Sabtu, 16 Februari 2013

Halang senator Australia bukti pilihan raya tak akan telus – Anwar

Oleh: Aliff Fikri

KUALA LUMPUR : Tindakan menghalang Senator Australia, Nick Xenophon ke Malaysia bukti Pilihanraya Umum (PRU) 13 tidak akan berjalan dengan telus, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Umum KEADILAN itu mengecam penahanan Xenophon ketika tiba di Malaysia pagi tadi yang jelas bercanggah dengan prinsip demokrasi.

“Beliau datang ke sini untuk memantau dan mengamati proses demokrasi dalam pilihanraya. Sesiapa saja mempunyai kebebasan sebagai Ahli Parlimen untuk pergi ke Australia, Indonesia, Belanda dan mana-mana negara sebagai pemerhati bebas.

IMG_2884

“Tetapi mengapa Malaysia terutamanya Najib begitu takut dengan kehadiran beliau? Ini satu penyalahgunaan kuasa.

“Apa yang salahnya? penjenayah di Sabah (Amalilio) menipu melibatkan RM900 juta dilindungi, tetapi Xenophon yang hanya mahu memastikan pilihanraya berjalan dengan adil dipaksa pulang ke Australia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parlimen Batu di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Jinjang Selatan.

“Ini trend yang jelas menunjukkan Umno BN tidak bersedia untuk membuat proses yang telus dalam PRU akan datang.

“Mengapa risau? Ia adalah kerana ada sesuatu yang cuba disembunyikan mereka. Contohnya seperti akses kepada media, kamu tidak boleh menghalang kebenaran bahawa media tidak mendapat akses yang sewajarnya,” ujarnya.

Tiada ulasan: