PETALING JAYA : Pakatan Rakyat (PR) bersama kekuatan jentera parti siap sepenuhnya menghadapi pilihan raya tahun ini dan hanya menunggu tiupan wisel pembubaran parlimen daripada Perdana Menteri.
Perkara itu dinyatakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjangkakan kemaraan gagasan pembangkang jauh lebih dahsyat daripada pilihan raya 2008 yang lalu.
“Ura-ura pilihan raya ini sering diperkata hampir setiap bulan sejak kebelakangan ini, bagi kami, PR lama bersedia dari segi muafakat untuk menjejak Putrajaya,” katanya.
Mengulas lanjut berhubung kesediaan PR menghadapi pilihan raya, Anwar yakin PRU kali ini memberi tamparan yang begitu kuat buat Umno-BN untuk terus mempertahankan tampok pemerintahannya yang sudah menjangkau usia 55 tahun mentadbir negara.
“Mutakhir ini, kegiatan Umno-BN itu lebih terdesak dan lebih kasar dan media hanya mampu memfitnah.
“Saya sering menasihatkan kepimpinan PKR dan Pakatan Rakyat untuk terus menumpukan perhatian kepada agenda dengan menunjukkan kecurangan yang mereka (Kerajaan Pusat) lakukan kerana semua itu dipadamkan oleh media perdana daripada pengetahuan rakyat,” jelas Anwar.
Baru-baru ini, Jawatankuasa Penilaian Pilihan Raya Muslim Eropah memaklumkan pengakuan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa media perdana di negara ini sememangnya menjadi alat kepada kerajaan.
Menerusi temubual secara ekslusif bersama TVSelangor, Anwar turut menjelaskan walaupun berdepan dengan permainan kotor Umno-BN, PR yakin akan menang besar berdasarkan keyakinan dan sokongan rakyat terhadap gagasan itu.
Ditanya mengenai pembahagian kerusi di antara komponen PR, Anwar menjelaskan ia telahpun siap 95 peratus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan