SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Kerajaan Filipina telah menghantar sebuah kapal dalam
misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota, termasuk
30 pengawal bersenjata, yang bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari.
Kapal yang bernombor AT296, belayar dari Bongao, Tawi-Tawi ke
perkampungan Tanduo di Lahad Datu dan berlabuh di tepi pantai sementara
rundingan dengan
kumpulan itu berlangsung malam ini.
Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) Filipina dalam satu kenyataan berkata,
pemberitahuan mengenai penghantaran kapal itu telah disampaikan kepada
Kedutaan
Malaysia di Manila semalam.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Albert F. del Rosario dalam satu
kenyataan menggesa seluruh kumpulan itu agar pulang ke rumah mereka dan
keluarga,
"sekalipun pada masa yang sama kami sedang berusaha menyelesaikan isu-isu utama yang mereka timbulkan".
"Sila lakukan ini demi keselamatan anda sendiri," katanya.
Mengenai kapal berkenaan, Rosario berkata: "Kami amat mengambil berat
tentang kehadiran lima wanita dan beberapa orang awam dalam kumpulan
itu, dan kami
menggesa mereka segera menaiki kapal dan pulang ke tanah air."
Menurut kenyataan itu, di atas kapal berkenaan ialah pemimpin Islam-Filipino, serta sukarelawan dan petugas perubatan.
Pada 12 Februari, bot yang mengangkut lebih 100 lelaki bersenjata yang
memakai pakaian celoreng tentera mendarat di pantai Lahad Datu.
Kumpulan itu menuntut supaya mereka diiktiraf sebagai Tentera Diraja
Sultan Sulu, dan tidak mahu warga asal Sulu di Sabah dihantar pulang ke
Filipina.
Askar itu telah bertahan di kampung itu sejak dua minggu lepas, dan
Kerajaan Malaysia memberikan mereka masa hingga Jumaat lepas (22 Feb)
untuk meninggalkan
negara ini.
Bagaimanapun, tarikh penamat itu dilanjutkan selama 48 jam selepas
kerajaan Filipina memohon lanjutan empat hari hingga Selasa atas alasan
Manila sedang
berusaha memujuk kumpulan itu supaya membatalkan pendirian mereka. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan