Khamis, 30 Mac 2017

Sejak dulu BN tiada aspirasi Islam, dakwa Isma

MALAYSIAKINI


Seorang pemimpin Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mendakwa, BN memang gabungan parti yang tidak mempunyai aspirasi Islam.

Justeru, katanya, keputusan gabungan pelbagai parti itu memutuskan untuk tidak mengambil alih pembentangan usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di parlimen bukanlah mengejutkan.

Anggota Majlis Syura Isma, Mohd Hazizi Ab Rahman, berkata kemerdekaan yang dimiliki negara ini sejak 60 tahun lalu tidak dimanfaatkan mereka untuk memperkukuhkan kedudukan orang-orang Islam, terutama dari segi politik dan ekonomi.

“Kini, bukan sahaja pegangan ekonomi semakin mengecil, malah kuasa politik juga sudah tergugat,” katanya dalam satu kenyataan dan dipetik laman sesawang ismaweb.

Malah, kata Hazizi, langkah kerajaan untuk menambah baik RUU355 itu hanyalah sekadar kosmetik selain menjadi bahan kempen politik untuk pengundi Melayu.

Lebih malang lagi, Hazizi berkata, kerajaan hari ini membiarkan saja arus pertembungan antara Islam dan liberal berlaku tanpa sebarang campur tangan.

“Itulah pendirian politik berdasarkan liberalisme dan sekularisme. Kerajaan neutral, tidak beragama, walaupun perlembagaan menyatakan sebaliknya.

“Maaf, noktah di atas sebenarnya kurang tepat. Sebaliknya dia memberi jalan kepada kedua-duanya dengan peruntukan masing-masing.

"Sebelah kanan memberi kepada JKMPKA dan gerakan seumpamanya, manakala sebelah kiri memberi kepada MPI dan gerakan seumpamanya," kata Hazizi merujuk kepada Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Di Antara Penganut Agama dan Majlis Perundingan Islam ditubuh kerajaan.
Malah, dari semasa ke semasa, katanya, BN melihat sisi manakah yang lebih menguntungkan untuk kesinambungan politik mereka.

Justeru, Hazizi berkata, melihat kepada keadaan umat Islam di Malaysia, dia berpendapat, mereka sudah lama tiada pelindung kuasa politik.

Keadaan itu, katanya, berlaku kerana kurangnya penghayatan Islam.

"Syariat yang dipertuankan di hati dan kehidupan sebahagian kecil masyarakat Islam negara ini sudah lama tiada pelindung kuasa politik, sejak dijajah lebih 500 tahun yang lampau," katanya.


Tiada ulasan: