Sabtu, 23 Februari 2013

‘Ini Kalilah’ gelombang terkuat dalam sejarah tukar k’jaan Sabah

Norutul Ilham

SABAH: Sokongan rakyat Sabah terhadap Pakatan Rakyat jauh lebih hebat berbanding gelombang penukaran kerajaan negeri sebelum ini, kata bekas pemimpin Umno negeri itu.

Bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Ahmad Shah Tambakau yang mengisytihar menyertai KEADILAN minggu lalu menyifatkan gelombang ‘Ini Kalilah’ tidak dapat disekat oleh Umno.

“Apabila Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Bumburing keluar BN dan sokong Pakatan, sambutan masyarakat Kadazan Dayak Murut begitu kuat.

“Masa saya masih dalam Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya)  pada 1985 pun tidak sekuat ini,” katanya kepada Keadilan Daily.

Anwar

Beliau bersama-sama Yapin Gimpoton mengisytihar menyertai KEADILAN

ketika lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah pada hari pertama Tahun Baru Cina pada 10 Februari lalu.

Bekas Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Keningau itu bertekad membawa  obor semangat perubahan itu ke setiap pelusuk masyarakat pedalaman di Sabah.

“Berdasarkan pemerhatian, sekitar Pantai Barat Sabah dan pedalaman sudah tolak Umno. Kali ini, rakyat Sabah sudah berani lawan Umno secara terbuka.

“Ternyata mereka sedia, Sabah tidak kisah untuk tukar kerajaan. Kerajaan ini zalim, kita tukar sahaja,” katanya.

Kata Ahmad, rakyat Sabah bukan saja mahu menukar kerajaan negeri, bahkan berhasrat menukar kerajaan Persekutuan berikutan jemu dengan janji BN.

“Rakyat tolak Umno BN seperti kita menangkan Berjaya dan selepas itu rakyat tukar pula kepada Parti Bersatu Sabah (PBS),” katanya.

Beliau juga tidak peduli dengan tohmahan konon penyertaannya dalam KEADILAN kerana mahu menjadi calon, sebaliknya fitnah itu dijadikan pembakar semangat untuk menghumbankan Umno.

Ahmad kecewa lantaran tabiat rasuah di kalangan pemimpin Umno semakin buruk dan menjadi-jadi hingga menyebabkan kemarahan rakyat.

“Ramai pemimpin Umno Sabah terlibat skandal aliran wang haram, kebas balak, rampas tanah. Banyak sangat rasuah tapi ada pihak buat tidak tahu sahaja,” katanya.

Beliau juga kesal kerana pemimpin Umno BN langsung tidak mempeduli isu pembelaan rakyat Sabah.

“Sudah lama kita buat perhati perkembangan politik Sabah. Bermula apabila Wilfred bawa isu Hak Tanah Adat ke Parlimen tetapi tiada perkembangan sehingga beliau keluar BN.

“Pada masa sama, kita tengok bagaimana KEADILAN buat kerja, banyak yang dibongkar untuk kebaikan rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: