Jumaat, 22 Februari 2013

Kempen sifar pembangkang: Adnan ikut jejak Khir Toyo

MALAYSIA CHRONICLE

KUANTAN- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang pernah berjanji akan potong telinga dan terjun Sungai Pahang sekiranya parlimen Bentong jatuh ke tangan DAP melaungkan kempen sifar pembangkang di negeri kelahiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Adnan dilihat mengikut jejak bekas Menteri Besar Selangor Mohd Khir Koyo sebelum pilihanraya umum ke-12 pada tahun 2008 yang lalu menggunakan kempen yang sama ‘sifar pembangkang’.

Dipetik Bernama, Adnan berkata beliau yakin Barisan Nasional (BN) dapat menguasai semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Pahang pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Tatkala rakyatnya di Bera, Temerloh dan Jengka masih merintih ketiadaan bekalan air yang konsisten dan jalan yang sempit menghubungkan antara negeri, Adnan mendakwa rakyat Pahang mahukan kemenangan mutlak BN di 14 kerusi Parlimen dan 42 kawasan Dun di Pahang.

Pada masa ini BN mempunyai 12 kerusi Parlimen dan 38 Dun.

Apakah sifar pembangkang ini akan dapat dijayakan Adnan di Pahang, termasuk Bentong, insurannya supaya telinga beliau tidak perlu digadaikan?

Rakyat Pahang bakal menentukan. Ini kerana, rakyat Selangor telah menentukan nasib Khir Toyo selepas MB Selangor itu membuat kempen sifar pembangkang di Selangor menjelang pilihan raya umum 2008 lalu.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru rakyat Pahang yang berada di perantauan, terutamanya anak peneroka untuk pulang mengundi dan menjadi agen penyelamat kepada Felda dan harta Melayu.

“Anak peneroka harus menjadi agen perubahan dan penyelamat Felda dan harta orang Melayu. Mereka kena balik mengundi dan pastikan maklumat mengenai penyelewengan di Felda yang ditutup di media massa sampai ke tangan ahli-ahli keluarga mereka,” kata beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.
-Harakahdaily

Tiada ulasan: