Sabtu, 23 Februari 2013

Filipina minta masa usir kumpulan ceroboh Sabah

SINAR HARIAN
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
 
KLUANG - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan kepada Wisma Putra untuk membuat keputusan berhubung permohonan kerajaan Filipina meminta lanjutan masa bagi pengusiran kumpulan penceroboh warganegara itu di Lahad Datu, Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, jika permohonan itu dipersetujui, ia diharapkan tidak terlalu lama kerana KDN tidak akan berkompromi dengan perkara yang boleh menjejaskan kedaulatan negara.

"Saya baru terima panggilan daripada Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pagi tadi berhubung perkara ini dan saya menyerahkannya (lanjutan tempoh) kepada Wisma Putra untuk membuat keputusan.

"Apa yang pasti isu keselamatan negara terutama maruah Sabah dan rakyatnya tidak akan digadaikan...ada had dan masanya dalam menangani isu ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) Parlimen Sembrong di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan Filipina menerusi Menteri Luarnya Albert Del Rasario meminta kerajaan Malaysia melanjutkan tempoh pengusiran kumpulan penceroboh berkenaan.

Polis mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari pekan Lahad Datu sejak 12 Feb lepas sebagai waris berketurunan "Raja Sulu" dari selatan Filipina.

Hishammuddin meminta orang ramai bersikap rasional dan bersama-sama mendoakan kes berkenaan selesai tanpa pertumpahan darah selain dalam masa yang tidak terikut-ikut dengan sesetengah pihak yang mempolitikkan isu berkenaan.

"Saya sudah turun ke Sabah untuk melihat polis, ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia menangani kes ini. Situasi di sana dalam keadaan terkawal," katanya.

Beliau berharap orang ramai memahami situasi dan perspektif kejadian itu memandangkan ianya berbeza dengan beberapa kejadian sebelum ini seperti Al-Maunah, Abu Sayyaf dan Jemaah Islamiah Malaysia.

Pihak berkuasa negara sedang memujuk kumpulan itu supaya segera meninggalkan Sabah bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku, katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata operasi membanteras kegiatan sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak di negara ini akan diperhebatkan termasuk bekerjasama rapat dengan negara serantau seperti China.

"Kita tidak boleh berdiam diri dengan apa yang berlaku di Pulau Pinang.

Kalau kita hendak tangani kena dari sumbernya dan kita dalam dunia tiada sempadan ini, kita kena bekerjasama dengan negara lain," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: