Isnin, 11 Februari 2013

Bangsa calon bukan isu pokok

JANATUL FIRDAUS YAACOB

Bangsa calon bukan isu pokok
P Kamalanathan
 
SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) Selangor menyifatkan bangsa calon yang bakal mewakili mereka di peringkat pusat bukan perkara utama yang dipentingkan pengundi, sebaliknya semangat mendasari perjuangan.

Adun Sungai Pelek, Yap Ee Wah berkata, Malaysia adalah milik setiap rakyat dan bukannya hanya bergantung pada satu bangsa.

Menurutnya, isu agama dan perkauman yang hangat ketika ini seperti kalimah ALLAH, hudud dan pemilihan DAP sengaja dicetuskan untuk kepentingan pihak tertentu dengan tujuan meraih undi sehingga merosakkan negara.

“Negara kita amalkan demokrasi politik, diharapkan pihak tertentu berhenti menyemarakkan api perkauman hanya untuk meraih undi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan berkata, jumlah peratusan undian dimenangi tidak dipengaruhi kaum di situ, apa yang penting, semangat perjuangan komponen BN telah dipraktik sejak era Perikatan.

“Wakil rakyat perlu faham adat resam semua kaum agar diterima rakyat tidak kiralah dari kaum mana calon berkenaan.

“Yang penting semangat perjuangan BN, bukan calon,” katanya.

Diminta mengulas isu panas melanda negara kini misalnya kalimah ALLAH, hudud dan pemilihan DAP menjurus kepada situasi perkauman dan jangkaan mendapati Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang adalah bersifat rasis, Kamalanathan berkata, rakyat Malaysia tidak boleh ikut cara itu.

“Saya yakin rakyat Malaysia tidak mengamalkan politik keterlaluan dan mereka sedar, Malaysia adalah sebuah negara pelbagai etnik yang dihuni pelbagai kaum sejak ia ditubuhkan,” katanya.

Beliau berkata, isu seperti ini tidak perlu dibimbangkan kerana telah lama wujud ahli Parlimen BN yang bukan Umno seperti MIC dan MCA yang tidak pernah sesekali meminggirkan hala tuju pembangunan masyarakat .

“Apa yang penting bagi menawan hati rakyat ialah memahami nilai-nilai kaum, budaya, latar belakang dan sejarah serta adat resam penduduk setempat.

“Kesemua nilai ini perlu diselami dan rakyat akan menerima kita sebagai pemimpin mereka," katanya.

Kamalanathan menasihatkan setiap calon supaya turun padang meneliti keperluan rakyat di samping cuba menyerap nilai-nilai yang ada di kawasan tersebut agar rakyat tidak ragu-ragu memilih wakil mereka.

Tiada ulasan: