Sabtu, 17 September 2011

ISA: Anwar tidak mahu tuntut pampasan




PETALING JAYA — Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dua kali tidak akan menuntut pampasan daripada kerajaan susulan tindakan Putrajaya mahu memansuhkan undang-undang kontroversial itu.

Bekas timbalan perdana menteri ini berkata, beliau tidak rasa sesal kerana ditahan tanpa perbicaraan di bawah undang-undang kontroversial itu, malah menganggap ia bukan satu soal peribadi.

“Bagi saya ia bukan sesuatu yang peribadi,” kata beliau (gambar) ketika ditanya sama ada akan menyertai gesaan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik pembangkang yang mahu kerajaan Barisan Nasional (BN) membayar pampasan kepada tahanan ISA, akta yang dikuatkuasakan sejak lebih lima dekad lalu.

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Dua undang-undang baru akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Anwar, 64, ditahan di bawah ISA selama tiga tahun mulai 1974 kerana demonstrasi jalanan di Universiti Malaya berhubung kemiskinan Baling, Kedah.

Beliau ditahan semula di bawah ISA pada September 1998 selepas dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno sebelum dikenakan tuduhan liwat dan salah guna kuasa.

MENYUSUL LAGI

Tiada ulasan: