Sabtu, 16 Februari 2013

Kementerian tidak halang mahasiswa jadi calon PRU13

SINAR HARIAN

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
 
PASIR GUDANG - Kerajaan tidak akan menghalang hasrat mana-mana mahasiswa yang ingin bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) seperti yang dihebohkan Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13).

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penyertaan aktif golongan itu dalam politik negara secara langsung membuktikan mereka mengiktiraf amalan demokrasi yang dilakukan kerajaan di negara ini.

"Ini membuktikan negara ini mengamalkan demokrasi, menteri atau kerajaan tidak halang mereka berpolitik, tidak sekat mereka untuk bertanding.

"Malah ia juga membuktikan mereka juga yakin dengan ketelusan sistem pilihan raya di negara ini kerana itu mereka yakin mereka boleh menang dalam pilihan raya nanti.

"Sebab tidak ada calon yang bertanding kalau mereka tidak yakin mereka kalah, buat apa bertanding kalau hanya akan merugikan wang," katanya selepas merasmikan Karnival Mesra Komuniti 1Malaysia dan pelancaran usaha sama strategik Kolej Komuniti bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan industri peruncitan di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika diminta mengulas laporan yang menyatakan GM13 menyenaraikan enam nama untuk bertanding dalam PRU13 kelak termasuk meletakkan calon untuk bertanding di kawasan Parlimen Pekan yang disandang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Jika mereka merasakan sistem pilihan raya di negara ini tidak bersih, golongan itu sepatutnya tidak perlu bertanding dan kesanggupan untuk berbuat demikian telah mencerminkan  sebaliknya," katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled menyifatkan tindakan meletakkan calon di kawasan Parlimen Pekan itu hanya semata-mata untuk meraih publisiti memandangkan kawasan itu disandang Perdana Menteri.

"Tindakan mereka memilih kawasan itu tidak lebih daripada untuk mendapat nama semata-mata dan ingin dapat perhatian besar serta meluas kerana ia merupakan kawasan Perdana Menteri kita," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: