Jumaat, 1 Februari 2013

Bubar Dun awal tidak bawa perubahan

Wartawan Sinar Harian

Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13 
 
SHAH ALAM - Penganalisis berpendapat tindakan Kerajaan Selangor mengumumkan tarikh pembubaran Dun selepas sambutan Cap Goh Meh bulan depan, tidak memberi perubahan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Mansor Mohd Noor berkata, keputusan itu tertakluk kepada kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik (Kita) itu berkata, pemimpin politik di negara ini wajar duduk bersama untuk menentukan tarikh pilihan raya.

"Ini kerana, saya lihat negara kita ini sering berpolitik dalam segala hal. Tarikh pilihan raya pun dipolitikkan.

"Saya juga cadang kita ikut cara Amerika Syarikat tentukan tarikh. Mereka tetap tarikh PRU seterusnya, selepas selesai pilihan raya," katanya.

Beliau berpendapat, tindakan Kerajaan Selangor mengumumkan awal pembubaran untuk mengelakkan lebih banyak isu-isu negatif timbul.

"Jika lebih lambat PRU13, mereka khuatir beri kesan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri, kerana jika dilihat banyak isu dikaitkan dengan Selangor seperti krisis air," katanya.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, pembubaran Dun sewajarnya dilakukan serentak dengan Parlimen bagi elak kekeliruan.

Ketika ditanya sama ada pengumuman awal ini dibuat kerana untuk memberi tekanan kepada Kerajaan Pusat supaya bubar Parlimen lebih awal, beliau berkata, faktor psikologi ini juga berkemungkinan berlaku.

Namun katanya, rakyat pastinya akan mempersoalkan mengapa negeri-negeri Pakatan Rakyat (PR) yang lain tidak berbuat perkara yang sama.

"Mengapa hanya Selangor, tidak bagi Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah," katanya.

Tiada ulasan: