Sabtu, 16 Februari 2013

Kes Sugumaran: PR mahu kerajaan pelawa Pornthip

SINAR HARIAN

SHAH ALAM - Pakatan Rakyat mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengetepikan semua halangan diplomatik dengan kerajaan Thailand bagi membolehkan pakar patalogi Dr Pornthip Rojanasunand menjalankan bedah siasat kedua ke atas C. Sugumaran.

Dalam satu kenyataan media bersama yang dihantar peguam keluarga mangsa, N. Surendran dan Latheefa Koya, mereka mendakwa Najib terlibat dalam menghalang kemasukan pakar berkenaan ke Malaysia.

"Berdasarkan tuntutannya yang beliau tidak menghalang Dr Porntip, mengapa beliau tidak meminta kerajaan Thai untuk meneruskan dan menghantar Dr Porntip ke Malaysia untuk bedah siasat kedua?

"Kami turut meminta bahawa Najib Razak mendedahkan sejauh mana komunikasi dengan kerajaan Thai bersabit kes bedah siasat kedua C Sugumaran. Keluarga dan rakyat Malaysia layak sepenuhnya bagi maklumat ini," kata kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dalam kenyataan itu, kedua-dua peguam tersebut mendakwa mereka mempunyai sumber yang "meyakinkan dan berwibawa" bahawa wujudnya campur tangan Najib dalam kes ini.

Mereka juga mendakwa penafian perdana menteri bercanggah dengan kenyataan dikeluarkan oleh Pornthip bersabit dokumen daripada Kementerian Keadilan.

Difahamkan terdapat surat yang panjangnya beberapa helaian menyatakan ketidakpuasan hati kerajaan Malaysia terhadap peranan Pornthip dalam kes membabitkan mendiang Teoh Beng Hock.

"Dalam bahasa diplomatik, ini adalah satu mesej yang jelas dari kerajaan Malaysia bahawa Dr Pornthip tidak dialu-alukan di Malaysia untuk tujuan bedah siasat kedua ke atas Sugumar," tulis kenyataan itu.

Semalam, Najib menafikan dakwaan pembangkang kononnya beliau mempunyai kaitan menghalang Pornthip melakukan bedah siasat kedua ke atas mangsa dakwaan keganasan polis, C.Sugumar.
Perdana menteri berkata, dakwaan Surendran itu tidak benar sama sekali.

"Tak adalah...cerita-cerita dongeng banyak. Tak usah dengar semua. Tak ada sama sekali," katanya.

Dalam insiden pada kira-kira 6.30 petang 23 Januari lalu, Sugumaran yang dipercayai mempunyai masalah mental dilaporkan mengamuk lalu merosakkan harta benda awam dengan menggunakan palang besi.

Dilaporkan juga Sugumaran bertindak agresif ketika cuba ditahan oleh anggota polis dan digari sebelum tiba-tiba rebah dan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Tiada ulasan: