Ahad, 10 Februari 2013

10,000 berhimpun di Tasik Pedu untuk ‘Rali Selamatkan Bumi Kedah’

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA NERANG — Kira-kira 10,000 orang termasuk pelajar, belia dan anggota badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di Charuk Batang Padi, Tasik Pedu, bagi melihat sendiri keadaan kawasan gondol akibat pembalakan berleluasa.

Kerajaan negeri Kedah bagaimanapun memberi alasan pembalakan itu bertujuan membina ladang rakyat.
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pedu Datuk Mahdzir Khalid berkata masyarakat dapat melihat sendiri apa yang berlaku di kawasan hutan hujan itu, yang dahulunya kawasan hijau sebelum digondol, adalah demi kepentingan kerajaan negeri.

“Sepanjang pentadbiran lapan Menteri Besar Barisan Nasional (BN) di Kedah, belum pernah berlaku penggondolan di kawasan itu,” kata Mahdzir kepada pemberita pada majlis “Rali Selamatkan Bumi Kedah” hari ini.

“Ini adalah kawasan sensitif kerana ia berhampiran dengan Tasik Pedu. Kawasan hutan ini adalah hutan hujan bernilai tinggi, mana-mana MB pun tak pernah ambil balak di kawasan ini kerana ia adalah kawasan tadahan hujan.”

Sementara itu, Pengerusi Jalinan Gelombang Merah merangkap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir (gambar) berkata alasan kerajaan negeri Kedah untuk membina ladang rakyat di kawasan itu tidak boleh diterima.

“Tahun lepas kita lihat Putera William dan isterinya pergi ke Lembah Danum, Sabah, bagi melihat keindahan flora dan fauna di situ,” katanya.

“Itu membuktikan bahawa kawasan hutan dapat menarik pelancong asing dan mereka sanggup bayar berapa sahaja untuk masuk hutan dan menghayati alam sekitar.”

Mukhriz berkata ladang rakyat cuma alasan kerajaan negeri, kononnya mahu menarik pelancong dan mereka sanggup menebang pokok tualang, kapas dan lain-lain yang bernilai tinggi bagi menjana pendapatan negeri.

Sementara itu, wakil pelajar Nur Azwa Syazwani Awang Besar, 18, berkata masyarakat seharusnya menjaga alam sekitar dengan penuh kasih sayang kerana ia khazanah negara.

“Apabila pembalakan berlaku secara berleluasa, apa akan jadi pada flora dan fauna. Bukan hanya hidupan hutan sahaja yang terjejas tetapi masyarakat juga terkena tempias,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan: