Jumaat, 22 Februari 2013

Johor, Syed Mokhtar intai projek keretapi laju KL-Singapura


Bentuk sesuatu yang akan datang? Fail gambar Wikipedia kereta api China kelajuan tinggi.
 
KUALA LUMPUR — Kerajaan negeri Johor dan jutawan logistik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary akan bersaing bagi merebut projek keretapi laju yang menghubungkan antara bandar Kuala Lumpur dan Singapura yang dianggar bernilai bilion ringgit, lapor akhbar The Edge Financial Daily hari ini.
 Menurut The Edge, YTL Corp Bhd dan Hartasuma Sdn Bhd juga antara senarai nama yang akan membida untuk mendapatkan projek tersebut yang dikatakan berjumlah RM20 bilion ke RM30 bilion.

Hartasuma yang diasaskan oleh bekas ahli lembaga pengarah Lebuhraya Plus, Tan Sri Ravindran Menon dijangka akan bekerjasama dengan syarikat yang tersenarai di Bursa iaitu UEM Land Holdings Bhd jika berjaya dalam bidaan untuk mendapatkan projek itu, kata akhbar peniagaan itu lagi.

Firma kejuruteraan tersebut menyatakan dalam laman rasminya ia mempunyai tumpuan khusus terhadap infrastruktur pengangkutan dan utiliti, selain beberapa bidang lain.

Pengarah urusan YTL Corp Tan Sri Francis Yeoh pada 2006 telah mencadangkan rangkaian keretapi laju Malaysia-Singapura (HSR) kepada kerajaan, tetapi cadangan tersebut telah diketepikan ekoran projek tersebut melibatkan kos yang tinggi.

Syarikat itu sebelum ini membina rangkaian keretapi laju sepanjang  57km yang menghubungkan KL Sentral dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan kini memiliki separuh daripada syarikat yang memegang konsesi 60 tahun keatasnya.

Kerajaan negeri Johor juga bakal menubuhkan kerjasama jika berjaya membida projek HSR yang akan melalui selatan negeri, lapor The Edge yang memetik kata daripada eksekutif industri.

Syed Mokhtar telahpun memiliki beberapa pelabuhan menerusi MMC Corp Bhd, termasuklah Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor serta dilaporkan sedang mengintai untuk mengambilalih syarikat keretapi negara KTM. MMC Corp ketika ini sedang dalam kerjasama dengan Gamuda Bhd dalam projek Mass Rapid Transit (MRT), projek keretapi terbesar di Lembah Klang yang dijangka siap pada 2017.

Kedua-dua syarikat tersebut juga bekerjasama dalam pembinaan projek keretapi eleketrik berkembar sejauh 329km yang menghubungkan antara Perak dan Perlis yang dijangka siap pada tahun ini.

Namun, ia masih samar-samar sama ada syarikat Syed Mokhtar akan membida projek ini, kata The Edge.

Selasa lalu, rangkaian HSR telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong selepas mengadakan pertemuan empat mata dan perbincangan dua hala sempena sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura di Singapura dan dijangkan siap menjelang tahun 2020.

Menurut Najib, projek tersebut akan dilaksanakan menerusi kerjasama swasta-awam “dengan penyertaan kerajaan yang kuat”, akan menjimatkan tempoh perjalanan antara kedua-dua bandar kepada 90 minit.

Sehari kemudiaan, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata akan melonjakkan pembangunan di sepanjang laluan dan stesen.

Berdasarkan kajian awal, beliau berkata, lima stesen kereta api baru akan dibina iaitu di Seremban (Negeri Sembilan); Ayer Keroh (Melaka); dan Muar, Batu Pahat serta Iskandar Johor (Johor) menuju ke arah ke Singapura.

Tiada ulasan: