Selasa, 19 Februari 2013

Manifesto Rakyat, kempen awal Pakatan tawan Putrajaya

Oleh Norutul Ilham

PETALING JAYA : Manifesto Pakatan Rakyat yang bakal dilancar pada Konvensyen Pakatan 25 Februari ini dengan tema Pakatan Harapan Rakyat merupakan kempen awal menawan Putrajaya.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, Pakatan lebih komited untuk membela rakyat berbanding Umno BN yang masih belum memperincikan manifesto untuk menghadapi pilihan raya.

Rafizi 1

“Pelancaran Manifesto Rakyat: Pakatan Harapan Rakyat menandakan bermulanya kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13.

“Kami mengalu-alukan perdebatan, pandangan dan kritikan sihat berhubung cadangan-cadangan yang dikemukakan di dalam Manifesto Rakyat.

“Pelancaran awal manifesto ini membuktikan juga komitmen Pakatan untuk memastikan kempen pilihan raya umum kali ini tertumpu kepada persoalan rakyat dan dasar untuk melawan politik perkauman dan fitnah yang dibawa BN,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini hari ini.

Konvensyen keempat Pakatan berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) Isnin ini bermula jam 10 pagi hingga 2 petang.

Menurut Rafizi, manifesto yang bakal dibentang pada konvensyen itu kemuncak gabungan dasar bersama Pakatan termasuk tawaran baru.

“Manifesto kita lebih mudah untuk rakyat faham, tidak seperti BN. Kita akan pastikan perkara ini tidak berlaku kepada Pakatan. Manifesto ini mengambil kira penyelidikan bukan sahaja kepada Umno BN, tetapi di seluruh negara,” jelas Rafizi.

“Manifesto adalah janji kita kepada rakyat. Kita yakin kandungan manifesto akan kita laksanakan.
Termasuk perincian mengikut tahun kita tadbir seperti lima tahun pertama, 10 tahun dan seterusnya,” tambahnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang juga Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan turut menyeru rakyat memilih Pakatan pada PRU 13 kerana tawaran Pakatan memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat.

“Jika dulu, kenapa rakyat pilih Pakatan kerana tidak suka Umno BN…Tapi kali ini kita mahu pastikan rakyat pilih kerana tawaran menarik yang ditawarkan kepada mereka.

“Ia meliputi semua perincian bagi kesenangan mereka. Dasar Pakatan untuk membela rakyat,” katanya.
Hadir sama, Biro Pelaburan KEADILAN, Wong Chen dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefli Ahmad.

Tiada ulasan: