KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Penafian perdana menteri bahawa beliau tidak menghalang Dr Pornthip Rojanasunand melakukan bedah siasat kedua ke atas mayat C Sugumar, bercanggah dengan jawapan kerajaan Thailand.Naib Presiden KEADILAN, N Suredran berkata, kerajaan Thailand sebelum ini menyatakan Malaysia kurang senang terhadap Pornthip, terutama peranannya dalam siasatan kematian Teoh Beng Hock.
Menurut Surendran, perkara itu dinyatakan dalam surat bertarikh 14 Februari yang dihantar kerajaan Thailand kepada pakar forensik itu. Pornthip katanya, turut memberitahu perkara itu pada media Malaysia.
“Dalam bahasa diplomatik, ini adalah satu mesej yang jelas dari kerajaan Malaysia bahawa kehadiran Dr Pornthip mengundang rasa tidak senang kerajaan Malaysia,” kata Suredran dalam kenyataan hari ini.
Mengejutkan katanya, kerajaan Malaysia juga tidak berpuas hati terhadap bedah siasat kedua yang dijalankan Pornthip ke atas mayat Teoh Beng Hock yang ditemui mati di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2009.
Justeru katanya, kes itu juga wajar dibuka semula dan campurtangan kerajaan perlu disiasat dalam inkuiri kematian Beng Hock.
Beliau turut menggesa Datuk Seri Najib Razak membenarkan Pornthip melakukan bedah siasat kedua ke atas Sugumar dan menulis surat kepada perdana menteri Thailand berhubung perkara itu.
“Kami turut meminta Najib Razak mendedahkan komunikasi dengan kerajaan Thai berhubung bedah siasat kedua C Sugumar. Keluarga dan rakyat Malaysia mahu tahu maklumat ini,” katanya.
Dalam kejadian pada 23 Januari lepas, Sugumar yang juga pengawal keselamatan dikejar anggota polis, sebelum dibelasah sekumpulan individu dalam keadaan bergari hingga mati di Hulu Langat.
Keluarga mangsa menolak laporan bedah siasat Hospital Serdang yang merekodkan kematiannya akibat serangan jantung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan