Ahad, 20 Januari 2013

MB: 'Belum masa umum manifesto'

FARAH SHAZWANI ALI

Ahmad Said
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said
 
KUALA TERENGGANU - Barisan Nasional (BN) Terengganu akan buka bilik gerakannya pada 1 Februari dan umumkan isi manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada masa sesuai.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Said, yang juga Menteri Besar berkata, belum masanya untuk BN uar-uarkan manifestonya.

“Memang ada penambahan pada manifesto kita, tapi kita akan umumkannya pada masa sesuai. Cuma apa yang boleh saya katakan, BN Terengganu sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRU13 ini.

“Kita akan buka bilik gerakan mulai 1 Februari ini. Setakat ini, Alhamdulillah persiapan yang dibuat cukup rapi dan kami bersedia sepenuhnya. Kita yakin akan tawan beberapa kerusi yang kini dimiliki pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Hari Keluarga Wisma Darul Iman di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Mat Razali Kassim dan Pengarah Tanah dan Galian (PTG), Datuk Tuan Mamat Tuan Ngah.

Ahmad dalam ucapannya mengharapkan agar program seumpama itu menjadi medan bagi mengeratkan hubungan di kalangan kakitangan bersama ahli keluarga.

Jelasnya, hubungan baik seumpama itu wajar diteruskan setiap kali berurusan dengan masyarakat luar dan memberi perkhidmatan terbaik supaya imej sektor awam sentiasa baik dan dihormati semua pihak.

Tiada ulasan: