Kementerian Luar dan Kedutaan Besar Malaysia di Lubnan masih menunggu laporan lengkap daripada pihak berkuasa Lubnan berhubung kes kematian wartawan Malaysia, Claudia Theophilus.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata laporan awal pihak polis Lubnan memaklumkan kematian mendiang disebabkan kemalangan ketika menggunakan senjata api.

"Kes ini masih dalam siasatan pihak polis Lubnan dan keluarga mendiang telah dimaklumkan mengenai kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Claudia, 42, petugas di syarikat penyiaran Al-Jazeera yang berpangkalan di Doha, Qatar, dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu, 2.30 pagi waktu Lubnan.

Laporan media menyebut mendiang dipercayai ketika itu sedang melakukan kunjungan tiga hari ke Baakleen, Lubnan bersama dua rakannya yang merupakan rakyat negara itu.

Anifah berkata kementeriannya akan memberi kerjasama untuk membantu siasatan selain memberi khidmat konsular kepada keluarga mendiang.

Dalam satu kenyataan berasingan, Malaysia mengecam serangan bom ke atas Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Ankara, Turki pada Jumaat yang mengorbankan seorang pengawal keselamatan warga Turki.

Turut terbunuh suspek yang meletupkan bahan letupan itu.

Anifah melahirkan rasa simpati Malaysia dengan kematian dan kecederaan terhadap orang awam akibat letupan itu. - Bernama