Selasa, 19 Februari 2013

K’jaan tak serius atasi aliran wang haram sebab pemimpin BN terlibat

Oleh Arif Juhani

KUALA LUMPUR : Laporan Institut Kewangan Global (GFI) relevan untuk menjelaskan kepada rakyat situasi sebenar ekonomi Malaysia hasil pentadbiran Umno BN, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.

Rafizi

Katanya, menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13), maklumat penting seperti ini mesti disampaikan kepada rakyat untuk mereka mengambil tindakan betul ketika mengundi calon Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

“Umno BN kelihatan tidak berminat menyelesaikan masalah ini kerana terdapat pimpinan Umno BN secara langsung terlibat dengan jenayah ini seperti membawa wang rasuah ke luar negara,” katanya kepada Keadilan Daily.

Rafizi berkata, GFI pernah meletakkan Malaysia sebagai negara kedua paling teruk dalam senarai aliran keluar wang haram (illicit financial flows) di kalangan negara-negara membangun di seluruh dunia bagi tahun 2010.

“Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan laporan GFI, namun sehingga sekarang beliau masih belum respon,” jelas Rafizi.

Menurutnya, Kerajaan Selangor pernah menawarkan tempat untuk mengadakan rundingan meja bulat pada pertengahan Januari lalu dengan menjemput GFI bagi mendapatkan penjelasan dan jalan penyelesaian bagi memulihkan masalah ini, malangnya tidak berjaya.

RASUAH-POLITIK

“Ini kerana, pada awalnya GFI memberi respon positif tetapi selepas Bank Negara menolak jemputan meja bulat itu, GFI membatalkan hasrat awal untuk menjaga hubungan baik dengan Bank Negara,” katanya.

Rafizi berkata, laporan GFI tidak boleh diketepikan kerana itu satu-satunya institusi yang khusus dalam mengkaji dan mengeluarkan laporan mengenai wang haram dengan tumpuan kepada negara membangun seluruh dunia.

Mengikut laporan terbaru badan pemantau antarabangsa, GFI, Malaysia di tangga kedua selepas China paling banyak aliran keluar wang haram iaitu RM200 bilion.

Tiada ulasan: