Jumaat, 15 Februari 2013

Konvensyen Pakatan: Agenda nama calon PM masih teka-teki

G MANIMARAN dan JAMILAH HAMZAH

SHAH ALAM - Agenda sama ada Pakatan Rakyat (PR) akan mengumumkan nama calon perdana menteri pada konvensyennya hujung bulan ini masih menjadi teka-teki.

Beberapa pemimpin PR yang dihubungi Sinar Harian Online mengambil pendirian tidak mahu berkongsi hasil perbincangan kecuali berkata pihaknnya memfokus soal manifesto.

Sinar Harian Online juga difahamkan bahawa mesyuarat Majlis Pimpinan Presiden semalam masih mahu menyimpannya sebagai 'rahsia' atas alasan pembentangan manifesto lebih penting dan perlu diutamakan apabila berhimpun 25 Februari ini.

Setiausaha Pengelola DAP, Anthony Loke berkata, mesyuarat yang berlangsung masih belum membuat keputusan berkenaan dengan soal menamakan calon perdana menteri bulan ini.

Sehubungan itu tegas beliau, sekiranya ada yang melaporkan bahawa PR telah memutuskan calon, itu hanya spekulasi.

"Kita belum putuskan siapa calon perdana menteri pada mesyuarat hari ini (semalam). Uuntuk konvensyen nanti pun saya belum tahu agendanya," katanya kepada Sinar Harian Online.

Sinar Harian Online membawa laporan memetik seorang pemimpin kanan pembangkang telah menyatakan keputusan muktamad calon perdana menteri pada mesyuarat yang diadakan semalam.

"Memang ada perbincangan bahawa agenda ini (calon perdana menteri) akan diumumkan bersama pengumuman manifesto PR.

"Tetapi oleh kerana lazimnya agenda konvensyen PR tertumpu pada soal-soal dasar seperti disaksikan sebelum ini, kami bincang semula perkara ini dan beberapa agenda lain," katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub turut menafikan soal menamakan calon telah dimuktamadkan dan akan diumumkan pada konvesyen akan datang.
"Perkara itu, tidak ada dalam pengetahuan saya," katanya.

Sebaliknya kata beliau, pihaknya hanya memfokus agensi manifesto pada pertemuan semalam.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustaffa Ali turut menyatakan bahawa beliau belum ada sebarang maklumat mengenai perkara tersebut.

"Saya tak dapat maklumat lagi," katanya.

Tiada ulasan: