Khamis, 7 Februari 2013

Kehilangan Yahya sukar dicari ganti – Pemuda PAS

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan takziah kepada Datin Alisah Ali, isteri Datuk Yahya Sulong di atas kematian almarhum semalam.

“DPPM menyifatkan pemergian almarhum ke rahmatullah sebagai kehilangan besar kepada negara dan kehilangan beliau sukar dicari ganti,” kata Ketua DPPM, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan.

Sepanjang hidupnya, kata beliau almarhum adalah seorang yang komited dalam membantu menaikkan industri hiburan dan menjadi pelawak popular dan disegani sejak tahun 1980-an lagi.

“Dengan pengalaman beliau yang luas dalam bidang lakonan terutama dalam bidang komedi telah melonjakkan nama beliau sebaris dengana artis popular yang lain.

“Wajarlah nama beliau diangkat sebagai seniman berbakat dan berjasa besar kepada dunia hiburan,” katanya lagi.

Malah, ujar Nasrudin lagi dalam kunjungan wakil DPPM ke rumah almarhum beberapa bulan yang lepas, beliau banyak menasihatkan pemuda agar sentiasa berusaha menjalani kehidupan dengan cara yang baik serta meningkatkan kehidupan menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

“Beliau juga berkongsi kebimbangan terhadap generasi muda yang mudah hanyut dengan budaya liar yang di bawa masuk dari barat,” ujarnya.

Sehubungan itu, ujarnya DPPM mendoakan agar keluarganya tabah menghadapi ujian yang melanda serta mendoakan semoga roh almarhum ditempatkan sebagai golongan orang-orang yang soleh dan diredhai di sisi-Nya.

Tiada ulasan: