Memaparkan catatan dengan label PASARAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PASARAN. Papar semua catatan

Sabtu, 21 Oktober 2017

Harga Petrol Naik 1 Sen

Rafa Azmir

naik


Harga runcit bagi petrol dan diesel naik 1 sen mulai Rabu.

Peningkatan itu menjadikan RON95 akan dijual pada harga RM2.17 seliter berbanding RM2.47 seliter untuk RON97.

Harga jualan runcit diesel pula menjadi RM2.11 seliter untuk tempoh antara 19 hingga 26 Okt ini.


Sabtu, 29 Julai 2017

Mekanisme harga secara harian OK tapi perlu ada subsidi - Mahfu

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar bersetuju sekiranya mekanisme penetapan harga siling petrol dan diesel secara mingguan ditukar kepada harian sebagaimana yang dicadangkan baru-baru ini.
 
Namun wakil rakyat PAS ini menegaskan cadangan itu memerlukan penelitian secara menyeluruh termasuk menentukan had harga maksimum agar tidak membebankan rakyat.
 
"Yang pertama dari segi prinsipnya konsep yang dibuat sekarang ini iaitu secara mingguan ini satu perkara yang sangat baik dan menguntungkan pengguna dan juga negara.
 
"...dan secara harian juga saya boleh terima," katanya kepada Antarapos.
 
Mahfuz mengulas mengenai formula penetapan harga bahan api yang dicadangkan oleh Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin ditukar daripada mingguan kepada harian.
 
Bagaimanapun Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berkata kerajaan setakat ini belum berhasrat untuk menukar mekanisme berkenaan.
 
Sehubungan itu, Johari berkata, penetapan harga minyak secara mingguan akan diteruskan buat masa ini sehingga keputusan lebih baik dapat dicapai yang dapat memberi faedah kepada semua pihak termasuk rakyat serta kalangan pengusaha bahan api berkenaan.
 
Subsidi diperlukan sekiranya perubahan harga terlalu tinggi
 
Justeru Mahfuz berkata sekiranya harga pasaran minyak dunia melambung terlalu tinggi maka kerajaan perlu melaksanakan sistem subsidi bagi mengurangkan harga tersebut.
 
"Tetapi ia harus ada pertimbangan khasnya iaitu bila harga pasaran minyak dunia naik sampai pada kadar tertentu maka pada waktu itu kembali kepada sistem subsidi untuk melindungi kepentingan pengguna.
 
"Sistem yang ada sekarang ini bagi saya kalau harga minyak itu jatuh ia menguntungkan pengguna sebab kita akan dapat harga yang lebih murah," katanya.
 
Ini kerana tegas beliau, rakyat akan terbeban dek kenaikan harga yang terlalu tinggi sekiranya subsidi tidak diberikan ketika itu dan ia akan memberi kesan ketara terhadap pengguna.
 
"Tapi sistem yang ada ini kalau harga minyak itu tinggi kita terpaksa bayar duit banyak tanpa subsisi maka ini akan mendatangkan masalah beban sara hidup yang terpaksa ditanggung oleh rakyat kerana ia akan membawa kepada kenaikan harga barang dan sebagainya sedangkan pendapatan kita itu tidak melonjak naik.
 
"Sebab itu bagi saya melaksanakan sistem harian seperti dilaksanakan di negara luar satu perkara yang saya setuju tapi mesti ada had iaitu satu kadar contohnya bila harga minyak dunia naik sehingga 70 Dolar satu tong.
 
"Jadi pada waktu itu harus disubsidikan kerana membebankan rakyat," katanya.
 
 

Khamis, 28 Februari 2013

Harga Kereta Jepun & Australia Turun Menjelang Pilihanraya Umum ke 13!

Staff Berita Semasa
 
Harga Kereta Jepun  Harga Kereta Jepun & Australia Turun Menjelang Pilihanraya Umum ke 13!

Menjelang Pilihanraya Umum kita mendengar satu lagi berita baik daripada kerajaan. Nampaknya, mungkin tiada lagi masalah negara bakal bankrap ataupun kerisauan melibatkan pengusaha kereta terpakai dan pemilik kereta andaikata cukai import diturunkan pula. 
“Apabila cukai import kereta turun, secara automatik harga kereta import akan turun

Duti Import Kereta Dari Jepun & Australia Turun!!

PUTRAJAYA: The Ministry of International Trade and Industry will announce a cut in car duties from Japan and Australia today.
Its minister, Datuk Seri Mustapa Mohamed said on Wednesday the reduction would be over three years for car models originating from the two countries.
Speaking at the investKL media briefing, he said more details would be released on Thursday.
Sumber : The Star
Nantikan pengumuman emas daripada Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri MITI).
  • Berapa peratus agaknya cukai import kereta Jepun & Australia bakal diturunkan 5%, 10% atau…..?
  • Adakah hanya sesetengah kereta sahaja daripada Jepun dan Australia atau apa sahaja?
  • Adakah mungkin selepas kita akan melihat dan mendegar kereta Conti pula akan diturunkan? Mungkin?
  • Adakah ini termasuk pemegang AP yang menjual kereta recond Jepun atau ia terhad kepada pemegang francais pengedar-pengedar rasmi sahaja?
P/S : Kami akan kemaskinikan butirannya selepas ini. Apa respon balas anda pula mengenai berita penurunan duti import kereta setakat ini?

Selasa, 31 Julai 2012

Untung 6 bulan Bank Rakyat RM1.06 bilion

SINAR HARIAN

Bank Rakyat
Bank Rakyat 
 
 
KUALA LUMPUR - Bank Rakyat terus cemerlang dengan mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat yang membanggakan bagi setengah tahun pertama 2012 sebanyak RM1.06 bilion, peningkatan 7.7 peratus atau RM75.8 juta berbanding RM0.98 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

"Prestasi baik bagi setengah tahun pertama 2012 secara keseluruhannya dicapai berikutan pertumbuhan kukuh pendapatan pembiayaan selari dengan pertumbuhan tinggi jumlah baki pembiayaan dan pengukuhan dalam kualiti aset," demikian menurut bank itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pendapatan kasarnya meningkat sebanyak 15.3 peratus kepada RM3.09 bilion berbanding RM2.68 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu, manakala pendapatan bersih selepas agihan keuntungan kepada pendeposit menambah 10.4 peratus kepada RM1.73 bilion berbanding RM1.56 bilion sebelumnya.

Pendapatan daripada sumber pembiayaan naik 11.6 peratus kepada RM2.45 bilion berbanding RM2.19 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu, atau 91.6 peratus disumbangkan oleh perbankan konsumer.

Perbankan komersil menyumbang sebanyak RM0.21 bilion atau 8.4 peratus daripada keseluruhan pendapatan pembiayaan.

Bank Rakyat juga mencatatkan pendapatan berasaskan fi sebanyak RM44.9 juta pada setengah tahun pertama 2012.

Pendapatan komisen Takaful, wasiat dan yuran perkhidmatan ATM menyumbangkan 80.2 peratus daripada keseluruhan pendapatan berasaskan fi.

Menurut kenyataan itu, jumlah aset Bank Rakyat menambah sebanyak 11.9 peratus kepada RM77.51 bilion berbanding RM69.27 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.  

Bank masih mengekalkan pembiayaan konsumer sebagai fokus utama perniagaan yang menyumbang 88.5 peratus daripada keseluruhan pembiayaan Bank Rakyat pada setengah tahun pertama 2012, dengan baki kasar pembiayaan konsumer meningkat 8.8 peratus kepada RM47.04 bilion pada setengah tahun pertama  2012 berbanding RM43.25 bilion pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Dari segi portfolio pembiayaan, pembiayaan peribadi kekal sebagai penyumbang terbesar iaitu sebanyak 86.0 peratus daripada keseluruhan pembiayaan konsumer.

Jumlah deposit Bank Rakyat menambah 9.7 peratus kepada RM66.13 bilion pada akhir Jun 2012, berbanding RM60.31 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

Dana pemegang saham naik 34.4 peratus kepada RM9.29 bilion pada akhir Jun 2012 berbanding RM6.91 bilion pada bulan yang sama tahun lalu hasil sumbangan penambahan untung bersih dan penambahan modal syer berbayar.

Bank Rakyat mempunyai melalui 136 rangkaian cawangan, 42 Ar-Rahnu X’change dan lebih 600 ATM serta CDM di seluruh negara. - Bernama

Jumaat, 18 Mei 2012

Sun Lohas Labur RM 8 bilion, Bukti Kemampuan Selangor Tarik Pelabur Asing






SHAH ALAM: Kemampuan Pakatan Rakyat Selangor menarik pelabur luar terbukti apabila terbaru, syarikat pemaju gergasi dari China, Sun Lohas Group Limited (Sun Lohas) pula melabur dalam pembangunan hartanah yang bernilai RM8 bilion di Bestari Jaya.

Projek pembangunan-eko di kawasan seluas 4,976 ekar di Bestari Jaya itu dinamakan ‘Sun Lohas City’ atau Bandaraya Sun Lohas.

Menurut Pengerusi Sun Lohas, Chen Ping dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Sun Lohas dan syarikat Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), projek pembangunan itu bakal memiliki gabungan beberapa ciri unik.

“Cadangan ‘Bandaraya Sun Lohas’ akan dibangunkan dengan konsep revolusi kehidupan dengan struktur mengintegrasi manusia, alam sekitar, kebudayaan dan bandaraya.

“Sun Lohas teruja dengan peluang yang ditawarkan dan bertekad untuk membangunkan Bestari Jaya sebagai Bandaraya Lestari,” kata Chen.

Chen berkata Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor, Teresa Kok telah memainkan peranan memperkenalkan Selangor sebagai distinasi pelaburan kepada Sun Lohas.

Chen memberitahu, projek pembangunan yang dijalankan di atas tanah milik KHSB itu dijangkakan siap dalam 10 tahun.

Projek pembangunan tersebut akan mempromosikan kebudayaan hijau dengan nilai tinggi, tenaga rendah dan pencemaran sifar.

Pembangunan Bandaraya Sun Lohas itu turut dibina dengan tiga lapisan menggabungkan bandaraya muhibbah, bandaraya hijau dan bandaraya kreatif.

Ketiga-tiga lapisan melambangkan kecintaan sesama manusia, alam sekitar dan kebudayaan.

Bagi melestarikan konsep bandaraya hijau, seluruh cadangan pembangunan akan dibina berdasarkan pemeliharaan ekologi, kecekapan perancangan, mereka bentuk, pengangkutan, lanskap dan polisi tenaga.

Sun Lohas turut menawarkan pertanian moden berhampiran kediaman dan pusat pertanian kerjasama-eko untuk mempromosikan hasil tanaman.

Pengerusi Kumpulan Hartanah Selangor Berhad, Raja Idris Raja Kamaruddin pula berkata, projek berkonsep pembangunan-eko itu dapat memberi pelbagai manfaat kepada ekonomi negeri Selangor.

“Cadangan projek ini akan menawarkan peluang untuk pembangunan kemahiran di negeri Selangor terutama sekali bagi syarikat berkaitan kerajaan.

“Kemahiran yang boleh dibangunkan adalah dalam bidang kejuruteraan, pertanian, teknologi bangunan, pengurusan projek dan aspek-aspek lain dalam perancangan bandar serta pembinaan.

“Di samping itu juga, cadangan projek ini boleh memajukan kebolehan usahawan kecil dan sederhana dalam kontrak tempatan.

“Mereka juga boleh menyertai projek ini dalam bidang mereka berbentuk perundingan dan kejuruteraan serta kontrak pembinaan,” kata Raja Idris.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula berkata Kumpulan Hartanah Selangor harus mengambil kesempatan dari projek usahasama yang dijalankan oleh kedua-dua syarikat tersebut.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri dan Kumpulan Hartanah Selangor merasa gembira dapat berkerjasama dengan Sun Lohas.

“Saya juga gembira apabila dapat melihat gabungan kretiviti, visi dan perancangan rapi yang dibuat oleh kedua-dua syarikat ini.

Dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman bagi menandakan kerjasama petang tadi, Raja Idris menurunkan tandatangan bagi pihak KHSB dan Sun Lohas telah diwakili oleh Pengerusi, Chen Ping sambil disaksikan oleh Abdul Khalid.

Rabu, 4 April 2012

Petrol RON97 naik 10 sen, RON95 kekal

SINAR HARIAN

Minyak

KUALA LUMPUR - Harga petrol RON97 dinaikkan 10 sen kepada RM2.90 seliter berkuat kuasa tengah malam ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Hashim Othman ketika dihubungi malam ini mengesahkan kenaikan harga itu.

Beliau berkata harga diesel kekal pada RM1.80 seliter.

Minggu lepas, kerajaan mengumumkan harga petrol RON95 kekal pada RM1.90 per walaupun harga bahan api di pasaran dunia naik baru-baru ini. - Bernama

Sabtu, 10 Mac 2012

Harga Skim Rumah Pertamaku Najib ‘tidak munasabah’, kata kumpulan pembeli rumah


KUALA LUMPUR — Persatuan pembeli rumah melabelkan skim Rumah Pertamaku sebagai dasar "tidak bijak" selepas dilaporkan pada minggu ini ia bukan permohonan pinjaman tunggal yang diluluskan di bawah Putrajaya untuk pemilikan rumah pekerja berpendapatan rendah.

Skim yang dilancarkan Datuk Seri Najib Razak tahun lalu berdepan dengan masalah kerana bank-bank enggan memberi 100 peratus pembiayaan hartanah mencecah RM400,000 kepada pemohon yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Setiausaha Kehormat bagi Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) Chang Kim Loong memberitahu The Malaysian Insider penyediaan pembiayaan pinjaman RM400,000 di bawah skim itu untuk "perumahan mampu" adalah "tidak munasabah dan seseorang perlu memberitahu perdana menteri tentang fakta yang salah."

"Ia jelas perdana menteri kita tidak bijak dengan kepentingan diri kerana menyediakan harga setinggi RM400,000 untuk pekerja berpendapatan bawah RM3,000," katanya.

Beliau berkata pihaknya telah menjalankan pemeriksaan dengan bank dan mendapati kebanyakan pemohon merupakan individu yang disenarai hitamkan atau tidak mempunyai bukti pendapatan sahih.

"Maklum balas mengatakan jika rakyat tidak mampu membelinya, maka jangan beli. Bagaimana anda boleh mengambil pinjaman 100 peratus pinjaman seperti itu tanpa komitmen?" katanya.

Chang berkata bagi 20-tahun pinjaman untuk RM400,000 mengikut standard industri dua peratus di bawah kadar pemberian pinjaman asas memerlukan satu ansuran bulanan RM2,552 atau 85 peratus daripada RM3,000.

Beliau menambah untuk 30-tahun perjanjian memerlukan bayaran ansuran bulanan sebanyak RM2,051 atau 68 peratus daripada RM3,000.

Laman web skim itu juga mengatakan untuk layak menyertai program itu, pembayaran balik tidak boleh melebihi 55 peratus daripada pendapatan kasar pemohon.

"Ia tidak mengejutkan terdapat kelulusan sifar kerana peminjam-peminjam mampu hidup melebihi kemampuan mereka."

Beliau berkata berdasarkan garis panduan Bank Negara pembayaran balik pinjaman tidak boleh melebihi satu pertiga pendapatan, pinjaman bagi skim itu sepatutnya di antara RM150,000 hingga 180,000.

Perdana menteri mengumumkan pada Oktober lalu ketika membentangkan Belanjawan 2012 bahawa pinjaman permulaan skim itu akan dinaikkan sehingga RM400,000 sebagai harga hartanah.

Kerajaan terlebih dahulu berkata agensi pembiayaan dan gadai janji milik kerajaan negeri akan menyediakan deposit 10 peratus bagi membeli rumah.

Chang mencadangkan jika kerajaan serius tentang kemampuan perumahan, ia sepatutnya "memasuki satu usaha sama dengan pemaju bukan kroni" yang mahu harga mencecah RM400,000.

Beliau berkata kerajaan sepatutnya menghapuskan kos tanah dengan "menyediakan lokasi strategik" seperti tanah di Sungai Besi dan Institut Penyelidikan Getah di Sungai Buloh.

"Daripada mahu lot tanah ini menjadi 'nilai tinggi,' cuba dapatkan perumahan mampu milik," katanya.

Chang menambah pemohon yang berkelayakan mesti menetap di rumah yang dibeli sekurang-kurangnya 10 tahun dan hanya dibenarkan menjual balik kepada kerajaan jadi ia boleh diberikan semula kepada "generasi pembeli berikutnya yang memerlukan perumahan mampu milik."

Harga hartanah di kawasan bandar seperti Pulau Pinang dan Kuala Lumpur meningkat sehingga 40 peratus pada 2010 dengan kadar faedah yang rendah dan pertambahan dalam pembelian spekulatif, walaupun harga meningkat lebih perlahan tahun lepas kerana langkah-langkah mengawal kelembapan sentimen seperti satu kenaikan cukai keuntungan harta.

Beberapa laporan juga menganggarkan harga hartanah akan meningkat dari 5.9 kali pendapatan pada 1989 kepada 10.9 kali pada 2010.

Kajian Demografi Rumah Mampu Milik Global menyifatkan harga pasaran, iaitu harga hartanah berada di 5.1 kali pendapatan kelas pertengahan atau lebih, sebagai "tidak mempunyai kemampuan."

HBA tahun lalu mengingatkan anak muda akan berdepan risiko dihalang memasuki pasaran hartanah disebabkan harga rumah yang terlalu tinggi.

Jumaat, 3 Februari 2012

Iskandar nafi harga rumah kos rendah Seksyen U5 dinaikkan

Kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana pemaju menaikkan harga rumah kos rendah dengan sewenang- wenangnya walaupun melibatkan projek terbengkalai.



PETALING JAYA: Pentadbiran negeri Selangor di bawah pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) terdahulu dikecam kerana menimbunkan pelbagai masalah kepada Pakatan Rakyat sejak Mac 2008 sehingga sekarang.

Salah satu projek yang terbengkalai hasil peninggalan Umno-BN tetapi disalahkan kepada Pakatan ialah projek perumahan kos rendah di

Jalan Pluto, Seksyen U5, Shah Alam, kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad.

Katanya, dakwaan bahawa pembeli rumah kos rendah itu perlu menambah pembayaran atau “top-up” sehingga RM30,000 jika mahu rumah mereka disiapkan adalah tidak benar.

“Kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana pemaju menaikkan harga rumah kos rendah dengan sewenang-wenangnya walaupun ia melibatkan projek terbengkalai,” jelas beliau yang juga ahli dewan negeri Chempaka dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, harga rumah kos rendah dikawal oleh kerajaan negeri iaitu RM42,000 sebuah. Tetapi RM35,000 pula untuk peneroka bandar (setinggan) di mana subsidi RM7,000 dibayar oleh pemilik tanah tapak rumah peneroka bandar tersebut.

“Pembeli-pembeli projek perumahan itu telah dijanjikan rumah sejak 1993 di zaman Umno-BN mentadbir Selangor.

Projek terbengkalai

“Bagaimanapun projek tersebut telah terbengkalai dan hanya dalam tahun 2010 ketika pentadbiran Pakatan pemaju baru telah dengan secara rasmi mengambil alih,” katanya

Iskandar berkata, pengambil alihan projek ini oleh pemaju baru dari pemaju lama adalah hasil rundingan di antara kedua-dua pihak.

“Kerajaan negeri tidak pernah memaksa mana-mana pemaju projek terbengkalai menerima pemaju baru,” terang beliau.

Di dalam pembentangan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada bulan Disember 2010, pemaju baru projek ini telah diberitahu bahawa mereka tidak dibenarkan sama sekali menaikkan harga rumah kos rendah malah mereka telah diarah untuk menanggung subsidi RM7,000 bagi setiap peneroka bandar.

Tetapi pemaju dibenarkan menukar dua dari enam blok rumah kos rendah yang belum dijual kepada rumah mampu milik supaya mereka dapat membiayai kos membaikpulih dan kos subsidi RM7,000 itu. Sejak itu kerajaan negeri telah memantau kemajuan projek ini dari masa ke semasa.

“Adalah diharapkan mereka yang mempolitikkan pelaksanaan projek ini agar berhenti dari melakukannya. Projek ini telah bertahun-tahun terbengkalai di bawah Umno-BN.

“Mereka telah gagal menyelesaikan masalah ini ketika Selangor di bawah pentadbiran mereka tetapi sekarang cuba berlagak seperti wira yang membantu rakyat,” ujar beliau.

Khamis, 2 Februari 2012

Saham Lynas melonjak selepas k'jaan beri lesen


MALAYSIA KINI

Harga saham syarikat perlombongan Australia, Lynas melonjak hari ini selepas Malaysia memberikan lampu hijau kepada pusat pemprosesan nadir bumi itu meneruskan operasinya meskipun timbul kebimbangan kemungkinan berlakunya pencemaran sisa radioaktif.

Loji yang hampir siap dibina di Gebeng, Kuantan itu akan menjadi antara kilang di luar dari China yang mampu memproses nadir bumi - galian yang digunakan dalam peralatan berteknologi tinggi seperti peluru berpandu dan telefon bimbit.

Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Malaysia semalam mengumumkan lesen sementara untuk pusat itu mengendalikan operasinya bagi tempoh permulaan selama dua tahun tetapi berdasarkan syarat-syarat yang ketat.

Lembaga itu juga mengingatkan bahawa lesen berkenaan boleh digantung atau dibatalkan jika Lynas gagal mematuhi syarat-syarat pengendalian sisa radioaktif berbahaya yang lazimnya wujud dalam nadir bumi.

Saham Lynas hari ini melonjak hampir 20 peratus apabila didagangkan pagi ini pada harga A$1.60.

"Lynas mengiktiraf tanggungjawabnya kepada masyarakat untuk mengendalikan loji itu dengan cara yang selamat dan mampan," kata pengerusi eksekutif syarikat Nicholas Curtis ketika mengalu-alukan kelulusan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia itu. AFP

Rabu, 24 Ogos 2011

Emas terlebih beli dan harga akan menurun tidak lama lagi

Sam Chee Kong, Malaysia Chronicle


Emas sedang mengalami letupan supernova harga pada bulan-bulan kebelakangan ini. Ini adalah disebabkan oleh kegelisahan pelabur terhadap krisis Eropah dan kejatuhan pasaran saham di seluruh dunia ala 2008. Akibatnya, pelabur kini mencari tempat selamat untuk pelaburan mereka dan logam berharga menyediakan ruang yang ideal untuk melabur.

Harga emas telah berkumpul sejak tahun 2001 apabila ia berada di bawah $ 265 per auns. Sejak itu, harga emas telah meningkat dengan stabil di tengah-tengah beberapa pembetulan dan penyatuan. Terdapat beberapa penjualan besar dalam pasaran saham global dalam beberapa minggu lalu dan ini menyebabkan beberapa pemindahan modal daripada ekuiti kepada emas. Harga emas melonjak daripada $ 1430 pada pertengahan Jun 2011 kepada $ 1853 semalam. Akibatnya harga emas kini berbentuk parabola, dan peraturan ibu jari untuk melabur adalah "apa-apa jua yang naik secara parabola akan sentiasa akhirnya dalam hempasan".

Pada akhir minggu lalu, harga emas melonjak lebih daripada 20% dalam tempoh lima minggu dan sehingga 26% setakat ini. Kenaikan harga ini dianggap langkah gergasi bagi apa-apa aset yang besar. Secara teknikal, emas yang terlebih beli dan emas tidak dapat mengekalkan harga keuntungan besar-besaran seperti yang dilihat dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Penjualan besar besaran

Oleh kerana harga yang meningkat terlalu tinggi dan terlalu cepat, ia telah menarik spekulator yang terlalu banyak dan mereka menjadi terlalu teruja dan tamak. Satu masa akan datang apabila semua orang " telah dilaburkan sepenuhnya" dan tidak terdapat dana untuk menyokong kenaikan harga lanjut. Ini akan mengakibatkan pembetulan mendadak dalam jangka pendek dan pasaran hanya mencari pemangkin untuk mencetuskan penjualan ini.

Satu lagi sebab bagi pembetulan dalam harga emas, menurut Majlis Emas Dunia, setakat ini hanya kira-kira 170,000 tan metrik emas yang telah dilombong. Dengan harga emas yang mencecah lebih daripada $ 1800 baru-baru ini, jumlah nilai emas adalah kira-kira $ 9.5 trilion. Sebagai perbandingan, jumlah bekalan wang AS ialah AS $ 10,2 trilion dan semua syarikat Fortune 500 hanya dipermodalkan pada AS 12.2 trillion. Jadi anda lihat, emas sebagai aset hampir bernilai sebanyak jumlah bekalan wang AS. Jika ini bukan gelembung, maka saya tidak tahu apa itu.

Perak atas emas

Jadi, apa yang akan menyebabkan kejatuhan mendadak dalam harga emas? Pemangkin yang paling mungkin adalah kenaikan margin oleh CME (Chicago Mercantile Exchange). Buletin broker Interaktif mengeluarkan satu kenyataan amaran semalam kemungkinan kenaikan dalam margin derivatif emas. Sejak minggu lepas CME telah dikenakan kenaikan 22% dalam margin emas dan mungkin akan meningkatkan margin sekali lagi dalam beberapa hari akan datang.

Dalam erti kata lain, CME berkemungkinan akan melakukan "perak atas emas". Ingat pada bulan April 2011, perak ketika itu mengalami salah satu tempoh puncak yang terbaik yang pernah dijalankan. Dari harga yang rendah kira-kira AS $ 27 Jan 2011, ia terus naik sehingga $ 50 pada bulan April 2011. Sejak itu, CME meningkatkan margin dagangan untuk perak beberapa kali dan hasilnya adalah bahawa harga perak terhempas kembali kepada $ 32 dalam 2 minggu

Jadi, bagi mereka yang memegang beberapa bentuk derivatif emas seperti Akaun Simpanan Emas dari bank-bank tempatan seperti Maybank dan Public Bank atau mempunyai beberapa tindakan Emas Hadapan melalui AUX, saya fikir ia adalah masa untuk mengambil keuntungan sedikit daripada jadual. kenaikan harga parabola sentiasa menyebabkan penjunaman harga yang curam. - Malaysia Chronicle

Sabtu, 2 April 2011

Petrol RON97 naik 20 sen, kuat kuasa tengah malam ini


KUALA LUMPUR - Harga petrol RON97 akan mengalami kenaikan 20 sen seliter mulai tengah malam ini, demikian menurut sumber-sumber industri hari ini.

Dengan kenaikan itu, bahan api RON97 akan dijual RM2.70 seliter - kadar peningkatan paling tinggi tahun ini.

"Baru petang ini kami menerima notis pengesahan (daripada kerajaan) mengenai kenaikan, 20 sen seliter kali ini," kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Ini kenaikan kali ketiga tahun ini. Ia mengalami kenaikan 10 sen seliter berkuat kuasa 31 Januari lalu.

Harga RON97 yang diapungkan mengikut pasaran minyak dunia semasa, naik sebanyak 15 sen pada 1 Disember lalu, menjadikan RM2.30 seliter dan kemudian RM2.40 seliter mulai awal Januari lalu.

"Kenaikan kali ini hanya membabitkan petrol RON97, yang lain-lain kekal tidak berubah," kata sumber itu.

Februari lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan sedang mengkaji semua opsyen bagi membolehkan kerajaan tidak menaikkan harga petrol RON95 dalam waktu terdekat walaupun berlaku kenaikan harga minyak global.

Disebabkan harga RON97 diapungkan kerajaan memutuskan untuk tidak mengumumkan perubahan harganya dari semasa ke semasa.

Jumaat, 1 April 2011

Akta kawal harga melampau kuat kuasa hari ini

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010, undang-undang baru yang memberi kuasa untuk mengheret peniaga-peniaga yang menaikkan harga barangan atau makanan secara sembarangan dan melampau, dikuatkuasakan mulai hari ini.

Undang-undang ini membolehkan peniaga yang didapati mengenakan harga yang ditafsirkan sebagai ‘melampau’ ke atas pengguna boleh dihadapkan di mahkamah dan jika sabit kesalahan mereka boleh dideda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Jika disabitkan bagi kesalahan kali kedua pula, mereka boleh didenda maksimum sehingga RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Akta baru ini digubal bagi mengantikan Akta Kawalan Harga 1946 yang dahulunya memerlukan barang-barang yang dikawal harga digazetkan terlebih dahulu sebelum tindakan dapat diambil ke atas mereka yang menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.

Laporan media memetik Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi mana-mana syarikat pula, jika didapati bersalah di bawah akta baru ini, pihak terbabit boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM500,000 bagi kesalahan kali pertama dan RM1 juta bagi kesalahan kali kedua.

Sehubungan itu sebuah majlis di bawah kementeriannya yang dinamakan Majlis Penasihat Harga (MPH) dan diketuai oleh Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Zain Mohd Dom akan bertanggungjawab memantau dan mengendalikan kes-kes di bawah akta baru ini.

Majlis itu turut dianggotai wakil-wakil kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan, wakil daripada ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan dan dewan-dewan perniagaan.

Beliau berkata, para pengguna juga boleh membuat aduan kepada kementerian menerusi talian 1-800-886-800.

Menguls mengenai harga melampau, Ismail berkata, Ismail Sabri menjelaskan, seandainya seorang peniaga menggenakan caj minuman ais kosong sehingga RM1.20 atau RM1.00 segelas sedangkan kosnya tidak sampai tahap itu, mereka boleh didakwa sekiranya terdapat aduan daripada pengguna.

Jun lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata apabila Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 dikuatkuaskaan tindakan tegas boleh dikenakan terhadap peniaga yang mengaut keuntungan berlebihan sehingga membebankan pengguna, sekali gus mengelak berlaku manipulasi harga oleh peniaga.

Akta Kawalan Harga dani Anti Pencatutan 2010 adalah bagi mengawal peniaga untuk tidak mengaut keuntungan berlebihan hingga mencekik pengguna.

Selasa, 22 Mac 2011

Harga getah turun hingga 48 peratus

Aziz Muda

KUALA LUMPUR: Harga komoditi utama seperti kelapa sawit, getah, koko dan lada kekal berada di paras tinggi sejak 5 tahun lalu hanyalah pada kedudukan umum, tetapi kini para penoreh getah kembali terhimpit apabila harga komoditi utama itu telah turun mendadak sehingga 48 peratus.

Sehubungan itu, kerajaan diminta menubuhkan stok pengimbal getah negara bagi mengawal harga komoditi utama itu agar terus kekal tinggi dan tidak naik dan turun mendadak.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menjelaskan, penurunan harga getah sehingga 48 peratus berlaku sejak dua minggu lalu apabila harga sekilogram getah sekerap hanya RM4.60 berbanding harga tertinggi sebelum ini RM8.80 sekilogram.

Menurut beliau, penurunan harga sehingga RM4.20 sekilogram itu tentunya amat membebankan para penoreh getah, tetapi harga itu juga belum diketahui sama ada akan terus bertahan pada paras itu atau akan terus turun lagi sehingga lebih membebankan para penoreh getah di kampung-kampung.

Katanya, untuk menjaga kebajikan para petani, peneroka dan penoreh getah, beliau telah bertanyakan kepada pihak kerajaan apakah langkah yang dilakukan agar harga komoditi utama itu terus kekal tinggi menerusi soalan tambahan pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

"Jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainudin itu memang betul, tetapi ia tidak merujuk kepada keadaan sebenar harga getah sejak dua minggu kebelakangan ini yang telah turun mendadak sehingga sebanyak itu," katanya ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Semalam ketika menjawab pertanyaan Wan Abdul Rahim, Hamzah menjelaskan harga komoditi utama seperti kelapa sawit, getah, koko dan lada kekal di paras tinggi sejak 5 tahun lalu.

Contohnya, harga purata minyak sawit mentah (crude palm oil - CPO) pada tahun 2010 adalah di paras RM3,620 setan berbanding dengan RM1,395 setan pada tahun 2005, iaitu kenaikan sebanyak 159 peratus dalam tempoh 5 tahun.

Bagi tempoh Januari hingga Februari 2011 pula, harga purata CPO adalah RM3,789 berbanding RM2,532.50 dalam tempoh yang sama pada tahun 2010.

Harga getah gred SMR 20 telah meningkat daripada RM5.23 sekilogram pada tahun 2005 kepada RM10.58 sekilogram pada tahun 2010. Paras tertinggi dalam sejarah yang telah dicapai adalah RM17.17 sekilogram iaitu pada 18 Februari 2011. Manakala bagi tempoh Januari hingga Februari 2011 harga purata gred SMR 20 adalah RM16.26 sekilogram.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Wan Abdul Rahim menjelaskan, penurunan harga getah sehingga hampir 50 peratus itu sebenarnya bukan berpunca dari kekurangan permintaan terhadap getah asli di seluruh dunia, tetapi disebabkan stok yang tinggi atau berlebihan di kilang-kilang getah sehingga menyebabkan pihak kilang kurang melakukan pembelian daripada para penoreh.

"Apabila pihak kilang telah menghantar atau mengeksport dalam kuantiti yang banyak ke luar negara, harga getah akan tinggi kembali, tetapi kita tidak pasti bila akan berlaku dan akan bertahan selama mana," katanya.

Untuk membolehkan harga getah terus kekal tinggi, beliau menyarankan pihak kerajaan agar mengawal selia kedudukan pengilang-pengilang supaya penurunan sebanyak itu tidak berlaku.

Selain itu, beliau juga menyarankan kerajaan agar mewujudkan semula stok pengimbal getah negara supaya dapat mengawal harga getah secara langsung bagi membolehkan harga getah terus kekal tinggi demi kepentingan para penoreh dan negara.

Dalam masa yang sama, beliau turun mengingatkan pihak kerajaan agar turut memikirkan tentang kepentingan mengembalikan semula kedudukan negara sebagai negara pengeluar getah asli utama dunia dengan melakukan beberapa langkah yang diperlukan, memandangkan Malaysia kini berada di tangga kedua di belakang Thailand dalam senarai pengeluar getah dunia.

"10 tahun lalu, harga getah (sekerat) hanya 35 sen sekilogram. Kini harganya memang dah jauh lebih tinggi, tetapi turun pula hingga 48 peratus dua minggu lalu. 40 tahun lalu juga, Malaysia adalah pengeluar utama getah dunia dan kerajaan turut ujudkan stok pengimbal getah negara.

"Kini kita minta kerajaan wujudkan kembali stok pengimbal getah negara dan lakukan beberapa langkah bagi mengembalikan kedudukan negara sebagai pengeluar getah utama dunia.

"Kita tak rugi kalau terus menjadi pengeluar getah utama dunia kerana permintaan terhadap getah asli dunia tidak pernah berkurangan. Contohnya Jepun. Di Jepun, getah asli digunakan sebagai tapak pembinaan bangunan. Selain Jepun, getah asli juga turut diimport oleh negara-negara lain lagi," ujar beliau.

Rabu, 16 Mac 2011

Cuepacs minta kerajaan selaras gaji dengan kenaikan harga barang

BERNAMA

MELAKA — Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan meminta kerajaan supaya membuat pelarasan kenaikan gaji berikutan kenaikan harga barang yang dilihat telah menjejaskan penjawat awam bergaji rendah.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata kali terakhir pelarasan dibuat ialah empat tahun lepas.

“Kita mendapat keluhan dari kakitangan awam yang berpendapatan sederhana dan rendah yang bergaji RM3,500 ke bawah. Semasa kita minta kenaikan selepas 1 Julai 2007, harga barang OK tetapi selepas kenaikan gaji, harga naik mendadak 100 peratus.

“Ini yang kita nak seimbangkan semula penyelarasan berdasarkan kenaikan harga barang semasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) Alternatif, di sini hari ini.

Beliau berkata perkara tersebut akan dibincang oleh Cuepacs bulan depan.

“Kita dah maklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetapi secara tidak rasmi,” tambahnya.

Omar memberitahu terdapat penjawat awam sekarang terpaksa membuat kerja sampingan bagi menambahkan pendapatan.

“Kita tak mahu penjawat awam memikirkan sangat kerja sampingan supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada kerja hakiki dan supaya nak mengelakkan perkara yang tidak diingini yang akan menjejaskan kerja mereka,” katanya.

Beliau juga menyedari bahawa apabila berlaku pelarasan gaji, maka peniaga akan mengambil kesempatan daripadanya dengan serta merta menaikkan harga barang.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap JPA dapat menyemak semula seramai 30 peratus kakitangan kerajaan dari gred 1 hingga gred 40 yang telah mencapai gaji maksimum, supaya dapat dinaikkan gred mereka kepada gred yang baru mengikut kelayakan mereka yang lebih sesuai.

“Ini supaya kita nak elakkan ramai kakitangan kerajaan duduk di tangga gaji yang maksimum. Bila gaji dah maksimum secara tidak langsung prestasi dan produktiviti mereka akan mula terjejas kerana gaji mereka sudah mati (sampai had),” katanya.

Beliau berkata di bawah sistem penilaian baru kelak yang menggantikan PTK, fokusnya ialah untuk membanyakkan peluang kenaikan pangkat di samping memansuhkan sistem gaji tiga lapis seperti yang ada sekarang iaitu P1, P2 dan P3 di bawah Skim Saraan Malaysia (SSM) yang telah berjalan selama lapan tahun.

“Kita mahu sistem gaji satu baris tanpa maksimum. Selagi dia (penjawat awam) berkhidmat, selagi itu gaji dia boleh naik. Baru boleh motivasi diri mereka untuk kerja kuat,” katanya.

Mengenai kes bankrap di kalangan penjawat awam, Omar berkata sehingga tahun lepas hampir 3,000 orang terlibat dengan kes bankrap yang kebanyakannya kerana membuat pinjaman kenderaan.

“Ramai penjawat awam terlalu mudah mendapatkan pinjaman apabila disogokkan oleh pihak tertentu tanpa perlu membayar deposit. Sepatutnya ia tidak berlaku,” katanya.

Isnin, 7 Februari 2011

Harga naik: Penoreh peroleh RM60,000 sebulan

MALAYSIA KINI

Kenaikan harga getah di pasaran dunia memberikan tuah kepada pemilik kebun dan penoreh getah di Hulu Besut sehingga ada yang memperoleh pendapatan sehingga RM60,000 sebulan hasil jualan susu getah.

NONEADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad berkata, kebanyakan daripada mereka memiliki kebun antara tiga dan enam hektar seorang.

"Seorang penoreh yang mempunyai 3 hektar kebun getah memperoleh RM2,000 dalam masa tiga hari dengan menoreh di kebunnya,” katanya kepada pemberita di Besut hari ini.

Menurutnya, dengan harga pasaran antara RM8 dan RM10 sekilogram pada masa ini, ada antara penoreh yang memperoleh pendapatan RM60,000 dalam masa sebulan.


Khamis, 28 Januari 2010

LIGS AKAN SIASAT ADUAN PENYELEWENGAN HARGA

Oleh: MAIL MATHEW


PENGURUSAN Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) akan menjalankan siasatan berhubung wujudnya dakwaan pekebun pekebun kecil kononnya terdapat agen pembeli getah di Tenom yang dilantik LIGS mengenakan harga pembelian berbeza (murah 50 sen setiap sekilo) dengan senarai harga getah harian yang diputuskan oleh kerajaan khususnya LIGS.


Pengurus Besar LIGS, David Ang berkata demikian ketika memberitahu Sabahkini.net pada rabu sebagai mengulas tomahan pekebun kecil getah yang tidak puas hati dengan harga yang ditawarkan agen pembeli murah kira kira 50 sen setiap sekilo pembelian.

“LIGS tidak memberi kuasa kepada agen untuk menurunkan harga getah harian mengikut senarai harga harian, kecuali kualiti kepingan getah yang tidak mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh LIGS adalah tertakluk kepada persetujuan agen itu sendiri untuk membelinya,” kata Ang sambil meyakinkan akan menyiasat dakwaan itu dengan serius.

Ekoran ketidaktentuan harga pasaran getah dan juga sistem timbang sukat yang menjadi rungutan para pekebun kecil getah di Tenom dan Kemabong sebelum ini, mereka (pekebun) memutuskan untuk mengemukakan perkara tersebut menerusi CASH kepada pihak tertentu supaya tindakan wajar dapat dilakukan.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Pengguna Sabah (CASH), Miling Oyot, meminta pihak pihak tertentu khususnya LIGS dan Penguatkuasa Jabatan Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNK) Keningau mengambil tindakan serius terhadap perkara tersebut.

Oyot menambah, pihak pihak tertentu seperti LIGS dan KPDNK perlu menangani kecelaruan tersebut dengan sebaik mungkin untuk meyakinkan para pekebun kecil getah.

“Sesiapa juga akan menyangka sesuatu yang tidak telus terhadap mereka kerana harga pembelian kerap berbeza-beza dengan senarai harga yang telah ditentukan oleh LIGS setiap hari,” tegas Miling Oyot.

Sehubungan itu, Ketua Cawangan Pejabat KPDNK Keningau, Runji Abdul Hamid, menegaskan bahawa pihaknya akan menjalankan pemantauan terhadap penggunaan timbang sukat oleh agen agen pembeli getah dalam masa terdekat ini.

Beliau menambah, jika didapati terdapat unsur-unsur penipuan seperti yang didakwa para pekebun getah sebelum ini, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Timbang Sukat yang berkuatkuasa ketika ini.

Khamis, 23 Julai 2009

Harga gas Semenanjung kekal RM10.70

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan harga gas sedia ada di Semenanjung Malaysia iaitu RM10.70 setiap juta unit termal British (MMBtu).

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam kenyataannya di sini hari ini memberitahu, sehubungan itu, tarif elektrik yang sedang terpakai di Semenanjung Malaysia adalah kekal pada kadar purata 31.31 sen sekilowat jam (kWj) sehingga akhir tahun ini.

"Kabinet dalam mesyuarat pada pagi ini telah mengkaji cadangan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk menyemak semula harga gas sektor elektrik.

"Setelah mengambil kira keadaan ekonomi semasa, kerajaan membuat keputusan untuk mengekalkan harga gas sedia ada," menurut kenyataan itu.

Baru-baru ini, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui berkata, kertas kerja mengenai cadangan kenaikan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia akan dibentangkan kepada Kabinet hari ini.

Menurut beliau, keputusan mengenai tarif baru elektrik dijangka berkuat kuasa bulan depan jika kertas kerja mengenainya diluluskan oleh Kabinet.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh pula dilaporkan berkata, kenaikan tarif elektrik hanya akan dilaksanakan sekiranya kerajaan menaikkan harga gas.

Kenaikan itu, menurut Che Khalib, adalah untuk menampung harga kos sekiranya harga bahan api itu meningkat.

Isnin, 6 Julai 2009

Peniaga babi minta Kedah cari lokasi baru

MALAYSIA KINI


Persatuan Peniaga dan Penyembelih Babi Kedah meminta kerajaan negeri mencari lokasi baru bagi menggantikan tapak penyembelihan babi tidak berlesen di Kampung Berjaya yang dirobohkan minggu lalu.

Pengerusi persatuan itu, iew Lip Kooi berkata, pihaknya akan berjumpa dan berbincang dengan kerajaan negeri secepat mungkin kerana sehingga kini masih belum ada lokasi sesuai untuk mendirikan tempat penyembelihan baru.

"Tapak cadangan di Kampung Cina di Pendang telah ditolak dan kami berharap kerajaan negeri akan bantu kami cari tempat baru yang sesuai agar tidak timbul sebarang masalah," katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam Pejabat Daerah Pendang menolak cadangan pembinaan tapak penyembelihan babi di Kampung Cina kerana didapati tidak sesuai dan mendapat bantahan penduduk.

Menurut Pegawai Daerah, Abdul Shukor Abdul Ghani, hasil kajian
Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Parit dan Saliran serta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda mendapati lokasi itu tidak sesuai kerana terletak hampir dengan kediaman penduduk di situ.

Liew juga berkata pada masa ini peniaga terpaksa membawa daging babi dari Pulau Pinang untuk dipasarkan di Kedah.

Isu perobohan rumah sembelih oleh Majlis Bandaraya Alor Setar menjadi krisis politik yang besar dalam Pakatan Rakyat apabila DAP menarik diri daripada kerajaan negeri yang diterajui gabungan itu.

Selasa, 30 Jun 2009

Milikan asing dalam firma broker saham dinaikkan kepada 70 peratus

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan hari ini bahawa had pegangan saham asing di dalam syarikat broker saham sedia ada akan ditingkatkan kepada 70 peratus daripada 49 peratus pada masa ini dalam usaha meningkatkan lagi kedudukan Malaysia sebagai satu destinasi penyenaraian dan pelaburan.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa berkuat kuasa serta merta, garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) yang meliputi pengambilalihan kepentingan ekuiti, penggabungan dan pengambilalihan dimansuhkan tanpa diganti dengan garis panduan baharu.

"FIC tidak lagi akan memproses sebarang transaksi saham atau mengenakan syarat ekuiti ke atas transaksi sedemikian," katanya.

Pemilikan di dalam segmen pemborongan industri pengurusan dana akan juga diliberalisasikan sepenuhnya untuk membolehkan 100 peratus pemilikan asing bagi syarikat pengurusan dana yang layak dan utama bagi menubuhkan operasi di Malaysia, katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata bagi segmen peruncitan, had pegangan saham asing bagi syarikat pengurusan saham amanah akan ditingkatkan kepada 70 peratus daripada paras semasa 49 peratus.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan penyahkawalseliaan komprehensif garis panduan pelaburan yang dikawal atur oleh FIC meliputi pengambilalihan kepentingan ekuiti, penggabungan dan pengambilalihan, pengendalian langkah meraih dana oleh syarikat tersenarai dan pengambilalihan hartanah di persidangan "Invest Malaysia 2009."

Mengenai perubahan peranan FIC, katanya "ini merupakan satu langkah merasionalisasikan peraturan FIC. Sehingga semalam, langkah pemprosesan transaksi sedemikian merupakan tanggung jawab utama FIC (tetapi) mulai hari ini fungsi FIC itu berakhir."

Najib berkata pengendalian langkah meraih dana oleh syarikat tersenarai telah turut dipertingkatkan dengan ketara dalam usaha meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai satu destinasi penyenaraian.

Kini, syarikat yang ingin mendapatkan penyenaraian diperlukan memenuhi keperluan pegangan saham awam 25 peratus berdasarkan peraturan penyenaraian Bursa Malaysia dan juga syarat ekuiti Bumiputera yang berdasarkan garis panduan FIC.

Keperluan tebaran awam itu terus dikekalkan dan sebagai tambahan Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan memperkenalkan satu garis panduan baharu yang memerlukan syarikat yang ingin mendapatkan penyenaraian menawarkan 50 peratus daripada tebaran pegangan saham awal kepada pelabur Bumiputera.

"Syarat ekuiti Bumiputera dengan itu dimasukkan ke dalam tebaran awam."Ini mengukuhkan daya saing Bursa Malaysia sebagai satu destinasi penyenaraian apabila pihak penggalak syarikat yang ingin mendapatkan penyenaraian tidak lagi diperlukan untuk melucut hak ekuiti melangkaui keperluan berkenaan untuk memenuhi keperluan tebaran awam.

Perdana Menteri berkata sebagai tambahan untuk melonggarkan lagi peraturan untuk meraih dana dari pasaran modal, eksesais meraih dana pasca penyenaraian tidak lagi perlu mematuhi sebarang syarat ekuiti.

"Langkah penyahkawalseliaan itu akan memberi sokongan serta merta terhadap syarikat tersenarai sedia ada untuk meraih dana untuk melaksanakan pelaburan dan mengurangkan pergeseran pematuhan kos," katanya.

Keperluan baharu ini untuk menawarkan 50 peratus tebaran pegangan saham awam kepada Bumiputera hanya terpakai kepada syarikat Malaysia yang ingin mendapatkan penyenaraian di Bursa Malaysia.

"Garis panduan semasa bagi syarikat asing untuk mendapatkan penyenaraian tanpa sebarang keperluan pematuhan dengan sebarang syarat ekuiti dikekalkan dan berikutan itu, kita telah melihat beberapa syarikat asing berjaya memohon penyenaraian di Malaysia," katanya.

Najib turut mengumumkan bahawa satu institusi pelaburan baharu yang dinamakan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) akan diwujudkan.

Ekuinas akan ditubuhkan sebagai satu dana ekuiti swasta, dengan modal berbayar RM500 juta.

Ekuinas, yang seterusnya akan diperbesarkan untuk menjadi dana RM10 bilion, akan memberi fokus pelaburannya dalam sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi, sejajar dengan langkah menyokong Model Ekonomi Baharu, kata Najib.

Pada masa yang sama, Ekuinas akan melakukan pelaburan secara bersama dengan dana sektor swasta bagi mempromosikan perkongsian tulin dan pendekatan komersil sepenuhnya.

Najib: Institusi pelaburan baru Ekuinas ditubuhkan

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pelaburan Asing dimansuhkan berkuat kuasa serta merta dan sebagai pendekatan baru satu institusi pelaburan baru dikenali sebagai Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) akan ditubuhkan.

Ekuinas akan ditubuhkan dengan modal permulaan sebanyak RM500 juta yang bakal berkembang kepada dana RM10 bilion.

Pelaburan Ekuinas memfokuskan kepada sektor-sektor pertumbuhan tinggi dan ia merupakan sebahangan daripada model ekonomi baru yang akan diperkenalkan Perdana Menteri.

Ia diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebentar tadi.

Projek bernilai RM9 billion sudah diserahkan

Najib berkata projek bernilai RM9 bilion telah diserahkan dibawah pakej rangsangan 1 dan 2, di mana RM3 bilion telah dibayar sehingga 19 Jun.

"Suntikan perbelanjaan itu ke dalam ekonomi domestik dan kesan pergandaan berkaitannya akan membantu dan menampan kesan kemelesetan luaran dan menyediakan peluang bagi pemulihan ekonomi di dalam separuh tahun kedua tahun ini," katanya.