Khamis, 14 Februari 2013

Kampung diwakili exco negeri PM terpinggir

MALAYSIA CHRONICLE


KUANTAN- Siapa sangka kampung yang hanya terletak 15 kilometer atau kurang 20 minit perjalanan berkereta dari pusat bandar ibu negeri Pahang ini, berada dalam keadaan daif dan terpinggir daripada kemajuan.

Tetapi inilah hakikatnya yang dideritai kira-kira 1,000 keluarga dengan pelbagai masalah di Kampung Pahang dan Kampung Soi dekat sini.

Antara lain, kampung tersebut kerap dilanda banjir sehingga beberapa kali setahun, juga ada penduduk yang tidak menikmati kemudahan bekalan air paip dan elektrik.

Dalam tinjauan baru-baru ini, wakil penduduk yang ditemui, Mohamad Yasin, 51, berkata masalah banjir memangnya menjadi fobia kepada penduduk terutama menjelang musim tengkujuh.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuantan berkata, masalah tersebut berpunca daripada sungai dan saliran yang tersumbat menyebabkan air lambat turun kerana tiada penyelenggaraan sejak berpuluh tahun.

“Masalahnya bukanlah susah sangat, gali balik dalamkan sungai dalam satu kilometer panjang dan bersihkan sungai sudah boleh selesaikan masalah puluhan tahun.

“Tapi apa yang kami kesalkan kemudahan asas bagi mengurangkan risiko banjir tak pernah diselesaikan, sepatutnya JKKK kena mainkan peranan untuk selesai,” tegasnya.

Kedua-dua kampung tradisi ini berada dalam dua Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Dun Inderapura dan Dun Tanjung Lumpur, dipisahkan hanya oleh jalan raya utama menuju ke Pekan Bandar Diraja.

Kedua-dua Adun merupakan Exco kerajaan negeri. Datuk Shafik Fauzan Sharif (Inderapura) ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan manakala Datuk Wan Adnan Wan Mamat (Tanjung Lumpur) merupakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri.

Kira-kira 80 peratus penduduk di sini mengusahakan tanaman sayur-sayuran di atas tanah seluas 120 ekar. Hasilnya dipunggah dengan lori setiap hari dijual ke pasar borong Selayang.

Menurut penduduk, kampung ini bersejarah tempat kerana menjadi tempat perpindahan penduduk ketika banjir besar yang dipanggil bah merah tahun 1926.

Bekas ketua belia kampung berkenaan Azmi Ali, 38, mengeluh kerana tanah diusahakan dengan aktiviti pertanian oleh generasi muda kampung berkenaan tidak berbaloi dan sia-sia.

“Ada tanah di situ sudah diteroka dan diusahakan sejak tahun 1980-an oleh 50 orang belia kampung dan diberi lesen Tol, tapi akhirnya diluluskan kepada orang luar.

“Pada saya kesan akan datang ialah generasi muda tidak ada tanah, apa lagi jika Kuantan dinaik taraf bandaraya, ke mana orang muda nak pergi?,” soalnya.

Tambahnya, beliau sendiri bersama beberapa orang pemuda hampung pernah mengusahakan tanah kerajaan seluas empat ekar yang diusahakan, tetapi akhirnya diambil oleh sebuah agensi kerajaan negeri ditanam dengan sawit.

“Jadi masa janji rakyat didahulukan? Takkan agensi kerajaan berebut tanah dengan rakyat,” keluhnya kesal.

Di sebalik kemudahan yang diabaikan, masalah yang turut membelenggu penduduk ialah kerosakan akhlak di kalangan generasi muda kampung berkenaan.

Seorang penduduk Khaidir Jaluddin, 46, mengatakan gejala sosial teruk di kampung berkenaan iaitu penagihan dadah, arak, menghidu gam dan judi terutamanya melibatkan kalangan remaja.

“Akibatnya kecurian kerap berlaku di sini, sehingga barang-barang berharga milik penduduk di sini pantang alpa sikit, akan dikebas pemuda-pemuda tempatan.

“Kuliah-kuliah agama di masjid dan surau pula tak berapa nak hidup, itu menyebabkan budak-budak muda terkena kejutan budaya kemajuan bandar,” katanya.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan, Syed Anis Syed Husin yang turut mengiringi berkata puncanya ialah kerana kurangnya perhatian dan tanggungjawab kerajaan kepada rakyat, sebab itulah berlaku kepincangan.

Tambahnya, masalah yang diutarakan penduduk merupakan kemudahan asas dan tidak sepatutnya berlaku kerana berada di pinggir bandar terbesar di Pahang.

“Kemudahan asas seperti itu sepatutnya sudah boleh dinikmati oleh seluruh rakyat memandangkan telah lebih 55 tahun merdeka.

“Apakah kerana peruntukan terlalu kurang sedangkan kemudahan asas sepatutnya menjadi keutamaan kepada nasib orang kampung apa lagi kampung ini, di sinilah pengundi tegar mereka.

“Begitu juga tanah, merupakan umpama nyawa kepada orang kampung yang mencari rezeki melalui pertanian. Tetapi apabila tidak diberi hak, kehidupan mereka tak terjamin. Tanah sepatutnya menjadi milik rakyat, mereka cuma perlukan seekar ke dua ekar untuk meneruskan kehidupan mereka.
Syed Anis berkata, biasanya pemerintah lebih gemar menyediakan hiburan percuma di kampung supaya rakyat lupakan masalah mereka.

Katanya, PAS berharap kerajaan memberi perhatian kepada nasib rakyat dan masalah mereka sepatutnya diutamakan. Kerana tanpa mereka kerajaan yang ada ini tidak naik dan mereka memilih kerajaan untuk dipikul amanah menyelesaikan masalah mereka.-harakahdaily

1 ulasan:

Sabuli berkata...

Bukan Susah Nak Jadi Susah - Susah Jika Nak Jadi Senang.. Saya biasa menonton filem Bollywood jika terserempak... tak kira susah ke senang asyik BERHIBURrrr je tidak nampak berfikir mencari jalan cara logik, banyak adigannya bersantai.. filem orang putih pula asyik fikir dan berjaya tuju sasaran/ matlamat.siapa yang mengarang dan siapa yang mengarah itu yang penting.