Khamis, 4 Disember 2008

Permohonan Raja Petra pindah kes didengar 20 Jan depan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 20 Jan tahun depan untuk mendengar permohonan penulis blog Raja Petra Kamaruddin supaya perbicaraan kes fitnah terhadapnya dikembalikan ke mahkamah rendah.

Pesuruhjaya Kehakiman Zainal Azman Ab. Aziz juga memberi tempoh dua minggu, sehingga 19 Dis ini, kepada Raja Petra dan pihak pendakwaan, diwakili Timbalan Pendakwaraya Anselm Charles Fernandis, untuk memfailkan hujahan bertulis masing-masing ke mahkamah.

Terdahulu, peguambela K.Chandra memohon penangguhan kes itu, yang sepatutnya didengar hari ini, atas alasan ketiadaan seorang lagi peguambela iaitu Manjeet Singh Dhillon kerana menjalani pemeriksaan kesihatan di London.

Raja Petra didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada 17 Julai lepas kerana memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Rosmah Mansor, Pemangku Kolonel Abdul Aziz Buyong dan isterinya, Kolonel Norhayati Hassan, dalam akuan berkanun yang dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil di Jalan Duta di sini pada pukul 10.25 pagi, 18 Jun.

Pada 15 Ogos lalu, Majistret Nazran Mohd Sham membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Amir Nasruddin untuk memindahkan kes Raja Petra ke Mahkamah Sesyen atas alasan kes itu membabitkan kepentingan awam.

Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen, peguam bela Raja Petra, Manjeet Singh Dhillon, mengemukakan bantahan awal dan memohon perintah Mahkamah Sesyen supaya mengembalikan kes itu untuk dibicarakan di Mahkamah Majistret dengan alasan bahawa perintah Mahkamah Majistret yang memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen adalah tidak sah dan melanggar Seksyen 177 Kanun Acara Jenayah.

Raja Petra, editor Malaysia Today, juga memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi pada 25 Nov lepas bagi memohon satu perintah untuk mengembalikan kes itu ke Mahkamah Majistret atau merujuknya kepada Mahkamah Persekutuan mengenai isu perlembagaan.

Pada 28 Nov, Hakim Mahkamah Sesyen Mohamad Sekeri Mamat memutuskan untuk menyerahkan kepada Mahkamah Tinggi sama ada untuk mengembalikan kes fitnah itu ke Mahkamah Majistret untuk dibicarakan.

Raja Petra, jika sabit kesalahan, akan menghadapi hukuman penjara dua tahun atau didenda, atau keduaduanya, bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: