Khamis, 6 November 2008

Kawasan gereja Ladies of Fatima diceroboh masuk

Mohd Nor Yahya


KOTA BHARU - Kawasan kompleks gereja Ladies of Fatima (Khatolik) di Jalan Kuala Krai dekat sini dipecah masuk malam tadi menyebabkan sebuah pondok kecil yang menempatkan patung St. Maria rosak.

Kejadian itu disedari kira-kira jam 11.30 malam selepas beberapa rahib wanita yang berada di kuarters di gereja tersebut mendengar bunyi cermin pecah.

Menurut Ketua Rahib Wanita, Caroline Gan, ekoran itu beliau meminta rakannya Mary Ng memanjat kerusi dan dia ternampak seorang lelaki yang sedang memanjat pagar kompleks gereja untuk melarikan diri.

Katanya pencerobohan itu menyebabkan cermin pondok terbabit pecah dan patung St. Maria terbalik.

"Dan pagi tadi kami membuat laporan polis ekoran kejadian tersebut," katanya kepada media ketika ditemui di gereja tersebut padi tadi.

Kompleks gereja itu menempatkan sebuah gereja dan tadika yang kini mempunyai seramai 150 pelajar berusia 3 hingga 6 tahun. Gereja berkenaan berusia lebih 30 tahun.

Caroline berkata, sebelum ini tidak pernah berlaku sebarang pencerobohan masuk dalam kawasan kecuali baru-baru ini seorang lelaki dilihat menghampiri pondok St. Maria kemudian disedari pengerusi gereja, Mr Alex Poh.

Ketua Paderi, Robert Daniel yang kini berada di Pulau Pinang juga telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

"Saya berharap perkara itu tidak berlaku lagi kerana kita di sini inginkan keamanan dan kedamaian terutamanya melibatkan pelbagai kaum," ujar beliau.

Sementara itu, pegawai penyiasat dari Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontijen Kelantan, ASP Chamlong a/l Choi turut hadir meninjau kawasan kejadian.

Beliau menasihatkan pihak gereja supaya mengadakan kawalan keselamatan pada waktu malam dan sentiasa menutup pintu pagar. - mj _

Tiada ulasan: