Khamis, 30 Mac 2017

Pelaburan forex: 23,259 pelabur putih mata

SINAR HARIAN

Kes jenayah
Kes jenayah


KUALA LUMPUR - Seramai 23,259 pelabur menjadi mangsa kes skim pelaburan forex dengan anggaran kerugian mencecah hampir RM80 juta, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata, perkara itu didedahkan selepas pihaknya menerima sejumlah 408 laporan polis berhubung kes berkenaan yang dikendalikan oleh sebuah syarikat dikenali sebagai VenusFX.

"Berdasarkan siasatan yang dijalankan, kami mendapati syarikat ini memperdaya mangsa untuk membuat pelaburan minimum bernilai RM2,000 hingga RM40,000 dan pembayaran keuntungan akan dibuat secara harian.

"Pelaburan forex ini dibuat secara pelaburan manakala keuntungan dijanjikan tidak dibayar. Susulan itu, kami melancarkan operasi nuri untuk membanteras kegiatan ini di beberapa lokasi di Kuala Lumpur, Pahang dan Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Acryl Sani berkata, dalam operasi itu, pihaknya menahan lima suspek lelaki dan seorang wanita warga tempatan berumur lingkungan 28 hingga 38 tahun.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan reman selama 21 hari untuk siasatan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 Pindaan 2014 (Akta 297).

"Selain itu, kami merampas satu unit komputer riba, 10 telefon bimbit pelbagai jenama, 10 keping kad ATM dan lima kenderaan pelbagai jenis dianggarkan berjumlah RM750,000 dalam serbuan yang dijalankan.
"Saya ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak menjadi mangsa kegiatan penipuan pelaburan sedemikian," katanya.

Beliau berkata jika ditawarkan sebarang bentuk pelaburan dijanjikan pulangan lumayan dalam masa yang singkat, segera membuat semakan dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan.

"Ini untuk memastikan kesahihan pelaburan itu sekaligus mengelakkan diri daripada menjadi mangsa sindiket penipuan ini," katanya. - Bernama

Tergadai Lagi!! Hakcipta Lagu Isabela Kini Milik Indonesia?

 Suara Kebenaran



Trend menggadai harta milik negara kini semakin menjadi-jadi.  Terbaru, sumber dalaman industri muzik tempatan memaklumkan Pakatan Harapan bahawa hakcipta lagu Isabella yang berasal dari negara ini, sekarang sudah dibeli oleh sebuah syarikat dari Indonesia dengan harga yang sangat lumayan.

Lagu ini masih popular di Indonesia walaupun akan berusia 30 tahun pada 2019.  Difahamkan, lagu berkenaan telah diadaptasi dalam beberapa versi di negara tersebut sehingga generasi muda negara itu tidak menganggap lagu Isabella ini berasal dari Malaysia, sebaliknya negara mereka.

Tidak hairan ada pihak yang masih berminat untuk membeli hak cipta lagu berkenaan pada harga yang tinggi.

Sumber yang sama turut memaklumkan bahawa royalti lagu itu sudah tidak lagi dibayar kepada pencipta asal lagu tersebut sejak pertengahan tahun lepas lagi.

Jika ini benar, Pakatan Harapan melihatnya sebagai suatu yang malang.  Walaupun hanya sebuah lagu, ia tetap harta warisan negara yang sepatutnya dipelihara dengan baik.  Kita telah melihat bagaimana syarikat luar mengaut keuntungan berlipat ganda hasil kerja keras seniman dari negara ini seperti dalam kes membabitkan Seniman Agung P Ramlee.

Seolah-olah kita tidak belajar dari sejarah.

‘Harga barang boleh turun kerana GST’ kini hanya tinggal kenangan


Roketkini.com

SHAH ALAM: Kenaikan kos sara hidup ekoran pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dapat dielakkan jika kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) serius membasmi budaya rasuah.

Adun Balakong, Eddie Ng Tien Chee berkata, ketirisan dana akibat daripada jenayah itu jika diperangi secara menyeluruh dapat mengembalikan semula pelbagai subsidi yang dinikmati rakyat sebelum ini.

“Pakatan Harapan dengan konsistennya telah membantah perlaksanaan GST. Kami berpandangan bahawa kekurangan hasil kerajaan untuk menampung perbelanjaan yang tinggi dapat diatasi sekiranya pentadbiran kerajaan lebih efektif dengan menghapuskan rasuah.

“Ia termasuk membasmi salah guna kuasa serta penyelewengan yang telah mengakibatkan negera kehilangan wang melebihi AS$48.93 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah, menurut Eddie Ng yang juga Setiausaha Organisasi DAP Selangor, janji menteri UMNO, Datuk Ahmad Maslan bahawa kononnya harga barangan akan turun kerana GST, terbukti kini sama sekali tidak benar.

Sebaliknya, kata Eddie Ng, cukai yang diperkenalkan pada April 2015 itu telah mengakibatkan kos barangan dan perkhidmatan melambung tinggi ditambah dengan penghapusan pelbagai subsidi barangan keperluan harian.

“Melalui GST, kerajaan berjaya mengutip RM27 bilion pada tahun 2015 dan RM39 bilion pada tahun 2016. Di manakah duit tersebut dibelanjakan?

“Bukankah kerajaan, melalui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan GST merupakan penyelamat kepada rakyat Malaysia? Ataupun ianya sebenarnya penyelamat kepada kerajaan Malaysia yang hampir muflis,” ujarnya.

Pakatan Harapan tidak perlu GST untuk senangkan rakyat

Ia berbeza dengan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor, yang menurut Eddie Ng tidak memerlukan ‘cukai zalim’ itu bagi menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan kepada rakyat.

“Kerajaan Pakatan Harapan di Pulau Pinang dan Selangor yang tidak menerima sebarang hasil daripada cukai GST telah membuktikan keupayaan kami mentadbir dengan lebih cekap dan berkesan.

“Tanpa bergantung pada GST, kerajaan Selangor telah berjaya berkongsi hasil negeri dengan rakyat malalui program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor seperti air percuma, Tawas, SMUE, Tunas dan banyak lagi termasuk yang terkini, Skim Peduli Sihat yang dianggar menelan kos sebanyak RM125 juta setahun untuk program ini sahaja,” katanya.

Kejayaan Pakatan Harapan ini katanya, adalah hasil daripada mengamalkan prinsip pentadbiran yang adil, telus serta bebas rasuah. – Roketkini.com


Menyeksa Siti Noor Aishah


Ini kisah Siti Noor Aishah. Dari jauh aku lihat dia mengesat air mata. Bukan kerana bebanan yang menimpa, tapi rasa malu kerana terpaksa menyusahkan orang lain.

"Terima kasih banyak. Mak cik tak ada duit nak bagi, mak cik malu dengan kamu. Semoga tuhan balas jasa kamu," katanya.

Dia berjalan perlahan-lahan menuju ke arah bas ekspres yang sedang menunggu. Waktu itu aku lihat dia mengesat air mata walaupun sebenarnya dia cuba menyembunyikan kesedihan itu dengan berselindung di celah-celah kereta.

Pak Cik Atam pula masih berdiri di tepi kereta aku. Dia ingin menghulurkan duit. Aku tahu, orang tua ini seorang OKU yang hanya menyara hidup anak isteri hasil wang bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, serta wang pencen Socso sebanyak RM600.

Aku menolak wang yang dihulur itu bukan kerana aku ada banyak duit, tapi langsung tak tergamak mengambilnya.

"Terima kasih banyaklah encik. Pak cik tak tahu dah nak mengadu pada siapa. Di KL ni, kami sekeluarga tak ada siapa-siapa nak mengadu."

Pak Cik Atam Jusof dan isterinya, Mak Cik Saadiah Ibrahim adalah ibu dan ayah kepada Siti Noor Aishah, seorang bekas pelajar Universiti Malaya yang dituduh mengikut Sosma - atau Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 kerana kononnya memiliki 12 buku yang diharamkan.

Mereka aku hantar ke stesen bas sementara Shah Alam untuk membolehkan mereka pulang ke Dungun, Terengganu.

Semalam, anak mereka itu baru saja ditahan semula mengikut Sosma dan dihantar ke Penjara Kajang.
Tidak dapat aku bayangkan jika kedua-dua orang tua itu adalah ibu dan bapa aku. Aku tak tahu sialan apa yang merasuk dalam diri orang yang sanggup mendera mereka sekeluarga.

Disekat dua tahun

Siti Noor Aishah pelajar pintar. Menyambung ijazah di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) walaupun dia sebenarnya menerima tawaran dari universiti lain.

Dia kemudian menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana dalam jurusan usuluddin (akidah) di Universiti Malaya. Suka membaca, malah sewaktu berjumpa dengannya, kami sempat bertanya apa harapan jika dibebaskan kelak.

Jawab dia: "Saya harap minat saya untuk membaca tak dihalang".

Aku sempat ke rumah mereka beberapa minggu lalu. Rumah itu cuma ada satu bilik, dan ia tak berpintu pun. Cuma ditutup dengan kain langsir.

Aishah tak pernah keluar dari kediaman itu sejak dikenakan sekatan rumah dan dipakaikan Peranti Pengawasan Elektronik (EMD) apabila dia ditahan kali kedua mengikut Akta Pencegahan Jenayah (Poca). Sekatan itu dikenakan kepadanya selama dua tahun.

Ketika kami datang itulah baru dia keluar. Kata ibunya, wajah Aishah sedikit ceria.

Aishah merupakan anak sulung daripada lima beradik. Seorang daripada daripada adiknya baru menamatkan pengajian di peringkat dan diploma dan bekerja kilang di Senawang.

Dua yang lain bekerja di Shah Alam dan Kerteh, manakala seorang lagi masih menuntut di Institut Latihan Perindustrian.

Di bahu Aishahlah harapan keluarga digantungkan kerana mendapat kesempatan belajar lebih tinggi berbanding adik-adiknya yang lain.

Pada 22 Mac 2016 kira-kira jam 12.25 tengah hari, sepasukan polis Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman - lengkap bersenjata M-16 - menyerbu kediaman pasangan Pak Cik Atam dan Mak Cik Saadiah.

Ketika itu Aishah sedang tidur di bilik. Dia kemudian dibawa ke kereta dalam keadaan terpinga-pinga. Sebanyak 25 naskah buku serta telefon bimbit dirampas polis.

"Masuk saja dalam kereta polis, diorang dah mula soal siasat. Polis tanya saya, mana bendera? Mana bom?" kata Aishah.

Selepas itu Aishah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, sebelum dihantar ke pusat tahanan yang dirahsiakan lokasinya. Di situlah dia ditempatkan selama 28 hari.

Mengikut cerita Aishah, bilik tahanannya sempit, tidak bertilam dan bantal, lampu dibuka sentiasa. Setiap hari, Aishah disoal siasat selama 12 jam. Itulah rutin yang dijalaninya sepanjang 28 hari itu.

"Mereka tak pukul saya, tapi kalau jawapan yang saya beri tidak memuaskan, mereka 'cuma' suruh saya ketuk ketampi, jalan itik dan berdiri separuh duduk.

"Sepanjang 28 hari itu saya beberapa kali mohon kepada polis supaya dapat menghubungi ayah, dan minta dilantik seorang peguam untuk mewakili saya. Polis jawab, mereka sudah beberapa kali maklum pada ayah, tapi tiada jawapan," katanya.

Realitinya, polis tidak memaklumkan apa-apa pun pada ayah Aishah. Malah apabila ayahnya melantik peguam, polis memarahi orang tua itu. Mereka minta Pak Cik Atam tidak melantik peguam mewakili Aishah.
Petaka apakah ni?

Atas dasar ingin memudahkan kerja, kau layan mereka macam sampah. Ayah mana yang akan membiarkan anaknya meringkuk dalam penjara tanpa pembelaan?

Tamat tempoh 28 hari, Aishah di bawa ke Mahkamah Majistret Kemaman pada 19 April 2016, dan dituduh mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan kerana didakwa memiliki buku-buku berunsur keganasan yang berkaitan dengan kumpulan pengganas.

Gagal jalankan fungsi

Aishah ditahan di Penjara Pengkalan Chepa lebih dari sebulan, kemudian dipindahkan ke Penjara Kajang selama hampir lima bulan. Sepanjang perbicaraan berlangsung, Aishah tidak dibenarkan untuk diikat jamin. Memang itulah prosedur di bawah Sosma.

Pada 29 September 2016 Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Sharif Abu Samah, memerintahkan Aishah dibebaskan.

Hal ini kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa buku-buku dimiliki Aishah itu diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri. Malah buku-buku tersebut masih tidak diharamkan sehingga hari ini!

“Apalah ertinya pemilikan buku-buku tersebut yang dikatakan mempunyai kaitan dan unsur-unsur pengganas menjadi suatu kesalahan ke atas sesiapa yang memiliki buku-buku tersebut, walhal Kementerian Dalam Negeri gagal menjalankan fungsi sebenarnya untuk mengharamkan dan seterusnya menghapuskan buku-buku tersebut,” kata Mohamad Sharif.

Berikut adalah senarai buku didakwa dimiliki Aishah:
 
* Visi Politik Gerakan Jihad
Penulis: Hazim Al-Madani & Abu Mush'ab As-Suri
Penterjemah: Luqman Hakim
Penerbit: Jazera

* Generasi Kedua Al-Qaedah: Apa Dan Siapa Zarqawi, Apa Rencana Mereka Ke Depan
Penulis: Fuad Hussein
Penterjemah: Ahmad Syakrikin
Penerbit: Jazera

* Akankan Sejarah Terulang
Penulis: Dr.Muhammad Al-Abdah
Penterjemah: Abas Mansur Tamam
Penerbit: Jazera

* Deklarasi Daulah Islam Iraq
Penulis: Dewan Syariah Daulah Islam Iraq
Penterjemah: Abu Hafsh As-Sayyar & Abu Musa Ath-Thayyar
Penerbit: Islamika

* Merentas Jalan Jihad Fisabillah
Penulis: Shaikh Abdul Qadir Abdul Aziz
Penterjemah: Hassan As-Sayyari
Penerbit: Pustaka Al Alaq

* Misteri Pasukan Panji Hitam
Penulis: Muhammad Abu Fatiha Al-Adani
Penterjemah: H Muhammad Harun Zein
Penerbit: Jasmin Publication

* Turki Negara Dua Wajah
Penulis: Abdullah Azam
Penterjemah: Abdurrahman
Penerbit: Al Alaq

* Masterplan 2020: Strategi al-Qaeda Menjebak Amerika
Penulis: Fahmi Suwaidi
Penerbit: Jazera

* Dari Usama Kepada Para Aktivis
Penulis: Syaikh Usamah Bin Ladin dan Syaikh Yusuf Al Uyairi
Penterjemah: Umar Burhanuddin, Abu Hafs As Sayyar & Syahida Man
Penerbit: Kafayeh

* Dari Rahim Ikhwanul Muslimin Ke Pangkuan al-Qaeda
Penulis: Ayman Az-Zawahiri
Penterjemah: Umar Burhanuddin
Penerbit: Kafayeh


* Ketika Maslahat Dipertuhankan dan Menjadi Taghut Model Baru
Penulis: Abu Muhammad Ashim Al Maqdisiy
Penterjemah: Abu Sulaiman Aman Abdurrahman
Penerbit: Tiada dicatat

* Seri Materi Tauhid for the Greatest Happiness
Penulis: Tiada dicatat
Penterjemah: Abu Sulaiman Aman Abdurrahman
Penerbit: Tiada dicatat

Mengikut kata Mak Cik Saadiah, hakim secara tegas mengarahkan supaya anaknya itu dibebaskan dan tidak ditahan semula.

“Kamu nak tahan dia semulakah? Kamu bebaskan dia segera”, kata beliau kepada pendakwaraya. Itu cerita menurut ibu Aishah.

Namun keluar dari mahkamah, Aishah ditahan semula mengikut Poca. Aku tak tahu apa yang berada dalam fikiran mereka. Kali ini, Aishah dituduh mengimport bendera ISIS ke Malaysia. Tapi buktinya? TIADA.

Tanya dijawab tanya

Lebih dari sebulan ditahan didalam solitary confinement di bawah Poca, Aishah diarahkan untuk dikenakan tahanan rumah selama dua tahun dan EMD. Sepanjang tempoh dua tahun itu Aishah mesti hadir melapor diri ke IPD Dungun setiap minggu.

Dia juga dilarang keluar dari kawasan sekatan. Adakah peluang pekerjaaan untuk Aishah? TIDAK ADA.
Kami sempat ke rumah Aishah dan menemubualnya sambil makan petang bersama keluarga. Aishah sedikit ceria.

Keluarga itu kini dibebani hutang ribuan ringgit untuk menguruskan kes Aishah. Orang kampung pula jarang-jarang gagal bertanya mengenai Aishah apabila bertemu dengan keluarganya.

“Pak Cik dah tak tahu nak jawab apa pada orang kampung. Sekarang pak cik bawa keratan akhbar ke mana-mana. Setiap kali orang kampung tanya, pak cik tunjuk keratan akhbar ni,” kata Pak Cik Atam.

Pada 27 Mac 2017, Mahkamah Rayuan di Putrajaya meluluskan rayuan pendakwa raya untuk menyebelahi mereka dalam penahanan Aishah mengikut Sosma.

Keluarga gadis itu tidak tahu langsung bahawa dia akan ditahan semula pada hari berkenaan. Tidak ada permohonan tahanan dibuat kepada Aishah di dalam mahkamah.

Selesai perbicaraan, keluarga membawa Aishah keluar untuk menikmati makanan di restoran. Peguam pula sudah dalam perjalanan pulang ke Terengganu.

Ketika itulah baru Pak Cik Atam dihubungi pegawai penyiasat yang memaklumkan supaya anaknya dibawa semula ke mahkamah.

Rupa-rupanya Aishah akan ditahan semula. Pak Cik Atam seorang OKU dan tak dapat berfikir secara lurus. Aku dihubungi, dan dimaklumkan mengenai penahanan semula Aishah.

Pagi itu aku tak sempat ke Mahkamah Rayuan kerana terpaksa bergegas ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk satu lagi kes melibatkan remaja Rohingya berusia 15 tahun yang dipenjara sejak Disember tahun lalu.

Petang itu, aku bawa keluarga Aishah ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk membuat aduan. Perkara paling dirisaukan ialah kedudukan Aishah. Di mana dia sekarang?

Pegawai Suhakam menghubungi pegawai penyiasat untuk bertanyakan lokasi Aishah. Yang diterima bukanlah jawapan, sebaliknya pertanyaan!

“Aishah ditahan oleh siapa? Polis atau mahkamah?” soal pegawai penyiasat kepada pegawai Suhakam.
Seperti bola kamu buat keluarga ini. Tendang ke sana ke mari. Kamu hukum Aishah, kamu hukum keluarga juga.

Kini Aishah ditahan di Penjara Kajang sehinggalah perbicaraannya selesai. Kalau menang sekali lagi pun, pendakwa raya boleh membuat rayuan sekali lagi, dan Aishah akan ditahan lagi. Inilah Sosma, inilah tahan tanpa bicara.

Yang ditahan kebanyakannya orang miskin. Diseksa terus-terusan mereka. Keluarga mereka turut sama diseksa. Sampai bila?

Kalau mereka bersalah, bicaralah dengan adil. Setiap orang ada hak untuk dibicarakan secara adil, bukan? Bukan kita yang perlu menjatuhkan hukuman.

Hari ini keluarga mereka, hari esok, mungkin kita pula…..

AMIR ABD HADI ialah penyelaras Suaram serta jurucakap Gerakan Anak Muda Demi Malaysia.

Kerajaan tak bentang RUU355


Datuk Seri Najib Razak berkata Dewan Tertinggi BN malam ini memutuskan kerajaaan tidak akan mengambil alih pembentangan usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di parlimen.

Menurut perdana menteri, keputusan itu diambil selaras dengan dasar dan amalan BN yang menetapkan semua keputusan mesti dibuat secara konsensus.



"Dewan Tertinggi BN malam ini membincangkan dan memutuskan bahawa kerajaan tidak akan membentangkan RUU355 selaras dengan dasar dan amalan kita bahawa BN membuat keputusan berdasarkan konsensus.

"Justeru, rang undang-undang ini akan terus menjadi bil (rang undang-undang) persendirian dan terserah kepada speaker (Dewan Rakyat) untuk menentukan (kedudukannya)," kata Najib pada sidang media di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur malam ini.

Dengan ketetapan itu, status usul persendirian yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, akan tertakluk kepada pertimbangan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kerajaan membuat keputusan untuk membentangkan sendiri cadangan pindaan Akta 355 itu pada sidang kali ini.

Katanya, perdana menteri komited untuk menterjemahkan hasrat tersebut tanpa mengganggu gugat kepentingan agama serta kaum lain di negara ini.

Perkembangan itu, kata Ahmad Zahid, memperlihatkan kerjasama kerajaan BN dengan "rakan baru" yang pernah menjadi musuh politik mereka demi memelihara kesucian Islam dan kedaulatan Melayu.

Undi mungkin ada mungkin tidak

Bagaimanapun mengulas kenyataan berkenaan, Abdul Hadi berkata, PAS tidak menganggap pendirian kerajaan itu sebagai muktamad,

Malah, kata anggota parlimen Marang itu, PAS mahu melihat dulu draf yang disediakan kerajaan berhubung cadangan pindaan berkenaan bagi mengelakkan ia "bertindih" serta "tidak mahu berlawan".

Usul meminda Akta 355 itu dibawa Abdul Hadi untuk meningkatkan had hukuman bagi kesalahan jenayah syariah menjadi RM100,00 denda, penjara 30 tahun dan 100 kali sebatan.

Selain memecahkan perpaduan pembangkang, usul berkenaan juga ditentang hebat parti komponen dalam BN.

Mengulas lanjut, Najib berkata, ketika ini terserah kepada Pandikar sama ada akan membenarkan rang undang-undang Abdul Hadi itu dibentangkan di Dewan Rakyat atau tidak.

"Kalau speaker memutuskan untuk membenarkan (ia dibentangkan), maka ia akan dibentangkan. Begitu juga dengan keputusan peraturan rang undang-undang tersebut," kata Najib.

Ditanya adakah ketetapan diambil itu bermaksud ahli parlimen BN tidak menyokong rang undang-undang itu apabila ia dibentangkan atau mereka boleh mengundinya, Najib sekali lagi berkata, ia bergantung kepada peraturan speaker.

"Mungkin ada atau tidak ada undian. Bergantung kepada peraturan speaker untuk memutuskannya," kata Najib.

Mengenai Umno dilihat cenderung kepada cadangan tersebut, Najib menafikannya.

"Tidak, kita semua percaya mengenai semangat dasar konsensus. Begitulah cara BN," tegas Najib.

Sementara itu mengulas perkembangan terkini kes pembunuhan abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-nam, Najib berkata pihaknya akan membuat kenyataan bila tiba masanya.

"Saya diberitahu dalam kes ini kita akan buat kenyataan apabila tiba masanya.

"Saya harap kita bersabar kerana perkara ini (masih) dalam rundingan antara kerajaan dan agak sensitif.

"Kita pentinglan hasilannya. Maknanya keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Pyongyang (diutamakan) di samping imej negara kita sebagai negara berdaulat," katanya.


PAS dakwa Umno flip flop, Najib tertekan


Pemimpin PAS memberi reaksi berbelah bahagi mengenai keputusan Majlis Tertinggi BN bahawa kerajaan tidak akan mengambil alih pembentangan usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di parlimen.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata beliau tidak melihat ini sebagai satu pengkhianatan oleh Umno, manakala Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad menyelar Umno kerana bersikap "flip-flop".

Bagi pesuruhjaya PAS Selangor itu, usul berkenaan tetap akan dibentangkan oleh presiden parti itu, Datuk Abdul Hadi Awang kerana asalnya iadalah sebuah rang undang-undang persendirian.

“PAS ada tanggungjawab sebagai parti Islam. Kami perlu teruskan.

“Keputusan juga menunjukkan kempimpinan Umno di dalam BN telah tercabar. Sikap flip flop Umno jelas kelihatan,” katanya dalam satu pesanan teks ringkas.

Bagi Takiyuddin pula, beliau percaya wakil rakyat Umno akan bersama PAS dalam menyokong pindaan akta itu.

"Kita percaya bahawa ahli parlimen Islam, terutama dari Umno, akan bersama," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Bukan diperkudakan

Takiyuddin juga menafikan bahawa PAS telah "diperkudakan” oleh Umno, yang menghulurkan salam perdamaian bagi kerjasama politik.

"(Ini kerana) kita sedar dari awal bahawa kita adalah orang yang membawa rang undang-undang persendirian ini. Jadi, bukan isu sama ada Umno tidak menyokong kita," katanya.

Takiyuddin bagaimanapun percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat keputusan sedemikian kerana tekanan dari parti-parti komponen BN.

"Tetapi, sebagai seorang Islam, saya fikir dia bertanggungjawab untuk memastikan perkara ini (Akta 355) dapat diluluskan," katanya, sambil menambah bahawa PAS akan terus memujuk wakil rakyat Islam mahupun bukan Islam untuk menyokong pindaan itu.

Selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN semalam, Najib mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan membentangkan rang undang-undang untuk meminda Akta 355.

Sementara itu Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz juga percaya tindakan itu tidak akan menjejaskan usaha parti itu dan yakin speaker Dewan Rakyat akan membenarkan rang undang-undang persendirian itu dibentang dan dibahaskan.

“Kita dua kali speaker benarkan. Kali ini sambungan dari yang lepas, maksudnya akan dibahas.

“Insya-Allah, sekarang bergantung kepada speaker. Speaker dah bagi laluan yang positif,” katanya yang ditemui Malaysiakini di parlimen hari ini.

Seperti Takiyuddin, Nik Abduh tidak menganggap tindakan itu sebagai satu pengkhianatan dan berkata beliau memahami kedudukan Najib.

“Saya cuma anggap ini kegagalan Umno meyakinkan komponen BN. Ini kerana dalam BN perlu konsensus maka PM terpaksa. Sedikit pun tidak jejaskan usaha kita.

“Rakyat sudah faham. Kita dah yakinkan dua tiga tahun. Kalau ahli parlimen sendiri tak faham saya rasa itu lebih teruk dari rakyat,” katanya.

Menteri gagal jawab isu DLP

MALAYSIAKINI
 
Anggota Parlimen Kapar, G Manivannan, mendakwa Menetri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid gagal memberi penerangan berhubung Program Dwibahasa (DLP) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, Mahdzir gagal menjelaskan bagaimana kelemahan dan kegagalan pelaksanaan Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperhalusi dan diperbaiki sebelum DLP diperkenalkan.

"PPSMI adalah sebuah dasar, manakala DLP hanya sebuah program. Fakta ini diakui oleh menteri.

"(Namun) menteri gagal menerangkan bagaimana satu dasar yang gagal diperkenalkan tanpa sebarang perubahan dalam bentuk sebuah program?

"Tambahan kepada itu, menteri juga gagal menerangkan bagaimana sebuah program menjadi lebih hebat daripada sebuah dasar?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan memansuhkan rancangan melaksanakan PPSMI pada 2012 selepas mendapat bantahan pejuang serta pencinta bahasa Melayu.

Keputusan itu diumum Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau masih bersama Umno dan menduduki jawatan Menteri Pendidikan.

Bagaimanapun kerajaan kemudian memperkenalkan DLP walaupun ia masih mendapat tentangan pejuang bahasa. Pemimpin atasan Dewan Bahasa dan Pustaka pula dilaporkan turut menyokong pelaksanaan program berkenaan.

Manivannan berkata, DLP bersifat sebuah program dan memang boleh dinaik taraf menjadi dasar jika terbukti ia berkesan.

Bagaimanapun, kata anggota parlimen PKR itu, sebuah dasar tidak boleh diturunkan tarafnya menjadi sekadar suatu program.

"Ini dengan jelas membuktika kerajaan sedang melakukan percubaan untuk memperkenalkan PPSMI dengan menggunakan perkataan baru.

"Secara jelas hanya wujud satu perbezaan (di antara kedua-duanya) iaitu DLP - disebabkan ia sebuah program - maka sekolah, guru besar dan ibu bapa mempunyai pilihan untuk mengikuti program ini atau tidak," jelasnya.

Bagaimanapun, tambah Manivannan, kerajaan tidak boleh berselindung dan menyelimut diri mereka dalam kekaburan "pilihan".

"Dengan menggunakan kerangka 'pilihan', kerajaan telah menyediakan defence (ruang pembelaan) iaitu mengecualikan diri mereka sekiranya program ini gagal," ujarnya

Sejak dulu BN tiada aspirasi Islam, dakwa Isma

MALAYSIAKINI


Seorang pemimpin Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mendakwa, BN memang gabungan parti yang tidak mempunyai aspirasi Islam.

Justeru, katanya, keputusan gabungan pelbagai parti itu memutuskan untuk tidak mengambil alih pembentangan usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di parlimen bukanlah mengejutkan.

Anggota Majlis Syura Isma, Mohd Hazizi Ab Rahman, berkata kemerdekaan yang dimiliki negara ini sejak 60 tahun lalu tidak dimanfaatkan mereka untuk memperkukuhkan kedudukan orang-orang Islam, terutama dari segi politik dan ekonomi.

“Kini, bukan sahaja pegangan ekonomi semakin mengecil, malah kuasa politik juga sudah tergugat,” katanya dalam satu kenyataan dan dipetik laman sesawang ismaweb.

Malah, kata Hazizi, langkah kerajaan untuk menambah baik RUU355 itu hanyalah sekadar kosmetik selain menjadi bahan kempen politik untuk pengundi Melayu.

Lebih malang lagi, Hazizi berkata, kerajaan hari ini membiarkan saja arus pertembungan antara Islam dan liberal berlaku tanpa sebarang campur tangan.

“Itulah pendirian politik berdasarkan liberalisme dan sekularisme. Kerajaan neutral, tidak beragama, walaupun perlembagaan menyatakan sebaliknya.

“Maaf, noktah di atas sebenarnya kurang tepat. Sebaliknya dia memberi jalan kepada kedua-duanya dengan peruntukan masing-masing.

"Sebelah kanan memberi kepada JKMPKA dan gerakan seumpamanya, manakala sebelah kiri memberi kepada MPI dan gerakan seumpamanya," kata Hazizi merujuk kepada Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Di Antara Penganut Agama dan Majlis Perundingan Islam ditubuh kerajaan.
Malah, dari semasa ke semasa, katanya, BN melihat sisi manakah yang lebih menguntungkan untuk kesinambungan politik mereka.

Justeru, Hazizi berkata, melihat kepada keadaan umat Islam di Malaysia, dia berpendapat, mereka sudah lama tiada pelindung kuasa politik.

Keadaan itu, katanya, berlaku kerana kurangnya penghayatan Islam.

"Syariat yang dipertuankan di hati dan kehidupan sebahagian kecil masyarakat Islam negara ini sudah lama tiada pelindung kuasa politik, sejak dijajah lebih 500 tahun yang lampau," katanya.


Wakil rakyat mahu 'periksa' laluan RM1.4j ke rumah speaker

MALAYSIAKINI


Dua ahli parlimen DAP akan melawat kediaman rasmi Speaker Dewan Rakyat esok untuk memahami bagaimana dana RM1.4 juta itu dibelanjakan untuk kerja-kerja pengubahsuaian dan naik taraf.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata matlamatnya adalah untuk menentukan sama ada kerja-kerja itu yang menelan perbelanjaan besar tersebut adalah wajar.

"Kami akan cuba memahami jenis laluan masuk sepanjang 100 meter itu, pemasangan pagar elektronik, sistem keselamatan dan lampu jalan, serta kerja-kerja lain yang berkaitan yang bernilai RM1.4 juta itu.

"Kami juga berharap lawatan ini akan memberi beberapa jawapan, sama ada memuaskan atau tidak, kepada pengkritik projek ini," kata Lim, yang akan diiringi oleh Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming semasa lawatan itu.

Kerja-kerja menaik taraf itu didedahkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof dalam jawapan bertulis Parlimen kepada soalan yang dikemukakan oleh Ong.

Menurut Fadillah, kerajaan membelanjakan RM1.4 juta untuk membina laluan alternatif ke kediaman rasmi speaker Dewan Rakyat di Jalan Tunku, Kuala Lumpur.

Projek itu dimulakan pada 21 Mac tahun lalu dan mengikut perancangan, ia sepatutnya disiapkan dalam tempoh 12 bulan.

Bagaimanapun, setakat ini projek itu baru 72 peratus siap berbanding 92 peratus mengikut jadual asal kerana kerja-kerja penurapan konkrit yang terpaksa dijadual semula.

Malaysia silap cam Jong-nam sebagai warga Korea Selatan

MALAYSIAKINI



Pihak berkuasa Malaysia membuat kesilapan dalam mengenal pasti identiti Kim Jong-Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un sebagai warganegara Korea Selatan, kata Reuters yang memetik sumber.

Bagaimanapun kesilapan itu, membolehkan Seoul dengan segera memaklumkan Kuala Lumpur bahawa kemungkinan besar mangsa adalah Kim Jong-nam.

Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) pada 13 Febuari lalu apabila menurut polis negara ini, dua wanita melumurkan agen saraf VX pada mukanya.

Selepas memeriksa pasport mangsa, pihak berkuasa Malaysia keliru akan Republik Demokratik Rakyat Korea, nama rasmi Korea Utara, dengan Republik Korea, nama rasmi jiran di selatan negara itu, kata sumber tersebut.

Pihak berkuasa Malaysia kemudiannya menghubungi kedutaan Korea Selatan dan menghantar bersama salinan dokumen yang ditemui pada jasad Jong-nam.

Polis Malaysia tidak memberi reaksi berhubung permohonan Reuters untuk mendapat ulasan lanjut.
Kekeliruan mengenai kewarganegaraan Jong-nam juga menjelaskan mengapa media di Korea Selatan yang pertama mendedahkan berita berkenaan.

Dalam masa 24 jam selepas kematiannya, Perkhidmatan Risikan Kebangsaan Korea Selatan memberikan taklimat kepada wakil rakyat di Seoul yang Kim Jong-nam dipercayai mati. Ini kemudian dibocorkan kepada media Korea Selatan.