Sabtu, 17 September 2011

Mansuh ISA : Anwar Ingatkan Rakyat Agar Lebih Waspada

Ditulis oleh Naeem Raffi


SHAH ALAM : Biarpun pengumuman perdana menteri,Mohd Najib Razak untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dialu-alukan , namun hakikatnya rakyat perlu berwaspada dengan hasrat kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN)itu kerana ia dikhuatiri hanya akan berselindung disebalik pengenalan kepada dua undang-undang baru itu kelak, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Langkah Datuk Seri Najib Razak untuk membatalkan (ISA) kami alu-alukan, namun kita harus waspada kerana pembatalan itu berlapik, semua sedia maklum ia akan digantikan dengan dua undang-undang baru dan tidak tahu terperinci mengenainya," katanya.

Malah, Anwar mendakwa langkah Najib mengumumkan pemansuhan akta zalim itu hanya sekadar untuk mengaburi mata rakyat yang selama ini mendambakan undang-undang tersebut dihapuskan, walhal pengenalan dua undang-undang baru hanya akan bersifat 'kelahiran semula ISA'.

"Kalau ada undang-undang baru seperti yang dicadangkan semata-mata untuk mempertahankan prinsip yang sama atas 'nama saja yang berbeza' tetapi maksudnya tetap ISA' tiada beza dengan yang sebelum ini," tegasnya dalam satu sidang media selepas pertemuan dengan wakil Kesatuan Sekerja Malaysia Airline (MAS) di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya, hari ini.

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Dua undang-undang baru akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Mengulas lanjut perkara tersebut Anwar berkata, undang-undang kontroversial ini seharusnya telah lama dimansuhkan dan bukan hanya setelah sekian lama Umno-BN bebas menyalahgunakanya demi kelangsungan politik mereka dan hanya untuk menjaga kepentingan kelompok masing-masing sahaja.

Malah, beliau turut mempersoalkan adakah keadaan sudah aman sekarang sehingga ISA boleh dimansuhkan dan apakah ia benar-benar mampu menyelamatkan Negara dan bangsa Melayu?

Justeru, apakah bangsa Melayu di negara ini tidak selamat sebelum ini atau adakah langkah Najib itu hanya tindakan terdesak beliau untuk menarik sokongan rakyat bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

"Bulan lalu, mereka (Kerajaan) mengatakan bahawa ISA ini adalah undang-undang penting untuk menyelamatkan Negara dan bangsa Melayu, tapi apa yang berlaku sekarang? adakah orang Melayu tidak selamat tanpa ISA? soalnya.

"Batalkan ISA untuk timbulkan suasana yang lebih lunak serta menghormati prinsip demokrasi, maka ia perlu ada ruang yang lebih terbuka," tambahnya.

Anwar, 64, ditahan di bawah ISA selama tiga tahun mulai 1974 kerana demonstrasi jalanan di Universiti Malaya berhubung kemiskinan Baling, Kedah.

Beliau ditahan semula di bawah ISA pada September 1998 selepas dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno sebelum dikenakan tuduhan liwat dan salah guna kuasa.

Tiada ulasan: