Isnin, 11 Februari 2013

Lagu Hindustan popular diolah jadi lagu puji BN




 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak teruja dengan kreativiti seorang pemimpin masyarakat India Muslim Pulau Pinang menyampaikan sebuah lagu ala Hindustan yang menyeru masyarakat mengundi BN pada pilihan raya umum nanti.

Presiden Persatuan Nurul Islam Pulau Pinang Sulthan Syed Salhamid berkata Perdana Menteri melahirkan rasa teruja itu kepada beliau yang menyampaikan lagu 'Kuch Kuch Hota Hai' dengan seni kata yang diciptanya sendiri selepas Najib berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran Liga Muslim di Masjid Kapitan Keling di Georgetown, malam tadi.

Perdana Menteri yang khusyuk dan tersenyum mendengar lirik lagu itu yang meminta rakyat menyokong kepimpinannya turut memberi tepukan kepada Sulthan Syed. Senikata lagu itu berbunyi:

Undilah semua Barisan Nasional
Bersatu di bawah Najib Tun Razak
Undi lain-lain, tiada kemajuan
Datang hari undi hai, bagi Barisan Nasional menang hai
Kami setiap hari berdoa Barisan Nasional mendapat dua pertiga
Undilah Barisan kembali semula untuk keamanan, untuk kemajuan, untuk kesejahteraan
Datang hari undi hai, bagi Barisan Nasional menang hai.


Sulthan Syed yang juga seorang komposer ditemui Bernama selepas majlis itu berkata lagu tersebut adalah simbolik sokongannya kepada kepimpinan Najib.

Beliau berharap lagu tersebut dapat memberi semangat kepada masyarakat terutama kaum India Muslim untuk terus mengundi BN.

"Saya setiap hari berdoa memohon supaya BN terus memerintah negara. Saya mahu negara ini diperintah BN. Saya suka BN mentadbir negara kita, dan saya akan terus berpegang kepada prinsip saya iaitu untuk terus menyokong BN," katanya.

Sulthan Syed berkata beliau bercadang membuat salinan lagu itu dalam bentuk cakera padat untuk diserahkan kepada pemimpin Nombor Satu negara itu.

Najib yang dalam lawatan dua hari ke Pulau Pinang dijadual menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang di bangunan dewan berkenaan pada pukul 9.30 pagi, hari ini.

Selepas itu, beliau akan menyertai kira-kira 80,000 orang menghadiri Majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baharu Cina anjuran BN Pulau Pinang.

Pada majlis itu, pelbagai acara diatur termasuk persembahan daripada penyanyi terkenal tanah air Shila Amzah dan persembahan daripada penyanyi popular Korea Psy.- Bernama

Tiada ulasan: