Ahad, 16 November 2008

Dun Perak lulus usul desak Pusat mansuhkan ISA

Anis Nazri


KUALA LUMPUR - Selepas Selangor, sebuah lagi negeri Pakatan Rakyat meluluskan usul meminta kerajaan pusat memansuhkan ISA, di Dewan Undangan Negeri Perak, semalam.

Usul yang dibawa Adun Teja, Chang Lih Kang menekankan bahawa undang-undang lapuk itu perlu dimansuhkan memandangkan secara jelas ia melanggar hak asasi manusia. Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh, yang turut berada ketika usul itu dibentangkan, melahirkan rasa gembira kerana usul tersebut diluluskan Dun Perak, selepas Selangor meluluskan usul yang sama, Mei lalu.

Malah, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin yang telah mencipta sejarah dalam Dun Perak apabila usul tersebut diluluskan.

"Kita sedar ISA tidak boleh dimansuhkan jika Kerajaan Persekutuan masih bukan diperintah Pakatan Rakyat, tapi ini sebagai desakan kepada kerajaan BN untuk memansuhkan akta ini," tegas beliau kepada Harakah, semalam.

Beliau turut mengharapkan usaha kerajaan negeri Selangor dan Perak ini akan diteruskan di negeri-negeri lain di bawah Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim turut mencadangkan kepada Nizar pelbagai bentuk bantuan yang boleh disalurkan kerajaan negeri kepada keluarga tahanan ISA, khususnya di Perak.

"Mungkin juga kerajaan negeri boleh membuat lawatan ke Kemta, selain menyokong usaha-usaha GMI ke arah memansuhkan akta itu yang jelas secara dasarnya melanggar hak rakyat Malaysia," tegas beliau.

Bagaimanapun, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Perak apabila bertindak memasukkan peruntukan kepada keluarga tahanan ISA dalam Bajet 2009, yang dibentangkan Nizar sebelum ini.

Selain Syed Ibrahim, turut serta menjadi tetamu khas kerajaan negeri dalam sidang Dun itu, ialah Adun Hulu Kelang, Saari Sungib yang juga bekas tahanan ISA dan isteri, Aliza Jaafar dan aktivis GMI yang juga isteri tahanan, Norlaila Othman. - mns_

Tiada ulasan: