan profesional, berhemah dan cermat oleh kerajaan negeri.

Dakwa beliau lagi, sebelum ini walaupun Syabas menerima pinjaman mudah daripada kerajaan pusat tetapi syarikat itu yang menerima konsesi selama 30 tahun untuk menguruskan air di Lembah Klang namun tetap gagal menurunkan kadar peratusan air tidak berhasil (NRW) yang ketika ini pada paras 33 peratus.


“Dalam Perjanjian Penswastaan Air pada 2004 antara tiga pihak iaitu Syabas, kerajaan negeri dan Pusat, Syabas perlu mematuhi perjanjian dengan menurunkan NRW kepada 19.98 peratus pada 2011.

“Bagaimanapun, selepas membelanjakan RM1,169.64 juta – yang jauh melebihi jumlah yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi – kadar NRW masih pada paras 33 peratus,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, kegagalan menurunkan NRW kepada 19.98 eratus seperti dijanjikan dalam Perjanjian Konsesi sebenarnya bukan berpunca dari kekurangan peruntukan tetapi kerana kelemahan Syabas merancang dan melaksanakan program penurunan NRW secara berkesan.

Katanya lagi, kegagalan tersebut telah menyebabkan negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terlepas peluang untuk mendapatkan penjimatan kira-kira 663 juta liter sehari (JLH) yang mana jumlah ini dapat menampung permintaan air hingga 2017.

Tiada ulasan: