Aisha Geofrey
BATU 16 April: Berita kemasukan 100 ahli kumpulan bersenjata di pesisir pantai Lahad Datu Sabah adalah cerita sama yang diulang untuk menimbulkan suasana panik di kalangan rakyat, kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.
“Setiap kali pilihan raya, tiba-tiba kumpulan pengganas seperti ini muncul.
“Dulu Al-Maunah, lepas tu ada pula kumpulan militan Malaysia yang ditangkap bersama reformis. Kemudian kata kita (Pakatan Rakyat) guna keganasan untuk rampas kuasa,” katanya dalam ceramah Pakatan Rakyat di Bandar Baru Sentul, semalam.
Ahli Parlimen Batu itu mengulas isu kumpulan bersenjata di Lahad Datu sejak 14 Februari lalu yang didakwa pewaris ‘Sultan Sulu’ dari selatan Filipina dan mahu ‘merampas’ semula Sabah.
“Kita rasa cerita ini pelik, 100 lelaki datang mahu mengambil Sabah? Umno macam-macam boleh reka, yang peliknya, bukan Jeneral tentera yang mengarahkan tentera mengepung lelaki-lelaki itu, tetapi Menteri Pertahanan,” kata Tian.
“Kita tidak hairan jika isu itu digunakan untuk menakut-nakutkan rakyat kononnya negara sedang huru-hara,” katanya.
Menurutnya lagi, isu ‘serangan’ itu juga diguna untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah yang didalangi mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.
“Suruhanjaya Diraja sedang menyiasat isu ini, yang seperti kita tahu didalangi pemimpin yang paling lama memerintah, Mahathir,” kata Tian disambut tepukan 500 penyokong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan