Sabtu, 9 Februari 2013

Berjasa mahu tanding 90 kerusi PRU 13

MALAYSIA CHRONCILE


KUALA LUMPUR-Berjasa akan meletakkan calonnya di 90 kerusi dalam pilihanraya umum ke 13 ini, kata Presidennya, Sultan Abdul Kadir dalam sidang media hari ini.

Dari 90 kerusi itu, 50 adalah kerusi Parlimen dan 40 lagi kerusi Dewan Undangan Negeri.

"Kita tidak mensasarkan untuk mengambil alih pentadbiran negara tetapi cukuplah sekadar menjadi kuasa ke - 3 sahaja," kata Sultan dalam sidang media di sebuah hotel hari ini.

Sementara itu Pengarah Pilihan Raya parti itu, Brig. Gen. (R) Datuk Hashim Karim mendakwa 'come back' penyertaan mereka dalam PRU13 nanti tidak akan memecahkan undi Melayu.

Tegas beliau, pembabitan Berjasa pada PRU13 ini bukan bertujuan untuk memecahkan undi melayu, mahupun menarik mana-mana ahli parti lain untuk menyertai Berjasa.

"Sebaliknya ia untuk mengukuhkan undi Melayu, sekaligus mengukuhkan politik melayu di negara ini," kata beliau lagi.

Berjasa juga, tambah Hashim bercadang meletakkan calon-calonnya di negeri Pantai Barat, berbanding Pantai Timur.

"Kita pertimbangkan untuk meletakkan calon di Selangor, Perak, Johor dan beberap negeri sebelah barat. Di Pantai Timur macam Kelantan, tak mungkin (kita letak)," kata beliau.

Beliau beranggapan, kedudukan politik Melayu di negeri-negeri pantai timur sudah kukuh dan tidak memerlukan kuasa ketiga Berjasa.

Ketika ditanya sama ada Berjasa pernah berbincang dengan PAS mahupun Umno, Hashim berkata tiada sebarang pertemuan antara Berjasa dengan kedua-dua parti tersebut.

Menurut maklumat, Berjasa akan meletakkan calon-calonya yang beragama Islam di kerusi BN atau Pakatan Rakyat meletakkan calon bukan Melayu di kerusi yang majoriti Melayu.

Berjasa adalah parti serpihan dari PAS yang ditubuhkan oleh Datuk Mohamad Nasir dan Ibrahim Ali ketika krisis berlaku di Kelantan pada tahun 1978.

Ekoran itu, Berjasa bersama BN telah berjaya membentuk kerajaan di Kelantan dengan menjatuhkan kerajaan PAS sebelum itu.

Namun selepas itu, Mohamad Nasir menyertai PAS semula dengan Ibrahim Ali melompak ke sana sini.
Pada PRU 1990, Berjasa bersama Hamim menyertai PAS dan Semangat 46 membentuk Angkatan Perpaduan Ummah.

Kini menjelang PRU 13, dengan pimpinan yang kurang dikenali dalam dunia politik, Berjasa kembali bersuara.-harakahdaily

Tiada ulasan: