Isnin, 8 September 2008

Mesyuarat PKR bincang isu Zulkifli ditangguh hingga Selasa
Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN


PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bercadang mengadakan mesyuarat Lembaga Disiplin berhubung isu Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin menyertai demonstrasi membantah Majlis Peguam awal bulan lalu ditangguhkan sehingga minggu depan.

mStar Online difahamkan ia itangguhkan atas sebab-sebab teknikal.

Timbalan Presiden PKR, Prof. Syed Husin Ali yang dihubungi mengesahkan mengenai perkara tersebut.

"Ya, kami terpaksa menangguhkannya sehingga Selasa depan kerana Zulkifli tidak dapat hadir kerana beliau terpaksa kembali ke Kulim," katanya hari ini.

Jelas beliau, mengikut prosedur lembaga disiplin parti akan memanggil Zulkifli untuk memberi kenyataan berhubung masalah itu terlebih dahulu.

"Selepas kita dengar sendiri daripada Zulkifli barulah, kami akan memutuskan bentuk tindakan yang akan dikenakan ke atasnya," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Disiplin parti menafikan tindakan PKR memanggil Zulkifli menerangakan perkara sebenar kepada mereka kerana didesak oleh Pakatan Rakyat.

"Ini bukan desakan mana-man pihak. Ini merupakan inisiatif PKR sendiri. Kami mahu mendengar pengakuan beliau," katanya.

Ditanya bentuk tindakan yang akan diambil terhadap ahli Parlimen, Kulim-Bandar Bharu itu, beliau enggan mengulas mengenainya

"Saya tidak boleh dedahkan apa bentuk tindakan ke atasnya ketika ini.Namun perkara utama ketika ini beliau akan tetap menjadi Ahli Parlimen kerana rakyat telah memilihnya," katanya.

Sementara itu, Zulkifli yang dihubungi mengesahkan beliau ada dibeitahu Lembaga Disiplin parti itu akan mengumumkan bentuk tindakan ke atasnya selepas menyertai bantahan terhadap forum berkenaan.

"Saya tahu mengenainya cuma yang pasti saya tidak tahu bila dan di mana ia akan diadakan," katanya.

"Parti mempunyai hak untuk mengenakan tindakan disiplin terhadapnya dan saya juga punya hak untuk pertahankan Islam," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

"Saya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Saya tidak bercakap tentang hak Melayu tetapi saya bercakap tentang agama Islam ketika menyertai bantahan terhadap forum Islam anjuran Majlis Peguam itu," katanya.

Tiada ulasan: