Rabu, 21 September 2011

KEADILAN Sabah tekad bongkar lebih banyak rasuah Umno

Oleh: Masdar Wahid



KUALA LUMPUR: KEADILAN Sabah menyambut saranan pimpinan Pakatan Rakyat Pusat sebagaimana ditegaskan pada ucapan mereka pada konvensyen Pakatan Rakyat Sabah 16 September lalu, kata Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri, Dr Roland Chia Ming Shen.

Roland mengulas gesaan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PAS, Mohd Sabu supaya Pakatan bekerja lebih keras untuk memastikan pentadbiran di Putrajaya.

“KEADILAN negeri menyambut baik setiap cabaran itu dan kita akan memastikan setiap jentera ketiga-tiga komponen parti akan lebih bekerja keras selepas ini.

“Kita juga memastikan setiap program diperingkat Cabang dan ranting mesti dihadiri setiap komponen Pakatan dari ketiga-tiga parti selain memastikan keputusan penting Pakatan tidak didedah kepada media yang mengundang manipulasi dari pihak lawan,” katanya dihubungi Keadilandaily.com hari ini.

Wan Azizah pada ucapannya di konvensyen itu, Jumaat lalu menggesa anggota dan pimpinan Pakatan Sabah mendedahkan lebih banyak lagi penyelewengan pentadbiran Umno BN Negeri.

Ini kerana kata Azizah, isu rakyat terlalu banyak di Sabah, namun kurang didedah Pakatan di media dan dalam ceramah bersama rakyat.

Manakala Mohd Sabu menggesa jentera Pakatan negeri menggiatkan penerangannya mengenai rasuah di kawasan pedalaman di negeri itu.

Bagi Mohd Sabu, isu rasuah lebih banyak buruknya terhadap luar bandar yang majoritinya masih miskin, berbanding pengundi bandar yang lebih celik maklumat mengenainya.

Sementara Kit Siang mahu rakyat Sabah memastikan setiap undi mereka samada diperingkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen hanya untuk calon Pakatan Rakyat.

Kit Siang menegaskan, walaupun rakyat Sabah pernah menukar kerajaan sebanyak empat kali, namun kehidupan rakyat masih sama kerana kebanyakan keputusan melibatkan rakyat berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Konvensyen Pakatan Sabah pertama kali diadakan pada hari itu berjaya menarik kehadiran kira-kira 2,000 rakyat pelbagai kaum di negeri itu.

Turut hadir, golongan profesional, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pimpinan, pendokong, pengikut, penyokong dan anggota Pakatan Rakyat Sabah dari KEADILAN, PAS dan DAP dari seluruh daerah di negeri itu.

Tiada ulasan: