Sabtu, 6 September 2008

Gerakan ancam keluar BN
KL Pos


KB: Parti Gerakan akan bertindak keluar daripada Barisan Nasional (BN) sekiranya tidak dilakukan sebarang perubahan atau pembaharuan bagi mengembalikan semula kegemilangan BN.

Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata Gerakan masih belum menetapkan masa khusus untuk bertindak seperti itu, namun akan berbuat demikian dalam satu tempoh yang dianggap munasabah

Menurutnya, pembaharuan atau perubahan yang ingin dilihat dalam BN ialah perubahan sikap dan pendekatan serta semangat bermusyawarah perlu diwujudkan semula dengan lebih adil di antara parti komponen supaya semua pandangan pihak terbabit diambil kira dalam agenda BN.

'Gerakan bukannya sebuah parti yang buta kepada keadaan dan bukan juga sebuah parti pak turut dalam BN,' katanya semalam.

Sementara itu, pantun mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang meminta pemimpin negara mengundur diri 'apabila negara kacau' menimbulkan seribu tanda tanya.

Pantun yang disiarkan di blog beliau dua hari selepas pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh minggu lalu, antaranya, menyebut

Anak singa di Pulau Teberau,
Anak tebuan seekor lari;
Jika negara sudah kacau,
Eloklah tuan mengundur diri.

Karya Dr Mohd Asri yang berjudul Pantun Cari Ganti itu tidak pula menamakan dengan jelas pemimpin politik yang dimaksudkan, lapor laman berita Malaysiakini.

Pantun empat kerat itu berlatarkan imej pejabat perdana menteri di Putrajaya.

Rangkap akhir pantun itu pula meminta pengunduran tersebut digantikan dengan pemimpin yang 'berbudi tinggi' dan 'bukan perompak ganti pencuri'.

Tiada ulasan: