Ahad, 10 Februari 2013

Cabut bendera: Perantau tolak budaya samseng

Harakahdaily,




KUALA LUMPUR: Rakyat Terengganu di Perantauan (Perantau) menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk budaya samseng yang diamalkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab khususnya di negeri Terengganu yang terkenal dengan kekayaan budaya dan sopan santun.

Demikian tegas Setiausaha Perantau, Suhaimi Embong ketika diminta mengulas perbuatan khianat lebih kurang 200 tiang bendera parti politik tertentu telah dicabut dan dibuang ke dalam anak sungai dalam Dun Teluk Pasu.

"Saya mewakili Perantau ketika melihat gambar insiden tersebut yang tersebar di Facebook dan Buletin Online berasa amat terkilan kerana budaya samseng seperti ini masih berlaku di negeri terengganu yang amat terkenal dengan budaya kesopanannya," tegas beliau.

Beliau turut memberi ingatan kepada pihak yang mengamalkan budaya samseng itu bahawa rakyat Terengganu di perantauan senantiasa memantau pergerakan dan tindak tanduk samseng mereka dari jauh, tidak akan membiarkan kampung halaman mereka tercemar dengan tindakan samseng itu.

Menurut beliau, rata-rata rakyat Terengganu yang berada di luar amat jelek dengan budaya samseng seperti itu.

Beliau menyeru semua perantau pulang dan mengundi untuk perubahan dalam menunaikan tanggungjawab masing-masing.

"Setiap daripada kami ini memegang satu undi, kami hanya akan mengundi mereka yang membawa keamanan dan kesejahteraan," ujar beliau.

Tiada ulasan: