Jumaat, 11 Januari 2013

Pesawah Tanjong Karang Kecewa Benih Padi Mahal Dan Tidak Berkualiti


pesawah benih padi 02

TANJONG KARANG : Petani Sawah Sempadan di sini, kecewa apabila harga benih padi yang dibekalkan untuk mereka didakwa mahal dan kurang berkualiti.
pesawah benih padi 04
Seorang pesawah, Ahmad Mukti, 60, mendakwa harga benih padi jenis CL2 atau dikenali sebagai ‘benih kebal’ oleh pesawah berharga RM115 bagi 20 kilogram (kg) beserta racun adalah mahal.

Harga sedemikian tidak mendatangkan keuntungan kepada pesawah kerana harga jualan padi masih tidak meningkat.

Dakwanya, harga kilang bagi 20kg benih padi jenis CL2 hanya RM28 sahaja.

Ini bermakna harga racun berkuantiti 30 mililiter (ml) yang termasuk dalam pakej benih padi tersebut adalah terlalu mahal iaitu RM87.

“Satu petak sawah yang berkeluasan tiga ekar memerlukan sebanyak lapan beg benih padi 20kg dan jika dikira kos keseluruhan bagi penanaman padi adalah terlalu tinggi dan tidak langsung menguntungkan pesawah,” katanya yang tinggal di Blok C, Sawah Sempadan.
pesawah benih padi 03
 Ahmad berkata, benih padi tidak terlalu mahal pada masa dahulu kerana dipantau oleh Kementerian Pertanian tetapi atas sebab-sebab seperti kelewatan penerimaan benih padi kepada pesawah menyebabkan benih padi diswastakan kepada syarikat-syarikat tertentu.

Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani didakwa memberikan kuota pemprosesan subsidi benih padi sebanyak 80,000 tan metrik setahun kepada Syarikat Seri Merbok Sdn Bhd yang didakwa dimiliki oleh Datuk Rais Zainuddin iaitu bekas ahli Exco Negeri Sembilan dan Syarikat Haji Mohd Noor yang didakwa memiliki hubungan rapat dengan menterinya, Datuk Seri Noh Omar.

Dalam pada itu, Penyelaras DUN Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, harga berkaitan padi ini sepatutnya dikawal sepenuhnya oleh Kementerian Pertanian dan bukannya mengambil jalan mudah untuk diswastakan dan akhirnya menekan pesawah dengan pelbagai masalah.
pesawah benih padi 05
Sementara itu, Ketua Blok T1 Sawah Sempadan, Mohd Faizal Sali, 32, berkata harga jualan padi masih rendah iaitu pada harga RM1250 satu tan dan pesawah akan menanggung kerugian jika benih padi yang dibekalkan tidak berkualiti serta tidak mampu melawan penyakit dan haiwan perosak.

“Harga benih padi mahal, belum tentu semua benih padi ini akan membesar dan pesawah terpaksa menanggung kos membeli racun bagi membendung masalah haiwan perosak seperti tikus dan siput yang memakan benih padi,” katanya lagi.

Seorang lagi pesawah, Sahril Salimon, 28, menuntut supaya harga benih padi dapat dikurangkan lagi bagi menampung kos penanaman padi yang semakin meningkat.

Sahril mendakwa, harga jualan benih padi patut dipantau kerana terdapat segelintir pihak menaikkan harga sesuka hati dan pesawah berhak mendapat tahu harga sebenar benih padi yang dikeluarkan pekilang iaitu Seri Merbok Sdn Bhd.

pesawah benih padi 01

Tiada ulasan: