Khamis, 30 Mac 2017

Menyeksa Siti Noor Aishah


Ini kisah Siti Noor Aishah. Dari jauh aku lihat dia mengesat air mata. Bukan kerana bebanan yang menimpa, tapi rasa malu kerana terpaksa menyusahkan orang lain.

"Terima kasih banyak. Mak cik tak ada duit nak bagi, mak cik malu dengan kamu. Semoga tuhan balas jasa kamu," katanya.

Dia berjalan perlahan-lahan menuju ke arah bas ekspres yang sedang menunggu. Waktu itu aku lihat dia mengesat air mata walaupun sebenarnya dia cuba menyembunyikan kesedihan itu dengan berselindung di celah-celah kereta.

Pak Cik Atam pula masih berdiri di tepi kereta aku. Dia ingin menghulurkan duit. Aku tahu, orang tua ini seorang OKU yang hanya menyara hidup anak isteri hasil wang bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, serta wang pencen Socso sebanyak RM600.

Aku menolak wang yang dihulur itu bukan kerana aku ada banyak duit, tapi langsung tak tergamak mengambilnya.

"Terima kasih banyaklah encik. Pak cik tak tahu dah nak mengadu pada siapa. Di KL ni, kami sekeluarga tak ada siapa-siapa nak mengadu."

Pak Cik Atam Jusof dan isterinya, Mak Cik Saadiah Ibrahim adalah ibu dan ayah kepada Siti Noor Aishah, seorang bekas pelajar Universiti Malaya yang dituduh mengikut Sosma - atau Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 kerana kononnya memiliki 12 buku yang diharamkan.

Mereka aku hantar ke stesen bas sementara Shah Alam untuk membolehkan mereka pulang ke Dungun, Terengganu.

Semalam, anak mereka itu baru saja ditahan semula mengikut Sosma dan dihantar ke Penjara Kajang.
Tidak dapat aku bayangkan jika kedua-dua orang tua itu adalah ibu dan bapa aku. Aku tak tahu sialan apa yang merasuk dalam diri orang yang sanggup mendera mereka sekeluarga.

Disekat dua tahun

Siti Noor Aishah pelajar pintar. Menyambung ijazah di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) walaupun dia sebenarnya menerima tawaran dari universiti lain.

Dia kemudian menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana dalam jurusan usuluddin (akidah) di Universiti Malaya. Suka membaca, malah sewaktu berjumpa dengannya, kami sempat bertanya apa harapan jika dibebaskan kelak.

Jawab dia: "Saya harap minat saya untuk membaca tak dihalang".

Aku sempat ke rumah mereka beberapa minggu lalu. Rumah itu cuma ada satu bilik, dan ia tak berpintu pun. Cuma ditutup dengan kain langsir.

Aishah tak pernah keluar dari kediaman itu sejak dikenakan sekatan rumah dan dipakaikan Peranti Pengawasan Elektronik (EMD) apabila dia ditahan kali kedua mengikut Akta Pencegahan Jenayah (Poca). Sekatan itu dikenakan kepadanya selama dua tahun.

Ketika kami datang itulah baru dia keluar. Kata ibunya, wajah Aishah sedikit ceria.

Aishah merupakan anak sulung daripada lima beradik. Seorang daripada daripada adiknya baru menamatkan pengajian di peringkat dan diploma dan bekerja kilang di Senawang.

Dua yang lain bekerja di Shah Alam dan Kerteh, manakala seorang lagi masih menuntut di Institut Latihan Perindustrian.

Di bahu Aishahlah harapan keluarga digantungkan kerana mendapat kesempatan belajar lebih tinggi berbanding adik-adiknya yang lain.

Pada 22 Mac 2016 kira-kira jam 12.25 tengah hari, sepasukan polis Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman - lengkap bersenjata M-16 - menyerbu kediaman pasangan Pak Cik Atam dan Mak Cik Saadiah.

Ketika itu Aishah sedang tidur di bilik. Dia kemudian dibawa ke kereta dalam keadaan terpinga-pinga. Sebanyak 25 naskah buku serta telefon bimbit dirampas polis.

"Masuk saja dalam kereta polis, diorang dah mula soal siasat. Polis tanya saya, mana bendera? Mana bom?" kata Aishah.

Selepas itu Aishah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, sebelum dihantar ke pusat tahanan yang dirahsiakan lokasinya. Di situlah dia ditempatkan selama 28 hari.

Mengikut cerita Aishah, bilik tahanannya sempit, tidak bertilam dan bantal, lampu dibuka sentiasa. Setiap hari, Aishah disoal siasat selama 12 jam. Itulah rutin yang dijalaninya sepanjang 28 hari itu.

"Mereka tak pukul saya, tapi kalau jawapan yang saya beri tidak memuaskan, mereka 'cuma' suruh saya ketuk ketampi, jalan itik dan berdiri separuh duduk.

"Sepanjang 28 hari itu saya beberapa kali mohon kepada polis supaya dapat menghubungi ayah, dan minta dilantik seorang peguam untuk mewakili saya. Polis jawab, mereka sudah beberapa kali maklum pada ayah, tapi tiada jawapan," katanya.

Realitinya, polis tidak memaklumkan apa-apa pun pada ayah Aishah. Malah apabila ayahnya melantik peguam, polis memarahi orang tua itu. Mereka minta Pak Cik Atam tidak melantik peguam mewakili Aishah.
Petaka apakah ni?

Atas dasar ingin memudahkan kerja, kau layan mereka macam sampah. Ayah mana yang akan membiarkan anaknya meringkuk dalam penjara tanpa pembelaan?

Tamat tempoh 28 hari, Aishah di bawa ke Mahkamah Majistret Kemaman pada 19 April 2016, dan dituduh mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan kerana didakwa memiliki buku-buku berunsur keganasan yang berkaitan dengan kumpulan pengganas.

Gagal jalankan fungsi

Aishah ditahan di Penjara Pengkalan Chepa lebih dari sebulan, kemudian dipindahkan ke Penjara Kajang selama hampir lima bulan. Sepanjang perbicaraan berlangsung, Aishah tidak dibenarkan untuk diikat jamin. Memang itulah prosedur di bawah Sosma.

Pada 29 September 2016 Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Sharif Abu Samah, memerintahkan Aishah dibebaskan.

Hal ini kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa buku-buku dimiliki Aishah itu diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri. Malah buku-buku tersebut masih tidak diharamkan sehingga hari ini!

“Apalah ertinya pemilikan buku-buku tersebut yang dikatakan mempunyai kaitan dan unsur-unsur pengganas menjadi suatu kesalahan ke atas sesiapa yang memiliki buku-buku tersebut, walhal Kementerian Dalam Negeri gagal menjalankan fungsi sebenarnya untuk mengharamkan dan seterusnya menghapuskan buku-buku tersebut,” kata Mohamad Sharif.

Berikut adalah senarai buku didakwa dimiliki Aishah:
 
* Visi Politik Gerakan Jihad
Penulis: Hazim Al-Madani & Abu Mush'ab As-Suri
Penterjemah: Luqman Hakim
Penerbit: Jazera

* Generasi Kedua Al-Qaedah: Apa Dan Siapa Zarqawi, Apa Rencana Mereka Ke Depan
Penulis: Fuad Hussein
Penterjemah: Ahmad Syakrikin
Penerbit: Jazera

* Akankan Sejarah Terulang
Penulis: Dr.Muhammad Al-Abdah
Penterjemah: Abas Mansur Tamam
Penerbit: Jazera

* Deklarasi Daulah Islam Iraq
Penulis: Dewan Syariah Daulah Islam Iraq
Penterjemah: Abu Hafsh As-Sayyar & Abu Musa Ath-Thayyar
Penerbit: Islamika

* Merentas Jalan Jihad Fisabillah
Penulis: Shaikh Abdul Qadir Abdul Aziz
Penterjemah: Hassan As-Sayyari
Penerbit: Pustaka Al Alaq

* Misteri Pasukan Panji Hitam
Penulis: Muhammad Abu Fatiha Al-Adani
Penterjemah: H Muhammad Harun Zein
Penerbit: Jasmin Publication

* Turki Negara Dua Wajah
Penulis: Abdullah Azam
Penterjemah: Abdurrahman
Penerbit: Al Alaq

* Masterplan 2020: Strategi al-Qaeda Menjebak Amerika
Penulis: Fahmi Suwaidi
Penerbit: Jazera

* Dari Usama Kepada Para Aktivis
Penulis: Syaikh Usamah Bin Ladin dan Syaikh Yusuf Al Uyairi
Penterjemah: Umar Burhanuddin, Abu Hafs As Sayyar & Syahida Man
Penerbit: Kafayeh

* Dari Rahim Ikhwanul Muslimin Ke Pangkuan al-Qaeda
Penulis: Ayman Az-Zawahiri
Penterjemah: Umar Burhanuddin
Penerbit: Kafayeh


* Ketika Maslahat Dipertuhankan dan Menjadi Taghut Model Baru
Penulis: Abu Muhammad Ashim Al Maqdisiy
Penterjemah: Abu Sulaiman Aman Abdurrahman
Penerbit: Tiada dicatat

* Seri Materi Tauhid for the Greatest Happiness
Penulis: Tiada dicatat
Penterjemah: Abu Sulaiman Aman Abdurrahman
Penerbit: Tiada dicatat

Mengikut kata Mak Cik Saadiah, hakim secara tegas mengarahkan supaya anaknya itu dibebaskan dan tidak ditahan semula.

“Kamu nak tahan dia semulakah? Kamu bebaskan dia segera”, kata beliau kepada pendakwaraya. Itu cerita menurut ibu Aishah.

Namun keluar dari mahkamah, Aishah ditahan semula mengikut Poca. Aku tak tahu apa yang berada dalam fikiran mereka. Kali ini, Aishah dituduh mengimport bendera ISIS ke Malaysia. Tapi buktinya? TIADA.

Tanya dijawab tanya

Lebih dari sebulan ditahan didalam solitary confinement di bawah Poca, Aishah diarahkan untuk dikenakan tahanan rumah selama dua tahun dan EMD. Sepanjang tempoh dua tahun itu Aishah mesti hadir melapor diri ke IPD Dungun setiap minggu.

Dia juga dilarang keluar dari kawasan sekatan. Adakah peluang pekerjaaan untuk Aishah? TIDAK ADA.
Kami sempat ke rumah Aishah dan menemubualnya sambil makan petang bersama keluarga. Aishah sedikit ceria.

Keluarga itu kini dibebani hutang ribuan ringgit untuk menguruskan kes Aishah. Orang kampung pula jarang-jarang gagal bertanya mengenai Aishah apabila bertemu dengan keluarganya.

“Pak Cik dah tak tahu nak jawab apa pada orang kampung. Sekarang pak cik bawa keratan akhbar ke mana-mana. Setiap kali orang kampung tanya, pak cik tunjuk keratan akhbar ni,” kata Pak Cik Atam.

Pada 27 Mac 2017, Mahkamah Rayuan di Putrajaya meluluskan rayuan pendakwa raya untuk menyebelahi mereka dalam penahanan Aishah mengikut Sosma.

Keluarga gadis itu tidak tahu langsung bahawa dia akan ditahan semula pada hari berkenaan. Tidak ada permohonan tahanan dibuat kepada Aishah di dalam mahkamah.

Selesai perbicaraan, keluarga membawa Aishah keluar untuk menikmati makanan di restoran. Peguam pula sudah dalam perjalanan pulang ke Terengganu.

Ketika itulah baru Pak Cik Atam dihubungi pegawai penyiasat yang memaklumkan supaya anaknya dibawa semula ke mahkamah.

Rupa-rupanya Aishah akan ditahan semula. Pak Cik Atam seorang OKU dan tak dapat berfikir secara lurus. Aku dihubungi, dan dimaklumkan mengenai penahanan semula Aishah.

Pagi itu aku tak sempat ke Mahkamah Rayuan kerana terpaksa bergegas ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk satu lagi kes melibatkan remaja Rohingya berusia 15 tahun yang dipenjara sejak Disember tahun lalu.

Petang itu, aku bawa keluarga Aishah ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk membuat aduan. Perkara paling dirisaukan ialah kedudukan Aishah. Di mana dia sekarang?

Pegawai Suhakam menghubungi pegawai penyiasat untuk bertanyakan lokasi Aishah. Yang diterima bukanlah jawapan, sebaliknya pertanyaan!

“Aishah ditahan oleh siapa? Polis atau mahkamah?” soal pegawai penyiasat kepada pegawai Suhakam.
Seperti bola kamu buat keluarga ini. Tendang ke sana ke mari. Kamu hukum Aishah, kamu hukum keluarga juga.

Kini Aishah ditahan di Penjara Kajang sehinggalah perbicaraannya selesai. Kalau menang sekali lagi pun, pendakwa raya boleh membuat rayuan sekali lagi, dan Aishah akan ditahan lagi. Inilah Sosma, inilah tahan tanpa bicara.

Yang ditahan kebanyakannya orang miskin. Diseksa terus-terusan mereka. Keluarga mereka turut sama diseksa. Sampai bila?

Kalau mereka bersalah, bicaralah dengan adil. Setiap orang ada hak untuk dibicarakan secara adil, bukan? Bukan kita yang perlu menjatuhkan hukuman.

Hari ini keluarga mereka, hari esok, mungkin kita pula…..

AMIR ABD HADI ialah penyelaras Suaram serta jurucakap Gerakan Anak Muda Demi Malaysia.

Tiada ulasan: