Ahad, 20 Januari 2013

Umcedel: Najib perlu letak jawatan jika BN gagal perolehi majoriti dua pertiga PRU13

KL TODAY


SHAH ALAM — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin terpaksa melepaskan jawatannya jika gabungan Barisan Nasional (BN) yang dipimpinnya gagal memenangi semula majoriti tradisi dua pertiga di Parlimen, kata badan tinjauan bebas Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel).

“Tradisi yang berlaku dalam Umno, kalau perdana menteri gagal dapat dua pertiga kena letak jawatan, itu yang berlaku pada Tunku (Abdul Rahman), pada Tun Abdullah (Ahmad Badawi) dan perkara sama juga akan berlaku kepada Najib jika gagal mendapat dua pertiga,” kata pengarah Umcedel Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman dipetik dari Sinar Harian Online.

Hasil kajian Umcedel baru-baru ini menunjukkan mustahil bagi BN memenangi semula majoriti tradisi dua pertiga pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 berdasarkan rekod pilihan raya sebelum ini dan perkembangan semasa.

Menurut badan bebas itu lagi, Najib hanya mampu membawa BN untuk mengekalkan status quo.

“Dalam pilihan raya lalu di Semenanjung BN hanya dapat 47 peratus undi, Pakatan Rakyat (PR) 49 peratus. Di seluruh Malaysia, BN hanya dapat 50.2 peratus. (Tun) Abdullah Ahmad Badawi ketika memasuki pilihan raya, popularitinya 70 peratus lebih. Najib sekarang ini popular sekitar 58 peratus

“Maknanya mustahil Najib akan dapat lebih daripada Pak Lah. Maksudnya pilihan raya akan datang status quo.

“Kecuali ada perkara luar biasa yang kita tak nampak berlaku seperti pengundi hantu yang kami pengkaji ini pun tak boleh nak kira,” katanya.

Menurut Mohammad Redzuan lagi, Najib (gambar) adalah satu-satunya perdana menteri yang masuk ke gelanggang pilihan raya tanpa dapat melakukan persempadanan semula kerusi pilihan raya dan ini adalah satu kekurangan kepada ahli parlimen Pekan itu.

“Disebabkan persempadanan semula itu Umno mendapat majoriti kerusi. Bukan undi. Buktinya Abdullah Badawi popular 64 peratus tetapi kerusi 90 peratus (pada 2004). Tetapi Najib adalah perdana menteri pertama yang memasuki pilihan raya tanpa persempadanan (semula bahagian pilihan raya),” katanya.

Beliau yang juga Dekan Fakulti Sastera Universiti Malaya itu mengatakan PR sudah merapatkan jurangnya menghampiri BN.

“Kali ini kalau yang keluar mengundi lebih 82 peratus, maknanya semua ramalan akan salah. Katakanlah keluar mengundi 90 peratus, ada yang tidak kena. Itulah yang menyebabkan orang turun beramai-ramai pada 12 Januari lalu. Bagi parti pembangkang, pilihan raya ini buat penat sahaja,” katanya lagi.

PRU 13 perlu diadakan selepas mandat BN tamat pada 28 April akan datang.

Akan tetapi ramai pihak yang menjangkakan ianya akan diadakan lebih awal disebabkan ada beberapa negeri yang akan habis mandat pada akhir Mac seperti dewan undangan negeri Johor yang akan terbubar secara automatik pada 21 Mac dan Negeri Sembilan pada 26 Mac.

Parti-parti pembangkang mendapat keuntungan yang signifikan pada pilihan raya umum ke-12, mengawal 82 daripada 222 kerusi Parlimen, selain memegang tiga negeri utama di sepanjang pantai barat semenanjung — Selangor, Pulau Pinang dan Kedah — di samping mengekalkan Kelantan semenjak 22 tahun lalu.?

Tiada ulasan: