Memaparkan catatan dengan label BELANJAWAN 2010. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BELANJAWAN 2010. Papar semua catatan

Isnin, 18 Jun 2012

Warkah Buat Anak Muda India Yang Mahukan Perubahan


 

KELAB GREENBOC


YEMARATHE YEMARADHE” Jangan menipu, Jangan ditipu

Bercakap sahaja mengenai soal masyarakat India di Malaysia semua orang dapat memberi simbolik ‘kalau bukan mabuk, bukan India namanya’. Adakah masyarakat India hanya tahu minum todi dan adakah anak-anak muda kaum India hanya perlu menjadi hero pergaduhan.

Siapakah yang perlu bertanggungjawab untuk menukar presepsi negatif ini terhadap masyarakat India? Jawapanya adalah diri anda sendiri, Mahtma Gandhi pernah mengatakan “we must become the change we want to see”.

Setelah 54 tahun pemerintahan di bawah regim Barisan Nasional yang diketuai oleh UMNO nasib masyarakat India di Malaysia tidak pernah berubah sejak dahulu lagi. Ada pun perubahan adalah dari segi migrasi penduduk; dari estet ke Bandar, namun Dato G. Palanivel, Presiden Malaysian Indian Congres (MIC) atau MAIKA ( lebih dikenali di kalangan orang India) yang baru mengambil alih jawatan tersebut telah mengeluarkan satu kenyataan yang menguris hati masyarakat India.

Apabila bertanya kepada beliau apakah hala tuju dan nasib masyarakat India yang kini semakin hari semakin mendapat tekanan hidup, beliau pula menggesa masyarakat India untuk balik semula ke estet. Adakah ini penyelesaian yang dinanti-nantikan oleh masyarakat India? Apakah kita tidak layak untuk tinggal di Bandar dan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan kaum-kaum lain di Malaysia. Ini jelas menunjukkan sikap hipokrit pemimpin-pemimpin India di kompenan BN yang langsung tidak peduli dengan masa depan masyarakat India.

Pendidikan anak-anak masyarakat India dianaktirikan dan digadaikan, sampai sekarang kerajaan BN tidak mampu untuk memberi penyelesaian terhadap isu-isu melibatkan sekolah Tamil. Makin hari, makin berkurangan sekolah-sekolah Tamil di Malaysia dulu kita mempunyai 888 buah sekolah, kini hanya tinggal 523 sekolah Tamil sahaja.

Kita tidak mahu masyarakat India terus ditipu oleh regim BN. Kita tidak mahu masyarakat India memperjudikan nasib mereka hanya dengan sebuah hamper, sari, dhoti dan duit saku RM50 apabila setiap kali menjelang Pilihan Raya Umum.

Kita mahu melihat perubahan dari segi peluang pendidikan, ekonomi dan sosial. Ayuh anak-anak muda bangkit untuk membuat perubahan jangan leka lagi dan menjadi mangsa penipuan BN!! (Yemarathe, Yemaradhe). Di harap pada PRU-13 nanti anak-anak muda masyarakat India akan membuat perubahan dengan membuat pilihan tepat memilih kerajaan yang dapat menjaga dan memulihara nasib masyarakat India.

Anak-anak muda jangan lupa anda juga merupakan agen kepada perubahan tersebut. Oleh itu, tolonglah buka minda dan mata ibu bapa dan keluarga anda yang masih karat dengan menyokong BN. Berikan mereka maklumat dan fakta yang selama ini mereka telah ditipu dan diperbodohkan oleh BN, kita memerlukan perubahan dan perubahan tersebut hanya boleh dibuat oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Dato Seri Anwar Ibrahim.

Kumaresan Arumugam
Penyelaras Bahagian Pulau
Malaysian Indian Voice (MIV)
Negeri Pulau Pinang

Selasa, 16 Februari 2010

BBCBN: Mansuh kuorum, undi belah bahagi elak nasib Bajet 2010

Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR — Ekoran insiden kerajaan nyaris-nyaris gagal meluluskan Bajet 2010 akhir Disember lalu, kejadian julung kali dalam lima dekad Parlimen Malaysia, Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BBCBN) akan mengemukakan syor sistem kuorum di Dewan Rakyat dimansuhkan.

Turut akan dicadangkan untuk dimansuhkan ialah sistem pengundian belah bahagi di Dewan Rakyat.

BBCBN merasakan kedua-dua aspek berkenaan ‘disalahgunakan’ oleh pembangkang untuk melengah-lengahkan urusan meluluskan sesuatu rang undang-undang.

Kedua-dua aspek berkenaan menjadi tumpuan ekoran insiden Bajet 2010 yang nyaris gagal diterima pada 14 Dis lalu dan ketika membahaskan Rang Undang-Undang DNA 2008.

“Kami di BBCBN sudah menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji perkara-perkara... ia sedang dikaji oleh beberapa pengamal perundangan.

“Apabila selesai kajian, kami akan mengemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat untuk pertimbangan,” kata Timbalan Pengerusi BBCBN Datuk Bung Moktar Radin ketika ditemui.

Jika praktikal Speaker Dewan Rakyat boleh mengemukakan kepada Kabinet dan seterusnya dibahaskan untuk kelulusan Parlimen.

Ketika ditanya sama ada praktikal untuk Dewan Rakyat bersidang tanpa sistem kuorum, Bung Mokhtar berkata pihaknya berpendapat bahawa ia boleh dilaksanakan walaupun sudah lebih lima dekad negara mengamalkan sistem diwarisi dari British.

“Di Amerika, dan beberapa negara di Eropah Parlimen berfungsi tanpa sistem kuorum... walaupun dengan hanya seorang anggota, dia masih boleh berbahas dengan dipengerusikan oleh speaker.

“Jadi, kami merasakan tidak perlu sistem kuorum macam sekarang di negara kita... kita terima pakai cara kita. Begitu juga sistem undi belah bahagi yang adakalanya diambil kesempatan oleh wakil pembangkang untuk melengah-lengahkan kelulusan sesuatu undang-undang,” kata wakil rakyat tiga penggal bagi kerusi Kinabatangan ini.

Menurut beliau, Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat mewajibkan kuorum 26 orang. Dewan Rakyat kini terdiri daripada 222 orang.

Dewan Rakyat juga memerlukan sokongan 15 Ahli Parlimen untuk diadakan undi belah bahagi.

Dewan Rakyat Ke-12 sekarang merupakan pertama kali memperlihatkan kehadiran 85 anggota bukan kalangan kerajaan yang memerintah.

Kini BN mempunyai 137 wakil di Dewan Rakyat manakala Pakatan Rakyat pula 80 dan empat yang lain Bebas serta seorang wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz pernah memberitahu The Malaysian Insider bahawa Parlimen sedang mengkaji pendekatan mengadakan jawatankuasa pilihan khas bagi membolehkan sesuatu rang undang-undang dibincangkan terlebih dahulu, sekali gus mengelakkan masalah kuorum atau tidak cukup kahadiran wakil rakyat.

Ia merupakan antara syor yang pernah dibangkitkan sebagai sebahagian pembaharuan yang hendak dibawa di Parlimen.

Malah ia dilihat lebih mendesak selepas Dewan Rakyat menyaksikan suasana cemas ketika membahaskan Bajet 2010 di peringkat jawatankuasa dan semasa membuat pengundian bacaan kali ketiga, 14 Dis lalu.

Di peringkat jawatankuasa yang membabitkan Kementerian Dalam Negeri, ia diluluskan dengan perbezaan satu undi manakala bacaan kali ketiga memperoleh perakuan dengan 66 ahli menyokong dan 63 membantah.

Hampir 100 wakil rakyat tidak berada ketika pengundian dijalankan pada malam berkenaan.

Ketidakhadiran lebih 70 wakil rakyat BN termasuk sebahagiannya menteri dan timbalan menteri menyebabkan bajet sulung Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri hampir gagal diluluskan.

Dalam hal ini, Bung Mohtar berkata pembangkang juga perlu memainkan peranan sama rata dalam memastikan kuorum adalah mencukupi bagi sidang dewan berjalan tanpa gangguan.

“Kalau kuorum tidak cukup sidang Dewan Rakyat tidak boleh diteruskan.

“Oleh kerana mereka juga mempunyai keanggotaan yang ramai di Dewan Rakyat, tidak seperti dulu... jadi mereka mempunyai peranan yang sama penting untuk dimainkan, jangan serahkan kepada wakil kerajaan BN sahaja.

“Anggota pembangkang juga kena di Dewan Rakyat semasa sesuatu sidang dijalankan,” katanya.

Selain soal kuorum dan undi belah bahagi, satu lagi perkara yang dikaji semula BBCBN ialah urusan penerimaan usul oleh Dewan Rakyat.

“Berdasarkan amalan sekarang, speaker mempunyai kuasa untuk menolak mana-mana usul jika ada usul yang telah dikemukakan terlebih dahulu kepada pejabat speaker.

“Oleh itu, kami akan meminta agar peruntukan baru diwujudkan agar speaker memilih usul yang penting bukannya atas dasar siapa cepat usul dia diterima,” katanya.

Jumaat, 18 Disember 2009

Tindakan terhadap Ahli Parlimen BN yang gagal hadir sidang: PM

Daripada Wan Hazmir Bakar


COPENHAGEN: Datuk Seri Najib Razak berkata kegagalan ramai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hadir pada sidang Dewan Rakyat bagi meluluskan Bajet 2010 Isnin lalu adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dan tindakan sewajarnya akan diambil.

Sambil menegaskan beliau memandang serius perkara itu, Perdana Menteri berkata arahan sudah diberikan supaya semua Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen hadir pada persidangan itu.

"Saya sudah dapat senarai mereka yang tak hadir dan kita akan menyusulinya dengan tindakan sewajarnya. Sekurang-kurangnya kita kena buat satu perjumpaan untuk mengingatkan tanggungjawab mereka untuk hadir pada persidangan Parlimen," katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini malam tadi.

Perdana Menteri diminta mengulas keadaan di mana Bajet 2010 diluluskan dengan kelebihan majoriti tiga undi saja menerusi undi belah bahagian, iaitu 66 menyokong dan 63 menolak.

Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, terpaksa bergegas dari majlis di ibu negara untuk memastikan Bajet 2010 diluluskan dalam undian pada 11.15 malam itu.

Seramai 74 Ahli Parlimen BN tidak hadir di Dewan Rakyat ketika bacaan kali ketiga Bajet 2010 untuk kelulusan.

Kehadiran Ahli Parlimen BN cuma 48 peratus, iaitu 66 daripada 137 anggota berbanding 77 peratus pembangkang, iaitu 63 daripada 82 anggota.

Selasa, 27 Oktober 2009

13 tahun defisit, BN lemah urus ekonomi- Anwar

Azamin Amin


KUALA LUMPUR: Masalah defisit sebenarnya berpunca dari kegagalan BN yang mengurus ekonomi untuk menganjakkan negara dan rakyat ke arah ekonomi tambah nilai sehingga menjejaskan pendapatan negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelbagai langkah dan peruntukkan diumumkan oleh kerajaan untuk memacu ekonomi mencapai tahap maju seperti Singapura, Korea Selatan namun malangnya, statistik terus menunjukkan kemerosotan pendapatan yang secara langsung menyumbang kepada masalah defisit.

Walaupun belanjawan defisit kali ini lebih kecil daripada yang dijangkakan tetapi banyak lagi belajwan-belanjawan tambahan, pakej rangsangan, perbelanjaan 'off-budget' dan sebagainya akan dibentangkan sepanjang tahun 2010 menyebabkan defisit akan terus meningkat.

"Adakah benar kerajaan berbelanja defisit kerana 'kebajikan rakyat didahulukan' atau kelemahan dalam pengurusan ekonomi pimpinan kerajaan sekarang.

"13 tahun berturut-turut kerajaan membentang belanjawan deficit baik dalam keadaan harga petroleum dan komoditi melambung tinggi, ekonomi mengalami pertumbuhan pesat apatah lagi dalam keadaan kemelesetan ekonomi," katanya sewaktu perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 tengah hari tadi di Dewan Rakyat.

Akibatnya kata Anwar hutang negara meningkat 18.3 peratus daripada RM306.4 billion pada tahun 2008 kepada RM362.5 billion tahun 2009.

Katanya lagi keutamaan dalam pembangunan ekonomi jauh tersimpang di mana kerajaan memberi keutamaaan yang berlebihan kepada pembangunan infrastruktur awam dan mengabaikan keperluan infrastruktur sosial dan teknikal seperti peningkatan kualiti sumber manusia, pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan, pencegahan jenayah dan sebagainya.

"Rasional ekonomi kerajaan BN berlandaskan Ekonomi Naungan (Patronage Economy).

"Pembinaan projek-projek dan infrastruktur awam mega merupakan jalan paling mudah dan cepat mengagih habuan kepada konco-konco politik dan kontraktor-kontraktor Umno-BN. Ini membantut penyediaan iklim persaingan yang sihat dalam ekonomi," katanya.

Selain itu, Anwar turut menyentuh kelemahan yang menjejas daya saing Negara perlu diperbaiki seperti pencegahan jenayah, sistem perundangan dan kawalan pelaburan bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan yang telah banyak ditawar oleh Negara-negara lain.

Sebelum itu, beliau turut merujuk laporan 'World Competitiveness Report 2009/2010' yang dikeluarkan oleh 'The World Economic Forum (WEF) di mana Malaysia jatuh dari tangga 21 kepada 24 kerana kelemahan dalam perundangan manakala pentadbiran yang jatuh dari tangga 17 kepada 43 dalam masa 2 tahun.

" Selain itu peningkatan kadar jenayah, saiz belanjawan defisit dan kelemahan dalam sistem penyampaian yang sudah ketinggalan menjadi kebimbangan juga.

"Pelabur menjadikan laporan ini sebagai panduan dalam menentu tempat mereka melabur. Lebih baik ranking Negara lebih menarik kita kepada pelabur," katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Dalam perbahasannya juga, Anwar turut membangkit persoalan kemerosotan keselamatan dan peningkatan jenayah di bandar yang bukan hanya disebabkan kemajuan dan pembangunan ekonomi tetapi juga masalah kemiskinan dan ketidaksaksamaan dalam pengagihan kekayaan negara.

Perancangan ekonomi mesti diperbaiki dengan mengolah polisi bagi memasti keadilan sosial berlaku untuk semua kaum, katanya.

Katanya lagi ekonomi yang berkembang pesat mengundang amalan kecurian dan penipuan seperti yang disaksikan dalam skandal WorlddotCom, Enron dan sebagainya hasil pertumbuhan pesat ekonomi Amerika Syarikat.

"Tidak kurang juga dengan apa yang berlaku dalam Negara seperti skandal Timedotcom, PKFZ, Perwaja dan banyak lagi yang masih dilindungi dan ditutup oleh pihak berkuasa.

"Tidak ada bezanya kecurian dan penipuan yang berlaku disini cuma penguatkuasa sibuk dengan bagaimana dokumen kerajaan boleh terdedah daripada menyiasat penyelewengan yang berlaku atau bagaimana bendera dibeli dengan harga RM2800 daripada menyiasat perbelanjaan peruntukan setahun dalam masa 2 bulan oleh YB-YB dulu, " katanya secara sinis. _

Isnin, 26 Oktober 2009

Bajet 2010 untungkan k'jaan: Anwar

MALAYSIA KINI


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil daripada yuran kad dan cukai keuntungan hartanah yang diperkenalkan semula, jauh melebihi kebajikan yang diagihkan kepada rakyat melalui potongan dan pengecualian cukai.

Dalam Bajet 2010, kerajaan mengumumkan pengurangan kadar cukai pendapatan individu dari 27 peratus kepada 26 peratus selain menaikkan pelepasan cukai daripada RM8,000 kepada RM9,000, pelepasan dalam bayaran yuran internet, pembelian komputer, kenaikan pelepasan caruman KWSP dan sebagainya.

Berucap membahaskan bajet tersebut di Dewan Rakyat hari ini, Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, secara kasarnya rakyat menikmati peruntukan kebajikan dalam bentuk pengecualian dan pelepasan cukai hanya dalam lingkungan RM500 juta.

"Walaubagaimanapun kerajaan mengenakan bayaran RM50 untuk kad kredit utama dan RM25 untuk kad tambahan. Dianggarkan kerajaan akan memperolehi pendapatan lebih daripada RM400 juta daripada yuran kad-kad ini yang keluar daripada poket rakyat.

"Ini tidak termasuk lagi cukai keuntungan hartanah sebanyak 5 peratus yang diperkenalkan semula. Hasil daripada yuran kad dan cukai keuntungan hartanah ini jauh melebihi kebajikan yang diagihkan kepada rakyat melalui potongan dan pengecualian cukai," tambahnya.

Sehubungan itu, Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh bertanya adakah benar bajet ini berkebajikan kepada rakyat.

"Apa yang berlaku, ia bertentangan dengan usaha kerajaan untuk meneruskan agenda ekonomi berasaskan kreativiti, inovasi dan nilai ditambah tinggi. Poket rakyat makin kosong dan kuasa membeli merosot.

"Bagaimana kerajaan akan menjana permintaan dan penggunaan domestik untuk memangkin pertumbuhan ekonomi dalaman sekiranya kuasa membeli rakyat merosot sedangkan pelaburan langsung asing terus merundum dengan teruk," tegas Anwar.

Katanya, jumlah kebajikan untuk rakyat terlalu kecil jika dibandingkan dengan subsidi yang diterima oleh syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) atau syarikat-syarikat pemegang konsesi seperti tol, AP dan sebagainya.

"Dalam laporan kewangan PETRONAS syarikat-syarikat konsesi IPP menikmati subsidi gas sebanyak RM20 bilion pada tahun 2008 dan bertambah kepada RM22 bilion tahun 2009.

"Siapa yang menikmati kebajikan yang sebenarnya? Rakyat atau syarikat pemegang konsesi? Bayangkan jika subsidi ini diagihkan kepada rakyat. Setiap rakyat Malaysia akan mendapat lebih kurang RM815 seorang.

"Bagaimana pula dengan kehilangan berbilion ringgit hasil penyelewengan, rasuah, pembaziran dan sebagainya? Skandal demi skandal terbongkar yang melibatkan puluhan billion ringgit daripada hasil cukai yang di bayar oleh rakyat? PKFZ, Perwaja, scorpene dan sebagainya. Kebajikan rakyat diutamakan?" soalnya.

Berikut adalah sedutan ucapan perbahasan Anwar:

Belanjawan tahunan merupakan polisi jangka pendek kerajaan. Selalu nya apa yang bentangkan Jumaat lepas akan dilupakan dan tidak diikuti sehingga belanjawan baru dibentangkan pula.

YAB Perdana Menteri mengumumkan pengurangan kadar cukai pendapatan individu dari 27% kepada 26% bagi memasti kadar cukai pendapatan individu kekal berdaya saing serta meneruskan agenda ekonomi berasaskan kreativiti, inovasi dan nilai tambah tinggi menurut beliau. Selain itu kerajaan menaikkan pelepasan cukai daripada rm8 ribu kepada rm9 ribu, pelepasan dalam bayaran yuran internet, pembelian komputer, kenaikan pelepasan caruman KWSP dan sebagainya.

Secara kasarnya rakyat menikmati peruntukan kebajikan dalam bentuk pengecualian dan pelepasan cukai hanya dalam lingkungan RM500 juta.

Walaubagaimana pun kerajaan mengenakan bayaran RM50 untuk kad kredit utama dan RM25 untuk kad tambahan. Dianggarkan kerajaan akan memperolehi pendapatan lebih daripada RM400 juta daripada yuran kad-kad ini yang keluar daripada kocek rakyat. Ini tidak termasuk cukai keuntungan hartanah sebanyak 5% yang diperkenalkan semula. Hasil daripada yuran kad dan cukai keuntungan hartanah ini jauh melebihi kebajikan yang diagihkan kepada rakyat melalui potongan dan pengecualian cukai.

Adakah benar bajet ini berkebajikan kepada rakyat? Apa yang berlaku ia bertentangan dengan usaha kerajaan untuk meneruskan agenda ekonomi berasaskan kreativiti, inovasi dan nilai ditambah tinggi. Kuasa membeli rakyat merosot. Bagaimana kerajaan akan menjana permintaan dan penggunaan tempatan untuk memangkin pertumbuhan ekonomi dalaman sekiranya kuasa membeli rakyat merosot sedangkan pelaburan langsung asing terus merundum dengan teruk. Negara hanya mencatat kemasukan pelaburan langsung asing sebanyak RM3.6 billion berbanding RM19.7 billion tahun lepas?

Jumlah kebajikan untuk rakyat terlalu kecil jika dibandingkan dengan subsidi yang diterima oleh syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) atau syarikat-syarikat pemegang konsesi seperti tol, AP dan sebagainya.

Dalam laporan kewangan PETRONAS syarikat-syarikat konsesi IPP menikmati subsidi gas sebanyak RM20 billion pada tahun 2008 dan bertambah kepada RM22 billion tahun 2009. Siapa yang menikmati kebajikan yang sebenarnya? RAKYAT ATAU SYARIKAT PEMEGANG KONSESI? Bayangkan jika subsidi ini diagihkan kepada rakyat. Setiap rakyat Malaysia akan mendapat lebih kurang RM815 seorang.

Pengurusan ekonomi lemah - defisit 13 tahun berturut-turut

Walaupun belanjawan defisit kali ini lebih kecil daripada yang dijangkakan tetapi perlu diingatkan banyak lagi belanjwan-belanjawan tambahan, pakej rangsangan, perbelanjaan "off-budget" dan sebagainya akan dibentangkan sepanjang tahun 2010. Maka defisit akan terus meningkat.

Adakah benar kerajaan berbelanja defisit kerana "kebajikan rakyat didahulukan" atau kelemahan dalam pengurusan ekonomi pimpinan kerajaan sekarang. 13 tahun berturut-turut kerajaan membentangkan belanjawan defisit baik dalam keadaan harga petroleum dan komoditi melambong tinggi.

Akibatnya hutang Negara meningkat 18.3% daripada RM306.4 billion pada tahun 2008 kepada RM362.5 billion tahun 2009. Sejak 2006 hutang Negara meningkat 49.7% daripada RM242.2 billion. Dalam masa yang sama peratusan hutang Negara dengan KDNK meningkat 41.5% pada tahun 2008 kepada 52.4% tahun 2009.

Pelbagai langkah dan peruntukan diumumkan untuk memacu ekonomi standing dengan ekonomi nilai tinggi seperti negara Singapura, Korea Selatan dan sebagainya. Malangnya, statistik terus menunjukkan kemerosotan pendapatan yang secara langsung menyumbang kepada masalah defisit.

Keutamaan dalam pembangunan ekonomi jauh menyimpang. Kerajaan memberi keutamaaan yang berlebihan kepada pembangunan infrastruktur awam (public hardware infrastructure) dan mengabaikan keperluan infrastruktur social dan teknikal. Pembangunan infrastruktur teknikal dan sosial termasuk pembangunan dalam peningkatan kualiti sumber manusia, pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan, pencegahan jenayah dan sebagainya.

Kerajaan tidak upaya melonjak ekonomi ke tahap yang boleh menggandakan penjanaan pendapatan - iaitu ekonomi tambah nilai kerana terlalu bergantung kepada komoditi, petroleum, pembuatan dan perkilangan yang mana kita tidak mempunyai kelebihan lagi dari segi kos efisiensi berbanding negara-negara membangun lain.

Kerajaan hilang daya kreatif dan inovatif untuk menambah pendapatan Negara kerana terlalu bergantung kepada pendapatan industri petroleum. Bagaimana kerajaan dapat membimbing rakyat agar berdaya kreatif dan inovatif untuk meningkat kepada berpendapatan tinggi?

Kebergantungan kepada pendapatan industri petroleum

Bagi tahun 2008; kerajaan memperuntukkan RM177 billion yang mana RM74 billion (42%) disumbang oleh PETRONAS. Ini tidak termasuk hasil dari syarikat-syarikat industri petroleum lain. Sekiranya diambil kira dianggarkan pendapatan daripada industri petroleum mencecah lebih 60%.

Bayaran yang dibuat oleh PETRONAS kepada kerajaan meningkat dua kali ganda dari tahun 2005 hingga 2009; sedangkan rizab petroleum dan gas kita tidak banyak berubah dan kos operasi meningkat 3 kali ganda dalam tempoh yang sama.

Dalam tahun 2006, pecahan pungutan cukai langsung kerajaan adalah pada nisbah 46 % cukai syarikat, 32% cukai petroleum dan 15% cukai individu. Kerajaan tidak mengumumkan pecahan pendapatan cukai yang dijangka dalam tahun 2010, tetapi jangkaan umum adalah cukai petroleum sudah melebihi sumbangan cukai syarikat; yang menimbulkan tanda tanya tentang daya saing ekonomi kita yang terlalu bergantung kepada industri petroleum.

Dianggarkan hanya 2 juta dari 11 juta tenaga kerja di negara ini membayar cukai. Dari jumlah tersebut, dianggarkan hanya 10,000 pembayar cukai adalah pembayar cukai kadar tertinggi (highest tax rate payer); menggambarkan hanya 10,000 orang di Malaysia mendapat pendapatan lebih dari RM250,000 setahun. Ini melambangkan kegagalan BN melonjakkan ekonomi ke tahap lebih tinggi, sehingga tenaga kerja kita masih berkisar kepada kerja-kerja yang tidak mendapat pulangan tinggi - secara langsung menjejaskan pendapatan negara.

Sebelum cukai dinaikkan amat kritikal kerajaan menilai semula kewajaran penganugerahan konsesi tol, IPP, permit impot atau AP kepada perusahaan otomobil dan segala lesen dan permit yang diniagakan diatas dan bawah kaunter untuk mengaut keuntungan tanpa apa-apa pertimbangan yang amat membebankan pengguna.

Kerajaan perlu meneliti bajet dan menghapus pembaziran dan kebocoran. Secara teori kita dapat menyelamat sekurang-kurangnya 10% daripada belanjawan tanpa mengorban prestasi kerja dan penjimatan sedemikian dapat digunakan untuk mengurang defisit belanjawan.

Wujudkan sistem cukai progresif

Kita perlu peka dan prihatin kepada masalah jurang pendapatan rakyat di Negara ini. Kita sedia maklum jurang kemiskinan yang wujud di antara negeri-negeri, di bandar dan desa - malah, wujud juga jurang yang besar di antara tenaga kerja di negara ini.

Anggaran yang dilaporkan sebelum ini ada menyebut bahawa jumlah pembayar cukai kadar tertinggi di negara ini tidak pun mencecah satu peratus dari jumlah keseluruhan pembayar cukai.

Pelepasan-pelepasan cukai yang diumumkan dalam belanjawan 2010 sebenarnya tidak mengmbil kira jurang pendapatan yang wujud di kalangan tenaga kerja kita.

Pada masa kini, seorang pembayar cukai akan membayar kadar tertinggi apabila pendapatan beliau mencecah RM100,000 setiap tahun.

Dalam keadaan ekonomi semasa, golongan professional pertengahan juga akan masuk di dalam kategori ini; walaupun pendapatan mereka adalah jauh lebih rendah daripada mereka yang mencecah RM500,000 atau RM1 juta setahun.

Adalah lebih adil dan berkebajikan jika kita mengiktiraf jurang pendapatan yang wujud ini - maka sistem cukai individu kita perlu lebih progresif.

Saya cadangkan agar satu kategori pendapatan tertinggi yang baru diperkenalkan untuk membezakan di antara mereka yang berpendapatan tertinggi dan golongan professional kelas pertengahan.

Persaingan ekonomi dan meningkatkan daya saing

Kemurungan yang melanda ekonomi sejagat tampaknya tidaklah sebegitu tenat lagi. Namun keadaan sesungguhnya tidak menentu. Tidak siapa mampu menjangka keadaan yang mendatang. Esok, secara-cara tiba, ekonomi, boleh sahaja merudum dan mendung yang disangka berarak pergi, mulai datang menyelubungi lalu menimbulkan kekusutan kepada rakyat.

Panjanglah rumput di permatang
Di sabit orang di Inderagiri
Ku sangka panas sampai ke petang
Kiranya hujan di tengahari

Menurut laporan "World Competitiveness Report 2009/2010" yang dikeluarkan oleh "The World Economic Forum (WEF)" Malaysia jatuh dari tangga 21 kepada 24 kerana kelemahan dalam kerangka peraturan baik perundangan maupun pentadbiran yang jatuh dari tangga 17 kepada 43 dalam masa 2 tahun.

Kelemahan yang menjejas daya saing negara perlu diperbaiki seperti pencegahan jenayah, sistem perundangan dan kawalan pelaburan, penyelidikan dan pembangunan, infrastruktur era ekonomi baru seperti internet dan sebagainya bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan yang telah banyak ditawar oleh Negara-negara lain.

Perubahan ataupun al Islah ini merupakan istilah yang membawa maksud memperbaiki dari kerosakan serta mencegah kebejatan dari berlaku. Tafsir al Kabir melanjutkan penjelasan dengan mempertanggungjawabkan pemerintah dan kerajaan itu melakukan usaha sedaya upaya mencegah kemudaratan. Kesejahteraan rakyat haruslah menjadi keutamaan. Para mufasirin seperti Imam Fakhr al Din al Razi dan Ibnu Katsir bersetuju antara dari pengertian melaksanakan Islah ini adalah memenangkan Keadilan dan mengalahkan kezaliman.

Ibnu Khaldun, ilmuwan abad ke 14, di dalam karya Mukaddimah nya mengungkapkan sebuah pentadbiran dan kerajaan yang dikenal sebagai Wajhul Hikmah. Kerajaan yang mengambil berat kebajikan serta kesejahteraan rakyat nya. Yang mentadbirnya adalah di kalangan mereka yang jujur dan amanah

Sekiranya benar maka kita perlu perbaiki sekarang termasuk menggugur sebahagian dasar dan polisi yang telah usang dan tidak lagi berkesan kerana perubahan persekitaran persaingan. Dasar baru perlu diperkenalkan untuk berhadapan dengan cabaran perubahan ekonomi sejagat untuk terus kehadapan berbanding dengan negara-negara lain yang semakin sengit bersaing.

Dalam kita mengejar kedudukan ranking kita perlu mengimbangi pembangunan diantara semua kaum. Ini sedikit sebanyak menjejas daya saing dan kecekapan pengurusan ekonomi Negara. Saya berpuas hati sekiranya kita dapat mencapai kedudukan ke 18 atau 19 dalam masa terdekat dan terus memperbaiki kedudukan apabila kita berupaya menyesuai kelemahan dan kesempitan aliran atau "bottleneck" dalam pengurusan ekonomi.

Kedudukan yang tinggi dalam daya saing dan efisiensi Negara samaada dapat dicapai atau tidak ditentukan oleh tahap persediaan Negara membiar kuasa pasaran berperanan menentukan aliran peruntukkan dan pengagihan sumber kekayaan Negara dengan campurtangan kerajaan yang minima melalui dasar, polisi, pentadbiran, undang-undang dan peraturan.

Ekonomi yang berdaya saing tinggi difahami berpengetahuan dalam pengurusan sumber dan sumber yang berkurangan. Dengan cara ini pertumbuhan ekonomi dapat dicorak dan dipertahan untuk menjana Pendapatan Negara Kasar yang tinggi. Dalam Negara penduduk yang serumpun teori ini boleh digunapakai tetapi amat sukar dalam masyarakat berbilang kaum yang berbeza aspirasi dan kedudukan ekonomi.

Indeks daya saing dan kecekapan global merupakan panduan penting untuk pelabur antarabangsa memutus tempat pelaburan. Negara yang ingin menarik pelaburan langsung sudah tentunya akan menyediakan iklim yang menarik dan berdaya saing untuk menawan mereka.

Buat masa ini jenis ekonomi yang efisien dan berdaya saing tinggi tanpa campurtangan kerajaan tidak sesusai untuk Negara tetapi mungkin akan menjadi kenyataan dalam dua tiga dekad lagi sekiranya kita meletakkan batu asas yang kukuh kearah itu dan dalam masa yang sama menyelesai masaalah kemiskinan dan merapatkan jurang perbezaan diantara yang kaya dan miskin.

Kita perlu mengkaji dasar yang diolah untuk memaju dan menyusun ekonomi berdasar pemilikan dan penglibatan berlandaskan kaum dalam ekonomi. Barangan dan perkhidmatan social dan ekonomi sepatutnya boleh digunakan oleh semua tanpa mengira kaum tetapi mereka yang mempamer kebolehan dan kesungguhan untuk terlibat perlu dibantu kerajaan. Bantuan jangan sekali-kali disediakan berdasar kedudukan social, kuasa politik penerima. Penglibatan dalam ekonomi mesti berdasar merit, keupayaan dan iltizam keusahawanan. Mengambil kira dasar ini bantuan mereka yang tidak bernasib baik mesti diolah dengan cara yang tidak membantut daya saing Negara.

Atas dasar itu sedang kita perlu kepada ekonomi yang berdaya saing tinggi dan cekap kita juga perlu mengimbangi tuntutan dan keperluan golongan yang memerlu bantuan dan perlindungan kerana kedudukan ekonomi mereka hasil daripada dasar yang diolah untuk mencapai ekonomi daya saing tinggi dan cekap. Pendekatan yang seimbang diantara keperluan persaingan dan keperluan membantu mereka yang terpinggir amat penting dalam ekonomi Negara untuk membina masa depan yang berjaya.

Pelaburan langsung asing

Pelaburan Langsung Asing atau FDI amat sensitive kepada ukuran keyakinan dalam ekonomi. Tertarik atau tidak mereka ke sesebuah Negara membuktikan keyakinan kepada kestabilan dan persaingan sesebuah ekonomi untuk mereka melabur. Pelaburan langsung asing merosot dengan begitu ketara dua tiga tahun yang lepas kedalam negara. Negara hanya mencatat kemasukan pelaburan langsung asing sebanyak USD7.3 billion tahun tahun 2008 berbanding dengan Indonesia USD 7.92 billion dan Vietnam USD 8.05 billion, Thailand USD 9.83 billion, Singapura USD22.8 billion. Tahun ini Negara hanya mencatat USD1 billion sahaja kemasukan FDI

Ada banyak sebab kemerosotan FDI yang begitu ketara sekali. Ada beberapa polisi yang menjadi batu penghalang kepada kemasukkan pelaburan langsung asing. UNTAD (United Nation Trade And Development) melaporkan Malaysia hanya berjaya menarik 2.6% sahaja daripada FDI pada tahun 2007 berbanding sekitar 8% pada pertengahna tahun 90an dan lebih daripada 10% pada tahun 80-an.

Negara perlu kepada strategi baru untuk menarik pelaburan langsung asing baik dalam tarikan pelaburan maupun mengintergrasi pembangunan dengan ekonomi serantau yang pesat membangun seperti Thailand, Vietnam, Indonesia, India dan Cina yang mempunyai pasaran yang jauh lebih besar daripada Malaysia. Ini bergantung kepada kedudukan modal insane negara yang menjadi isu besar negara.

Baru-baru ini Kerajaan telah menghapus beberapa polisi yang menjadi penghalang kepada kemasukan pelaburan langsung asing dan jika diperlukan mempercepatkan lagi proses meliberisasi ekonomi. Kerajaan perlu menghapus polisi dan peraturan pentadbiran yang mengekang usaha kearah kebebasan pasaran.

Hakikatnya kerajaan tidak lagi berupaya mempengaruhi pembangunan dalam semua sector ekonomi untuk mencapai objektif social. Dalam konteks liberisasi pun kerajaan masih boleh menyedia pelbagai insentif untuk penglibatan golongan tertentu seperti menyedia kemudahan kredit daripada institusi kewangan dan sebagainya. Begitu banyak cara untuk membantu golongan kurang bernasib baik yang tidak membantut aliran bebas pelaburan dalam ekonomi. Melalui liberisasi ekonomi akan mempercepat pengaliran masuk pelaburan dan teknologi dalam ekonomi.

Kita perlu pelaburan asing bukan sahaja untuk mengurang beban kewangan kerajaan dalam pembangunan ekonomi tetapi juga teknologi baru yang dibawa bersama. Perusahaan tempatan tidak melabur dalam penyelidikan dan pembangunan menyebabkan Negara tidak berdaya dalam rekacipta untuk pengeluaran barangan dan perkhidmatan generasi baru untuk keperluan era baru ekonomi global.

Kerajaan, Universiti dan pusat-pusat penyelidikan tidak menyesuai atau berorientasi dibawah rancangan komprehensif dan bermakna dalam menyalur hasil penyelidikan dan pembangunan untuk menghasil barangan dan perkhidmaan yang diperlukan oleh ekonomi global. Ketiadaan factor teknologi dalam ekonomi Negara akan membantut usaha kerajaan untuk melonjak taraf ekonomi dibawah model baru ekonomi.

Kualiti internet tercorot

Internet merupakan penggerak utama kepada perusahaan berpendapatan tinggi. Tanpa kualiti internet yang baik perusahaan yang kreatif dan inovatif tidak dapat beroperasi dengan cekap.

Di kalangan Negara-negara Asia, Singapura, Taiwan dan Hongkong berada pada tahap selesa memenuhi keperluan aplikasi hari ini sementara Korea dan Jepun sudah berada dalam masa depan.

Negara-negara yang di kenal pasti sudah bersedia untuk masa depan termasuk Korea, Jepun, Sweden, Lithuania, Bulgaria, Latvia, Belanda, Denmark dan Romania dengan kelajuan melebihi 11.25 Mbps dan "upload" 1 Mbps.

Keselamatan dan jenayah

Peningkatan kadar jenayah menjejas kedudukan ranking persaingan dan efisiensi Negara. Sebahagian masyarakat menghadapi kesulitan untuk menyesuai dengan kemodenan dan kemajuan ekonomi. Mereka terpaksa berpindah randah untuk memberi ruang kepada pembangunan kerana tanah mereka diambil sedangkan mereka tidak berupaya memiliki rumah dalam kawasan yang dibangunkan. Ramai dikalangan mereka tidak mempunyai atau berpeluang mendapat pendidikan tinggi dan terpaksa berkerja diperingkat bawahan atau buruh dengan gaji yang rendah.

Sebahagian daripada mereka mewajar tindakan dan kelakuan mereka walaupun kejam kerana mempercayai tidak ada bezanya dengan pengusaha yang mengaut keuntungan melampau dengan menindas pekerja tanpa mengira kesusahan atau keperitan orang ramai atau penguatkuasa yang memeras, mengugut, mengambil rasuah dan malah membunuh untuk mendapat habuan daripada orang yang sepatutnya mereka lindungi. Perbezaannya hanya cara sahaja.

Saya ingin menekankan kemerosotan keselamatan dan peningkatan jenayah di Bandar bukan hanya disebabkan kemajuan dan pembangunan ekonomi tetapi juga masaalah kemiskinan dan ketidaksaksamaan dalam pengagihan kekayaan negara. Perancangan ekonomi mesti diperbaiki dengan mengolah polisi bagi memasti keadilan social berlaku untuk semua kaum.

Saya menyokong segala usaha untuk meningkat keamanan Negara. Negara amat perlu memoden dan memperlengkap pasukan polis dengan teknologi, teknik penyiasatan dan pengesanan terkini serta pasukan yang berdedikasi untuk mengawal walaupun dalam keadaan darurat. Negara perlu menggunakan technology, kelengkapan dan kemahiran moden untuk menyusun semula kawalan terutama dalam kecurian, rompakan dan keganasan berkaitan dengannya.

Pendidikan

Indeks Pembangunan Insan (Human Development Index) yang dikeluarkan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan Malaysia jatuh dari kedudukan 63 kepada 66. Ini menunjukkan Negara-negara lain telah lebih kehadapan dalam pembangunan insane. Gini Coeffient juga menunjukkan Malaysia merupakan Negara yang paling tinggi jurang diantara yang kaya dan miskin di rantau ini. Perlu diberi perhatian bahawa kadar celik huruf dewasa di Malaysia ialah 91.2%, Indonesia 92% serta Georgia ialah 100%!

Pendidikan menjadi kelemahan dalam daya saing Negara dan mungkin menjadi rintangan paling besar untuk pertumbuhan dan kejayaan masa depan ekonomi Negara. Kita telah mengabai fahaman tradisi bahawa prasyarat asas pembangunan modal insane untuk pertumbuhan ekonomi dan kejayaan masa depan dicapai hanya melalui penyediaan sistem pendidikan bertaraf dunia pertama.

Tidak ada satu pun universiti dalam negara menduduki tangga 100 malah 200 universiti terbaik dunia sedangkan sudah banyak universiti-universiti di Asia terutama dari Hongkong, China , Jepun, Singapura, Korea, Taiwan dan malah Thailand berjaya menduduki dalam kumpulan university terbaik dunia. Peningkatan kualiti pendidikan mereka jauh lebih maju dan kehadapan berbanding dengan system pendidikan kita.

Menurut kedudukan university-universiti terbaik Asia yang dinilai oleh QS Top Universities, 2 buah universiti dari Thailand iaitu University Mahidol menduduki tangga ke 30 dan Chulalongkong ke 35 berbanding dengan university terbaik negara iaitu Universiti Malaya yang hanya berjaya menduduki tangga ke 39. University of Hong Kong yang sama taraf dengan University Malaya satu ketika dahulu menduduki tangga no 1 sementara National University of Singapore tangga 10.

Penekanan kepada sains, teknologi serta sains asas seperti physics, kimia dan kejuruteraan di universiti-universiti tempatan terlalu kurang dan lemah sedangkan kita perlu mengorientasi Negara menceburi dalam era ekonomi global baru. Kita hanya berjaya mengeluarkan modal insan yang mampu menyelenggara ekonomi masa kini tetapi tidak berupaya memacu ekonomi dimasa hadapan. Kita masih bertelagah mengenai penggunaan bahasa untuk pelajar daripada memikir penguasaan matapelajaran sains dan teknologi untuk memacu Negara kehadapan.

Sistem pendidikan yang baik menjana modal insan yang berupaya mengeluar kemahiran berdaya kreatif, inovatif yang sentiasa mencipta barangan dan perkhidmatan baru untuk pasaran tempatan dan global. Tanpa modal insan yang berdaya kita tidak berupaya memacu ekonomi ke tahap sekarang dan tidak boleh mengolah model baru ekonomi yang digambarkan oleh kerajaan yang berdaya menimba, melibat dan menyumbang kepada ekonomi global.

Mana-mana pakar ekonomi bersetuju sudah terdapat jurang yang begitu luas dan tidak dapat diperbaiki lagi dalam dekad depan dari semua sudut kualiti modal insan yang diperlukan sekarang dan masa depan sekiranya kita terus mengabai system pendidikan negara. Modal insan berkualiti tinggi agak sukar diperolehi dalam Negara sekarang.

Perubahan radikal diperlukan dalam system pendidikan Negara. Kita mesti mengeluar pelajar berkualiti, pemikir yang dapat bertindak secara bebas, berfikir secara berlainan dan inovatif serta mahir berkomunikasi dalam pelbagai bahasa. Pelajar2 ini mesti perolehi pengetahuan teknikal, kejuruteraan, matermatiks dan kemahiran amali terkini serta berupaya merancang dan membantu yang lain dalam perusahaan masa depan. Melainkan kita merubah system pendidikan Negara yang sudah jauh ketinggalan, daya saing Negara akan terus merosot dan harapan untuk menjadi sebuah Negara maju tidak akan tercapai.

Negara juga sedang mengalami pengaliran keluar pakar-pakar atau "brain drain" kerana mereka yang pintar dan berbakat tidak lagi melihat Negara sebagai tempat berpeluang untuk maju dalam ekonomi Negara dan ini digalakkan oleh ibubapa dan rakan-rakan dalam mengejar cita-cita dan kekayaan. Kita kehilangan mereka yang berbakat sekiranya daya kreatif dan kemahiran teknikal tidak diperguna dan diperlukan dalam ekonomi sekarang. Tidak ada motivasi untuk mereka merekacipta barangan dan perkhidmatan baru sekiranya Negara sendiri tidak ada kelebihan teknologi untuk digunakan dalam menggarap daya kreatif mereka. Mereka akan pergi ke destinasi lain yang lebih mencabar.

Ahad, 25 Oktober 2009

Bajet 2010 tak untungkan rakyat bawahan - Fomca

DETIK DAILY

Bajet 2010 bertemakan 'Satu Malaysia, Kemakmuran Bersama' yang dibentangkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dilihat tidak banyak memberi kesan dan manfaat, khususnya kepada rakyat bawahan.

Setiausaha Agung Fomca, Muhammad Sha'ani Abdullah, berkata biarpun bajet kali ini melihatkan banyak galakan dan pelepasan tertentu bagi mencergaskan ekonomi, ia tidak menampakkan sebarang pemberian yang nyata dan jelas kepada orang perseorangan

Selain merujuk kepada laporan audit yang mencatatkan banyak penyelewengan, Sha'rani berkata sekiranya dana kerajaan tidak diuruskan dengan berkesan, maka soal ketirisan yang berlaku sebelum ini akan berulang.

Beliau turut menyelar kerajaan yang kurang menumpukan hal-hal berkaitan rakyat secara terus, tetapi lebih kepada hal-hal yang bersifat lebih besar.

"Saya lihat soal jaringan keselamatan sosial ini terlalu disempitkan ruang lingkupnya, sedangkan kos perjalanan juga adalah satu sara hidup, tapi dilihat sebagai satu aspek asing. Kalau boleh kurangkan tambang bas atau rel harian, pengguna boleh jimat belanja harian dan guna penjimatan itu untuk keperluan lain seperti menghadapi kenaikan harga barang," tegas beliau.

Menyentuh soal subsidi yang turut dimuatkan dalam bajet kali ini, Sha'ani berkata Fomca sememangnya bersetuju dengan poemberian tersebut, tetapi ia perlu dibahagikan secara adil.

"Saya melihat orang yang guna banyak akan dapat manfaat bersama, khususnya untuk orang yang mencuri yang menggunakan bahan tersebut untuk perdagangan. Mereka juga dapat subsidi. Jadi, ia akan menjadi satu ketirisan dari dana kerajaan yang tidak mencapai saranan kerajaan untuk membantu golongan yang disasarkan kerajaan," tegas beliau, sebagaimana dipetik dari sebuah wawancara yang disiarkan secara langsung.

Sabtu, 24 Oktober 2009

Pelanggan jalur lebar diberi pelepasan RM500

MALAYSIA KINI


Pembayar cukai individu yang melanggan jalur lebar diberi pelepasan sehingga RM500 setahun mulai 2010 hingga 2012.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ia sebagai tanda galakan kepada rakyat dan komitmen bersungguh-sungguh kerajaan dalam bidang tersebut.

Ketika membentangkan bajet di Parlimen hari ini, Najib berkata dalam memantapkan bidang teknologi komunikasi maklumat (ICT), kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan jalur lebar berkelajuan tinggi dengan jumlah kos RM11.3 bilion.

"Sejumlah RM2.4 bilion datangnya dari pihak kerajaan dan RM8.9 bilion lagi dari Telekom Malaysia," katanya.

Sebagai permulaannya, kata beliau, perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan 10 megabit sesaat akan disediakan di kawasan terpilih di Kuala Lumpur dan Selangor menjelang akhir bulan Mac 2010.

"Seterusnya, perkhidmatan ini akan diperluaskan ke kawasan terpilih di seluruh negara dalam tempoh 2010 hingga 2012," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan bajet di Parlimen hari ini.

Perdana menteri berkata, kadar penembusan jalur lebar terkini hanyalah 25 peratus.

"Ia jauh lebih rendah berbanding 95 peratus di Republik Korea, 88 peratus di Singapura, 64 peratus di Jepun dan 60 peratus di Amerika Syarikat," katanya.

Dalam era menuju negara maju, tegas Najib, mahu tidak mahu, kadar pemilikan komputer dan penembusan jalur lebar harus ditingkatkan supaya setanding dengan rakyat negara maju yang lain.

Bajet besar tapi gagal lahir manusia berakhlak

Harakahdaily


KUALA TERENGGANU : Walaupun kerajaan menyediakan peruntukan yang besar dalam Bajet 2010, namun gagal melahirkan manusia yang berwibawa, berakhlak dan beriman.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana mereka yang menjalankan tugas sebagai pemimpin kerajaan tidak melaksanakannya dengan betul.

"Belanjawan (Bajet 2010) besar, duit banyak, tapi (kerajaan) yang jalankan tugas tak betul, punca gagal untuk melahirkan manusia yang berwibawa, berakhlak dan beriman," ujarnya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bagi Mengisi Tabung Pembinaan Madrasah Darul Iman (MDI) di sebuah resort di sini, malam tadi.

Turut berucap ialah Setiausaha Perhubungan PAS negeri selaku Yang Dipertua PAS Kawasan Marang, Haji Yahaya Ali. Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali hadir sama pada majlis yang diserikan dengan persembahan kumpulan nasyid In-Team itu.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas ringkas Bajet 2010 dengan peruntukan RM191.5 bilion yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat, petang semalam.

Abdul Hadi yang juga Penasihat PAS negeri menambah, kegagalan melahirkan manusia yang berguna itu berpunca daripada kerajaan meninggalkan perintah Allah.

Sehubungan itu, beliau menggesa para hadirin supaya melibatkan diri dengan usaha mendirikan pusat pengajian Islam bagi melahirkan manusia yang bertanggungjawab kepada Allah.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah MDI, Ahmad Maarof Ismail memberitahu, pihaknya dapat mengumpul sekitar RM100,000 melalui majlis yang diadakan itu.

Namun begitu, katanya, pihak MDI masih mengharapkan sumbangan daripada orang ramai bagi menyiapkan pembinaan bangunan empat tingkat di Kampung Titian Baru, Marang yang berharga lebih RM1 juta.

Tambahnya, orang ramai yang ingin memberikan sumbangan dalam bentuk wang tunai bolehlah memasukkan terus ke dalam akaun MDI melalui Bank Islam yang bernombor 13017010809543 atau BSN bernombor 1111541000024903_

Bajet perangi rasuah, cegah jenayah

BERNAMA
(kemaskini 7.25pm)


Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2010 berjumlah RM191.5 bilion yang mengandungi tiga strategi utama iaitu untuk memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mapan, dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Najib dalam bajet sulungnya sebagai perdana menteri yang bertemakan '1Malaysia, Kemakmuran Bersama' memperuntukkan RM138.3 bilion atau 72.2 peratus untuk perbelanjaan mengurus dan RM53.2 bilion atau 27.8 peratus untuk perbelanjaan pembangunan.

Peruntukan belanjawan 2010 ini merupakan pengurangan sebanyak 11.2 peratus berbanding dengan jumlah peruntukan belanjawan 2009 sebanyak RM215.7 bilion, katanya ketika membentangkan Bajet 2010 di Dewan Rakyat petang ini.

Najib berkata dalam strategi bagi memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, kerajaan akan menggalakkan pelaburan swasta, mempergiat penyelidikan pembangunan dan pengkomersilan, memanfaatkan sepenuhnya bidang khusus, memajukan sektor pertanian, menggalakkan industri pembinaan, memperkasa industri kecil dan sederhana, membangunkan teknologi hijau dan menggalakkan industri kreatif.

Bagi strategi kedua iaitu memastikan pembangunan holistik dan mapan, kerajaan akan meningkatkan modal insan berkemahiran tinggi, memantapkan sistem perbankan dan kewangan, memerangi rasuah, pembangunan wilayah koridor, dan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pengurusan kerajaan.

Katanya dalam strategi ketiga pula, kerajaan akan berusaha mencegah jenayah, meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat, memperkasa prasarana luar bandar serta pedalaman, dan menambahbaik pengangkutan awam.

Menurutnya dalam langkah pertama ke arah meningkatkan pelaburan swasta, kerajaan akan menyediakan persekitaran mesra pelanggan, meningkatkan pelaburan swasta, pelaksanaan inisiatif penswastaan, meningkatkan inisiatif projek awam-swasta dan mempergiatkan kemasukan pelaburan asing.

Bagi memanfaatkan sepenuhnya pembangunan bidang khusus pula, kerajaan akan merancakkan industri pelancongan, memantapkan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan mempergiatkan industri halal, tambahnya.

Juga di bawah strategi memacu ekonomi berpendapatan tinggi, Najib berkata kerajaan akan memajukan sektor pertanian, menggalakkan industri pembinaan, memperkasa perusahaan kecil dan sederhana, pembangunan industri hijau yakni menggalakkan pembangunan bangunan hijau, dan menggalakkan industri kreatif.

Perdana menteri berkata bagi mencapai strategi kedua iaitu pembangunan holistik dan mapan, langkah pertama membabitkan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi yang akan ditingkatkan manakala akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan akan diperluaskan.

Seterusnya, kata Najib, kerajaan akan menjaga kebajikan golongan pelajar, menggilap kemahiran tenaga kerja, mempergiatkan program Permata, dan memperkasa institusi pengajian tinggi awam.

Bagi langkah kedua strategi itu, kerajaan juga akan memantapkan sistem perbankan dan kewangan dengan cara mencergaskan pasaran saham, memajukan lagi sistem kewangan Islam, memperluaskan program mikro kredit Ar Rahnu.

Najib berkata di bawah peruntukan mengurus, sejumlah RM42.2 bilion adalah bagi emolumen dan RM20.8 bilion bagi Perkhidmatan dan Bekalan.

Sebanyak RM73.9 bilion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap manakala sejumlah RM524 juta disediakan bagi pembelian aset dan baki RM800 juta untuk perbelanjaan lain.

Bagi peruntukan pembangunan pula, sebanyak RM25.4 bilion disediakan bagi menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar.

Perdana Menteri berkata sejumlah RM20.3 bilion diperuntukkan untuk sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

Sebanyak RM3.7 bilion diperuntukkan untuk pembangunan sektor keselamatan, RM1.8 bilion bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Najib berkata kutipan hasil kerajaan persekutuan bagi tahun 2010 dijangka berkurangan 8.4 peratus kepada RM148.4 bilion berbanding RM162.1 bilion pada 2009.

Bagaimanapun, katanya defisit kerajaan persekutuan bagi tahun 2010 dijangka lebih baik pada paras 5.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 7.4 peratus pada tahun 2009.

Perdana menteri berkata walaupun bajet 2010 merupakan bajet terakhir bagi tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), ia amat penting sebagai asas pembentukan model ekonomi baru dan pembuka tirai kepada Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Najib berkata sejak menerajui kerajaan kira-kira enam bulan lepas, beliau telah mengambil langkah-langkah bagi merangsangkan ekonomi negara demi menjamin kesejahteraan rakyat.

Merujuk kepada Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, beliau berkata ia adalah berteraskan nilai-nilai murni berpaksikan keadilan sosial, prinsip penerimaan dan meraikan kemajmukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Maksudnya, dalam apa jua yang dilakukan, kita perlu sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara. Oleh itu setiap langkah diambil memerlukan pengorbanan dan kerjasama padu daripada semua lapisan masyarakat," katanya.

Perdana menteri berkata kerajaan akan mengambil pendekatan baru berpaksikan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi bagi melonjakkan negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

"Langkah ini akan meningkatkan pendapatan per kapita rakyat lebih dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya.

Pada penghujung ucapannya yang mengambil masa lebih dua jam, Najib menggesa seluruh rakyat supaya bersama-sama dalam usaha membentuk satu cita untuk Malaysia tercinta.

"Bersama api semangat Bagan Pinang yang masih bergejolak dan membakar sukma, bersama harapan yang marak lagi menyala, marilah kita membuat satu transformasi besar-besaran seraya menjulang Malaysia tercinta ini ke persadanya," katanya merujuk kepada kemenangan besar BN pada pilihan raya kecil kerusi negeri itu 11 Okt lepas.

"Sesungguhnya, inilah bajet yang menelusuri keperluan dan meresapi denyut nadi rakyat. Sesungguhnya inilah satu persembahan yang tulus dan ikhlas daripada kerajaan yang menjiwai rakyat.

"Bulatkanlah tekad, tetapkanlah hasrat, menjunjung gagasan 1Malaysia, segala yang mustahil kan pasti menjadi nyata. 1Malaysia, Kemakmuran Bersama," kata beliau mengakhiri ucapan disambut gemuruh tepukan meja oleh penyokong-penyokong kerajaan di dalam dewan.

Jumaat, 23 Oktober 2009

Elaun 4,000 kanak-kanak OKU dinaik kepada RM150

MALAYSIA KINI


Kadar elaun kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) di sekolah pendidikan khas kelolaan NGO akan dinaikkan daripada RM50 kepada RM150 sebulan mulai 1 Januari ini.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata peruntukan sebanyak RM3.3 juta yang disediakan itu akan memberi manfaat dan rahmat kepada hampir 4,000 kanak-kanak OKU.

Ketika membentang bajet di Parlimen hari ini, Najib berkata kerajaan prihatin terhadap semua pihak yang memerlukan bantuan kebajikan, termasuk OKU, warga emas, ibu tunggal dan kanak-kanak.

Untuk menjamin penyaluran bantuan kebajikan dibuat secara menyeluruh dan berkesan serta tidak ada pertindihan, satu pangkalan data yang dikenali sebagai eKasih akan disediakan untuk menjadi pusat rujukan unggul.

Pada masa ini, kata perdana menteri, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri sedang melengkapkan pangkalan data eKasih itu.

Selain itu, katanya, bagi memperkukuhkan lagi jaringan keselamatan sosial, kerajaan akan memperuntukkan RM224 juta bagi OKU untuk bantuan, melaksanakan program pemulihan dalam komuniti serta membina dan menaiktaraf empat taman sinar harapan.

Di samping itu, katanya, peruntukan RM174 juta ringgit disediakan kepada warga emas, termasuk bantuan dan membina serta menaiktaraf dua buah rumah seri kenangan.

Najib berkata, RM15 juta lagi diperuntukan kepada Tabung Kebajikan Perubatan malaysia, Majlis Hospis Malaysia, Persatuan Orang Buta bagi membantu pesakit miskin dan membiayai peralatan perubatan.

Bajet 2010: Peruntukan pendidikan

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN


Berikut ialah peruntukan bagi pendidikan dalam Bajet 2010:

-Peruntukan lebih RM30 bilion untuk pendidikan rendah dan menengah, antaranya, untuk bantuan pelajar dan biasiswa, pembinaan 80 buah sekolah baru sekolah kebangsaan rendah dan menengah, sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah mubaligh.

- Peruntukan RM1.1 billion untuk mengubahsuai dan naik taraf sekolah di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

- Kerajaan sasar semua murid normal dapat menguasai asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun bersekolah, peruntukan 32 juta untuk tujuan ini pada tahun 2010.

- 30 pelajar terbaik berasaskan merit diberi biasiswa nasional untuk melanjutkan pelajaran ke univesiti tersohor di dunia; pinjaman PTPTN ditukar kepada biasiswa bagi pelajar ijazah sarjana muda kelas pertama mulai tahun 2010.

- Kad diskaun tambang 50 peratus 1Malaysia untuk pelajar.

- Pakej netbook termasuk perkhidmatan broadband percuma kepada pelajar universiti dengan bayaran RM50 ringgit sebulan untuk 2 tahun Bajet 2010.

RM3.7 bilion untuk pertingkatkan pasukan keselamatan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Sejumlah RM3.7 bilion akan diberikan kepada pasukan keselamatan bagi mempertingkatkan lagi kecekapan anggotanya termasuk menyediakan kelengkapan yang moden dan canggih.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sejumlah RM1 bilion akan disediakan untuk meningkatkan perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2010 bagi memastikan matlamat kerajaan untuk melaksanakan langkah mencegah jenayah yang dikenal pasti sebagai salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) terpenting negara.

"Kerajaan mensasarkan untuk mengurangkan indeks jenayah sebanyak lima peratus termasuk mengurangkan kadar jenayah jalanan seperti ragut dan samun sebanyak 20 peratus pada akhir 2010," katanya ketika membentangkan Bajet 2010 di Parlimen hari ini.

Beliau berkata antara langkah yang diambil ialah dengan menyediakan balai polis bergerak di 50 "hot spots" yang dikenal pasti di kawasan berisiko tinggi bagi meningkatkan kehadiran anggota polis agar orang awam merasa yakin dan selamat.

Langkah lain ialah mempertingkatkan latihan dan kecekapan 3,000 anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam untuk melakukan rondaan bersama polis serta meningkatkan kempen pencegahan jenayah dan melaksanakan program integrasi polis dalam komuniti masyarakat, katanya.

Najib berkata keselamatan sempadan negara juga turut diberi perhatian serius dengan menyediakan sejumlah RM1.9 bilion untuk meningkatkan kelengkapan anggota tentera serta membina dan menaik taraf pos kawalan.

Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) turut diberikan RM622 juta bagi memastikan kawasan perairan negara bebas daripada penyeludupan dan pencerobohan termasuk ancaman lanun, katanya.

Najib: Kerajaan gubal Akta Pendedah Salah Laku bagi perangi rasuah

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Akta Pendedah Salah Laku akan digubal bagi menggalakkan pemberi maklumat tampil membuat pendedahan jenayah rasuah dan salah laku yang lain, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Bajet 2010 di Parlimen hari ini, Perdana Menteri berkata akta itu akan memberi kekebalan kepada pemberi maklumat daripada dikenakan tindakan sivil atau jenayah akibat pendedahan yang dilakukan.

Penggubalan akta itu adalah antara langkah pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kerajaan untuk memerangi rasuah ke arah membentuk masyarakat yang bersih dan dihormati.

Bagi melaksanakan NKRA itu, Najib mengumumkan bahawa 14 buah lagi Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan empat Mahkamah Tinggi Khas Rayuan Kes Rasuah akan ditubuhkan.

Pada masa ini hanya terdapat dua buah mahkamah khas tersebut di Kuala Lumpur dan dua lagi di Shah Alam.

Najib juga berkata usaha meningkatkan imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dilakukan termasuk mengadakan persidangan memerangi rasuah peringkat antarabangsa, kempen kesedaran melalui media massa dan menjalin hubungan baik dengan masyarakat.

Beliau berkata langkah-langkah yang diambil bertujuan meningkatkan lagi keyakinan dan persepsi masyarakat dalam membanteras rasuah di kalangan anggota penguatkuasa dan pentadbiran awam serta memastikan proses prosedur perolehan kerajaan dipatuhi.

"Langkah ini akan dapat memastikan negara berada di kedudukan yang lebih baik dalam Indeks Persepsi Rasuah antarabangsa," katanya.

Pelepasan diri bagi cukai pendapatan dinaikkan kepada RM9,000

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peningkatan dalam jumlah pelepasan diri bagi pembayar cukai daripada RM8,000 kepada RM9,000, dan penstrukturan semula skim subsidi minyak.

Pembentangan Belanjawan 2010 oleh Najib yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat hari ini jelas mengetengahkan keutamaan kerajaan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, apabila beliau mengumumkan pelbagai pelepasan dan juga kemudahan, khusus untuk manfaat rakyat.

Merujuk kepada pelepasan cukai itu Perdana Menteri berkata ia bermakna setiap pembayar cukai individu akan menikmati peningkatan pendapatan boleh guna sebanyak RM1,000, dan pelepasan ini juga berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2010.

Dalam bajet yang pertama kali dibentangkannya sebagai Menteri Kewangan, Najib berkata bagi memastikan cukai pendapatan individu kekal kompetetif dan meneruskan agenda ekonomi berdasarkan kepada kreativiti, inovasi dan nilai ditambah tinggi, kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan maksimum dikurangkan daripada 27 peratus kepada 26 peratus mulai tahun depan.

Berikutan itu katanya kadar cukai maksimum bagi koperasi diturunkan kepada 26 peratus, manakala kadar cukai tetap bagi individu bukan pemastautin dikurangkan kepada 26 peratus.

Sementara itu dalam usaha menarik lebih ramai bakat dari dalam dan luar negara, dan bagi merancakkan lagi pembangunan Wilayah Pembangunan Malaysia, kerajaan mencadangkan satu insentif cukai yang amat inovatif dan radikal.

"Kerajaan mencadangkan cukai keatas pendapatan penggajian bagi pekerja berpengetahuan rakyat Malaysia serta asing yang bermastautin dan bekerja di Iskandar Malaysia, dikenakan cukai pada kadar 15 peratus, berbanding dengan kadar maksimum 26 peratus untuk seluruh negara," katanya.

Bagaimanapun Perdana Menteri berkata mereka yang layak untuk menikmati cukai ini adalah dalam aktiviti yang layak sahaja seperti teknologi hijau, bioteknologi, perkhidmatan pendidikan, penjagaan kesihatan, industri kreatif, khidmat nasihat kewangan dan konsultansi serta perkhidmatan logistik dan pelancongan.

"Mereka juga mestilah menambah nilai dalam aktiviti yang diceburi. Galakan ini ditawar kepada mereka yang memohon dan mula bekerja di Iskandar Malaysia sebelum akhir tahun 2015, dan akan menikmati insentif ini secara berterusan," tambahnya.

Mengenai penstrukturan semula skim subsidi minyak pula Perdana Menteri berkata, ketika ini semua pengguna kenderaan menikmati manfaat skim minyak bersubsidi kerajaan, termasuk pemilik kereta mewah dan rakyat asing, dan ini membebankan kerajaan.

"Bagi memastikan hanya kumpulan sasar diberi subsidi, kerajaan akan melaksanakan satu sistem pengurusan subsidi minyak pada awal 2010. Sistem yang mesra rakyat ini akan mengguna pakai MyKad dan infrastruktur sedia ada," katanya.

Menyedari betapa pentingkan rakyat menyimpan semasa usia muda bagi memastikan aliran pendapatan yang tetap dan berterusan selepas persaraan, Najib berkata kerajaan mencadangkan pelaksanaan satu skim anuiti.

"Ini adalah kerana tabungan di Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) mungkin tidak mencukupi memandangkan jangka hayat rakyat malaysia yang semakin meningkat. Justeru itu skim anuiti merupakan satu instrumen kewangan yang sesuai untuk tujuan penampungan pendapatan semasa persaraan," katanya.

"Untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menyertai skim anuiti, kerajaan mencadangkan pelepasan cukai individu sebanyak RM6,000 yang sedia ada untuk caruman KWSP dan premium insurans hayat dinaikkan kepada RM7,000.

"Kenaikan RM1,000 ini adalah bagi pelepasan ke atas premium anuiti yang mula dibayar pada 1 Januari 2010 untuk tujuan persaraan yang ditawarkan oleh syarikat insurans," katanya.