Memaparkan catatan dengan label BAJET 2011. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BAJET 2011. Papar semua catatan

Rabu, 27 Mei 2020

Mahathir cabar PAS: Buktikan saman RM1bilion itu wujud

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mahu Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor membuktikan bahawa terdapat saman hampir RM1 bilion yang dikemukakan syarikat pembalakan sebelum ini sekiranya kerajaan negeri tidak membuka semula konsesi balak.

“Takut disaman pembalak? Katanya ada saman RM1bilion? Sanggup tunduk ke pembalak?

“Buktikan saman RM1bilion itu wujud dan kerajaan negeri akan kalah. Berani kerana benar,” kata Dr Mahathir dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Semalam, media melaporkan Muhammad Sanusi sebagai berkata kerajaan negeri Kedah sedia mempertimbang membuka semula konsesi balak kepada syarikat tertentu susulan keputusan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang membatalkannya.

Ini berikutan keputusan menteri besar ketika itu, Mukhriz Mahathir yang pada Mac lalu mewartakan Ulu Muda sebagai hutan simpan dan kawasan tadahan air.

Setiausaha akhbar kepada MB Kedah, Muhamad Mat Yakim kemudiannya tampil dan menjelaskan bahawa Muhammad Sanusi Md Nor hanya melontarkan cadangan bagi menyelesaikan masalah peninggalan pentadbiran PH.

Katanya, kenyataan itu "bukanlah satu cadangan untuk kerajaan negeri membuka kawasan baru pembalakan."

Beliau mendakwa masalah berbangkit setelah kelulusan konsesi pembalakan yang diberikan kemudian dibatalkan oleh kerajaan negeri sebelum ini sedangkan syarikat-syarikat berkenaan telah membayar premium.

Berikutan itu, implikasi yang terpaksa dihadapi oleh kerajaan negeri sama ada berhadapan dengan tindakan mahkamah, membayar ganti rugi ataupun menimbang langkah menggantikan kawasan lain kepada syarikat-syarikat konsesi berkenaan, katanya.

Menjelaskan lanjut, Muhamad berkata tidak timbul soal memberikan kawasan ganti pembalakan jika Kedah "bersedia untuk membayar tuntutan ganti rugi yang dianggarkan mencecah nilai RM1 bilion."

Dr Mahathir dalam hantaranya di Facebook juga menulis “dahulu, konsesi balak diberhentikan untuk menyelamatkan kawasan tadahan air untuk membantu empat juta penduduk.”

Tetapi katanya, kini, konsesi balak mahu dibuka semula.

“Dahulu, konsesi balak diberhentikan untuk memberi bekalan air kepada sawah di Kedah & Perlis. Pengeluar 50 peratus sumber beras negara!

“Kini, si pembalak diagungkan dan kepentingan rakyat dan petani digadaikan,” katanya.

Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhammad Sanusi mengambilalih kepimpinan negeri pada 17 Mei lalu setelah 23 Adun menandatangani pernyataan berkanun untuk mengatakan bahawa mereka telah kehilangan kepercayaan ke atas Menteri Besar PH Mukhriz Mahathir.

Ini susulan beberapa Adun PKR dan Bersatu yang berpaling tadah hingga menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan tumbang di Kedah.

Menurut Mahathir, sejarah baru tercipta, dengan khazanah Kedah dijarah demi "pelaburan strategik" si pembalak.

“Jangan jual rakyat. Jangan jual hutan. Jangan jual khazanah Kedah demi kawan kamu, si pembalak.

“Moga Allah SWT terus melindungi Kedah dari tangan tangan pemimpin yang tidak amanah,” katanya mengakhiri hantaran itu.


Rabu, 10 Jun 2015

Puasa belum bermula sudah bergaduh sesama peniaga

THE RAKYAT POST

 

SONY DSC

 

 

SEREMBAN-1 Ramadan yang menandakan bermula ibadah puasa bagi umat Islam dijangka tiba tujuh hari lagi, namun gara-gara Bazar Ramadan, sekumpulan penjaja dan peniaga kecil di bandar ini sudah berkelahi sesama sendiri. 

 

Kejadian tercetus di perkarangan pejabat Majlis Perbandaran Seremban (MPS), hari ini.

Puncanya adalah perebutan lot tapak bazar untuk berniaga sepanjang Ramadan nanti.

Insiden bermula jam 2 petang apabila sekumpulan lelaki mencetuskan provokasi ketika Pengerusi Persatuan Penjaja Uptown Dataran Senawang (PUDS) Razali Zakaria sedang mengadakan sidang media bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan mengarahkan mereka mengosongkan tapak Bazar Ramadan tempat mereka berniaga sejak tiga tahun lalu.

“Di tengah sidang media sedang berlangsung, sekumpulan samseng menimbulkan provokasi dengan mengusir kami,” Razali menjelaskan kepada The Rakyat Post.

Perselisihan faham itu kemudian merebak menjadi adegan bergasak yang didakwa dimulakan seorang pegawai MPS yang berada di situ.

Menurut Razali, pihak penjaja PUDS telah menyediakan stok bekalan untuk berniaga pada sepanjang Ramadan dan juga musim perayaan yang menyusul.

Sehubungan itu mereka berharap dapat terus berniaga di tapak yang diduduki, sebaliknya diarah mengosongkan tapak masing-masing oleh MPS.

“Wujud unsur hasad dengki dengan mencemarkan nama penjaja Uptown Dataran Senawang dan menggantikan mereka dengan sekumpulan kroni,” dakwa Razali.

Katanya lagi, sejak dua tahun lalu, penjaja tidak pernah berdepan sebarang masalah apabila memohon MPS mengizinkan mereka terus berniaga di tapak yang diduduki sejak 2012.

“Masalah hanya mula timbul selepas perubahan dalam pengurusan bahagian perlesenan MPS awal tahun ini,” dakwa beliau.

“Kami tidak kisah untuk berkongsi lokasi berkenaan dengan peniaga lain, cuma lebih suka berniaga di tapak yang biasa,” jelas Razali.

Bagaimanapun cerita berbeza keluar daripada kumpulan yang satu lagi.

“Ada cabutan undi dibuat oleh MPS pada Isnin bagi menentukan lot untuk Bazaar Ramadhan dan Razali hadir tetapi tidak mencabut undi,” kata Pengerusi Persatuan Penjaja Negeri Sembilan, Noor Hafiz Mohammad Razali.

Noor Hafiz mendakwa Razali bertindak keluar meninggalkan proses cabutan undi, mengakibatkan 51 penjaja di bawahnya terjejas manakala beliau pula dapat memastikan tapak perniagaan untuk 40 penjaja di bawahnya terjamin.

Siti MaryamSeorang daripada penjaja terlepas peluang mendapat lot untuk berniaga, Siti Maryam Madzim berkata dia merasa tertipu kerana Razali sudah berjanji ada tapak untuknya.

Siti Maryam Madzim (atas) berkata dia merasa tertipu kerana Razali sudah berjanji ada tapak untuknya.

“Saya hanya mengetahui melalui mesej dalam kumpulan Whatsapp akan ada sidang akhbar serta protes hari ini dan saya pun datang untuk mengetahui cerita sebenar,” wanita berusia 27 tahun itu bercakap kepada pemberita dengan linangan air mata.

Razali kemudiannya membuat laporan mengenai pergaduhan itu di Balai Polis Rahang.

Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan berlaku dalam insiden tersebut.



Jumaat, 23 November 2012

Sokongan Melayu di Selangor Johor dan Perak meningkat

Harakahdaily,



(Tiga pemimpin utama Pakatan Rakyat yang kini mendapat sokongan besar)


KUALA LUMPUR: Hasil kajian terbaru mendapati sokongan orang Melayu kepada Pakatan Rakyat sejak kebelakangan ini meningkat dengan ketara sekali.

Kajian yang dibuat di tiga negeri iaitu Selangor, Johor dan Perak mendapati sokongan Melayu meningkat antara 3 - 8 peratus di ketiga-tiga negeri ini.

Di Selangor, sokongan kepada Pakatan di negeri itu meningkat sehingga lebih 55 peratus di kalangan pengundi Melayu.

Sokongan Cina dan India di Selangor untuk Pakatan juga sangat membanggakan antara 60 - 75 peratus.

"Isu penting adalah kejayaan kerajaan negeri Selangor membukti pentadbiran yang cemerlang dalam semua segi," kata pengkaji itu tanpa mahu menyebut sumbernya.

Isu serangan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek terhadap Islam, rasuah dan salahgunakuasa yang semakin terdedah dalam BN, kebajikan yang diperolehi oleh rakyat dari kerajaan negeri dan sebagainya menjadi isu-isu penting di atas peningkatan ini.

Keberkesanan media kerajaan negeri Selangor, Selangorkini yang diedarkan lebih 150,000 naskah setiap minggu juga menjadi faktor peningkatan sokongan ini.

"Yang menariknya, perubahan ini akan mempengaruhi sokongan Melayu di negeri-negeri lain kerana ramai pengundi yang tinggal di Selangor adalah pengundi lain-lain negeri termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah," kata sumber itu.

Di Johor pula, kajian yang dibuat oleh sebuah pusat pengajian tinggi pula mendapati sokongan terhadap Umno di kalangan pengundi Melayu negeri itu merosot sehingga 3 - 5 peratus.

"Saya diberitahu oleh seorang profesor, sokongan Melayu Johor kepada Umno merosot teruk berbanding pilihan raya 2008 lalu," kata Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dalam satu majlis di Batu Pahat baru-baru ini.

Selain pengundi Melayu, pengundi Cina lebih ketara berubah sokongan kepada Pakatan Rakyat iaitu sehingga 85 peratus.

"Namun kena ingat, walaupun hingga 85 peratus pengundi Cina sokong DAP di Johor, hanya 65 peratus sahaja yang akan menyokong calon PAS sehingga kini.

"Oleh itu, PAS perlu berbuat sesuatu untuk mendapat undi ini (yang sokong DAP tetapi tidak sokong PAS)," kata seorang profesor kajian politik kepada Harakahdaily.

Di Perak pula, kajian yang dibuat mendapati sokongan orang Melayu kepada Pakatan juga meningkat.

"Berdasarkan maklumat yang diberikan kepada saya, kita boleh dapat 35 - 36 kerusi DUN di Perak jika pilihan raya diadakan sekarang," kata Dr Mohamad Nor Manuty kepada Harakahdaily berdasarkan satu kajian yang dibuat di negeri itu.

Selasa, 30 Oktober 2012

Bersih 3.0: Tian Chua diarah bela diri

SITI AZIELAH WAHI

Tian Chua
Tian Chua
 
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Batu, Tian Chua diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan tidak mematuhi perintah polis di kawasan Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (Pulapol), sehari selepas perhimpunan Bersih 3.0 April lalu.

Hakim Mahmud Abdullah semasa mengumumkan keputusan itu berkata, beliau membuat perintah tersebut mengikut prinsip undang-undang yang telah digariskan, setelah menilai secara maksimum hujah pihak pendakwa dan pembela.

Mahmud berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie.

"Mahkamah  berhasrat untuk memanggil tertuduh untuk membela diri terhadap tuduhan yang dihadapi," katanya.

Tian Chua, 49, didakwa melanggar perintah yang dikeluarkan oleh DSP A. Rajakopal untuk beredar dari kawasan Pulapol itu yang diisytiharkan sebagai satu kawasan larangan mengikut perintah kawasan-kawasan larangan 1975.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pulapol, Jalan Semarak pada 2.30 pagi, 29 April lepas.

Perhimpunan Bersih 3.0 diadakan pada 28 April.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(2) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 7 akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 23 Julai lalu, seramai sembilan saksi dipanggil untuk memberi keterangan termasuk Rajakopal.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dasuki Mokhtar dan Amirah Mohamed Yusoff manakala tertyuduh diwakili Latheefa Koya.

Mahkamah menetapkan 29 dan 30 November ini untuk memulakan perbicaraan bagi prosiding membela diri.

MB Selangor sedia tanding 2 kerusi 'jika diarah'

Wartawan Sinar Harian

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
 
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedia bertanding merebut dua kerusi iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) jika diarahkan oleh pucuk pimpinan parti.

Katanya, sebarang keputusan mengenai kawasan mana untuk beliau bertanding perkara itu akan ditentukan oleh sama ada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Semua pengumuman pertandingan hanya boleh diumumkan oleh dua orang iaitu ketua umum dan presiden parti.

“Kalau diserahkan tanggungjawab kepada saya maka saya sedia untuk bertanding,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan Anwar supaya Abdul Khalid terus mempertahankan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Anwar yakin rakyat akan terus memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR) kerana kecekapan dan ketokohan Abdul Khalid serta prestasi memberangsangkan dalam mentadbir Selangor.

Abdul Khalid berkata, beliau menyambut baik cadangan tersebut kerana ia dapat mengurangkan tekanan kepada Anwar kerana dikatakan ramai yang memintanya untuk menjadi calon di Bandar Tun Razak.

Selain itu, beliau berkata, tidak menjadi masalah sekiranya menteri besar atau ketua menteri untuk bertanding merebut dua kerusi.

Ketika ditanya sama ada beliau sedia bertanding mempertahankan Dun Ijok, Abdul Khalid berkata, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.

Selasa, 26 Oktober 2010

Bajet 2011 ‘bala’ bagi Orang Asli – JKOASM

FREE MALAYSIA TODAY

imagesPETALING JAYA: Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) mendedahkan elaun yang diterima Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Orang Asli (Tok Batin) hanyalah sebanyak RM200 sebulan dalam tempoh setahun atau tiga bulan sekali.

Perkara ini sekaligus bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai elaun yang diterima Tok Batin sebanyak RM450 sebulan dalam pembentangan Bajet 2011.

"Terdapat aduan daripada Tok Batin tentang tempoh bayaran ditunda kepada beberapa bulan berikutnya tanpa sebarang sebab yang jelas.

"Jika benar elaun yang sepatutnya diberikan itu berjumlah RM450 sebulan sedangkan Tok Batin cuma menerima RM200 sebulan, persoalannya dimana perginya perbezaan baki RM250 itu.

"Bagaimana PM mengatakan Pengerusi JKK ada terima bayaran sebanyak itu dan sekarang nak dinaikkan kepada RM800 pula," soal JKOASM dalam kenyataannya semalam.

JKOASM turut membidas tentang peruntukan RM100 juta bagi menyelesaikan isu pegangan hak milik tanah dan persempadanan penempatan serta pelaksanaan model baru pembangunan Orang Asli.

Begitu juga dengan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) ditukar dan diberi ‘nafas baru’ sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA).

Katanya meskipun kerajaan telah memperuntukkan berjuta-juta ringgit untuk pembangunan Orang Asli dimana JHEOA telah diamanahkan untuk melaksanakannya, namun sehingga ini masih banyak kampung Orang ASli yang tidak mempunyai sebarang kemudahan asas, sehinggakan masih terdapat beratus-ratus kampung Orang Asli yang tidak mempunyai bekalan air bersih.

"Dari pengalaman Orang Asli, JHEOA adalah satu badan yang menyusahkan mereka dan sering membiarkan agensi-agensi seperti RISDA, FELCRA dan Polis mengambil wilayah Tanah Adat, menindas, malah menipu kami atas alasan demi pelaksanaan projek pembangunan untuk Orang Asli.

"Ini kerana hakikatnya, projek pembangunan yang diberikan seperti Rancangan Pengumpulan Semula (RPS), (Badan Bertindak Orang Asli) TSK dan lain-lain hanya memburukkan lagi masalah kemiskinan OAS serta menyebabkan kemudaratan hidup kami.

"Nampaknya PM langsung tidak mengendahkan apa yang kami suarakan dalam memorandum bantahan Orang Asli terhadap Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Orang Asli yang kami hantar kepada beliau pada 17 Mac lalu di Putrajaya," katanya.

‘Sakai’, ‘Jakun’: Orang Asli terguris kenyataan Najib

JKOASM dalam kenyataannya turut berasa terhina dengan ucapan Najib semasa Perhimpunan Agung Umno di PWTC minggu lalu yang merujuk masyarakat Orang Asli sebagai ‘Sakai’ dan ‘Jakun’.

"Tidak wajar bagi PM mengungkapkan istilah yang menyentuh sensitiviti kaum meskipun ianya sekadar kutipan baris sajak atau puisi.

"Jika kaum lain begitu mudah tersinggung dan marah apabila ada sebarang kenyataan yang berkaitan kaum digunakan, begitu juga kami kerana ia amat mengguris hati seluruh Masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, JKOASM menuntut agar satu siasatan awam yang telus dan bebas dijalankan bagi menyiasat jika terdapat sebarang penyelewengan berhubung tuntutan hak yang telah dirampas serta elaun bagi Tok Batin dan Pengerusi JKKK Orang Asli.

Kenyataan itu juga menuntut agar draf sah dasar pemberimilikan dan pembangunan tanah Orang Asli dibincang bersama sebelum dibentang dan diluluskan Parlimen.

Ini kerana katanya Orang Asli tidak mahu dasar itu akan menjadi seperti rang Undang-Undang Perhilitan 2010 dimana kerajaan dan Parlimen sewenang-wenangnya memutuskan apa yang boleh dan tidak boleh dimakan oleh mereka tanpa wujudnya sebarang perbincangan antara kedua-dua belah pihak.

"Bagi kesemua tujuan ini, kami menyeru agar Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan untuk menyiasat dengan terperinci semua perkara berhubung dengan hal ehwal masalah Orang Asli seperti yang termaktub dalam perkara 8(5)(c) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sabtu, 23 Oktober 2010

Belanjawan 2011: Bajet harta Qarun dari seorang Perdana Menteri

MERDEKA REVIEW

ADA tiga perkara besar yang menjadi rukun terpenting kepada belanjawan negara. Sumber kewangan, pengurusan dan sasaran. Kejayaan belanjawan sangat bergantung dengan ketiga-tiga perkara ini.

Sebarang kelemahan, kekurangan atau kecacatan, menjadikannya gagal mencapai matlamat untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat dan kemajuan negara dalam erti kata yang sebenarnya. Walaupun berapa banyak peruntukan kewangan dan apa pun slogan yang dicipta serta indahnya kata-kata yang diucapkan, tanpa menyempurnakan rukun-rukun tersebut pasti menemui kegagalan.

Kesemua rukun ini hendaklah dilaksanakan dengan adil dan bijak, secara makruf dan mencegah kemunkaran, menunaikan amanah perintah Allah dengan betul dan ikhlas.

Allah menjanjikan keberkatan kepada perbelanjaan sebagaimana Firman Allah yang bermaksud: "Dan kalau sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, necaya kami bukakan untuk mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka membohongi, lalu kami bertindak keatas mereka dengan sebab apa yang telah mereka usahakan".

Perkataan berkat hanya berada dalam istilah ekonomi dan kewangan Islam. Ia bermaksud memberi faedah dunia dan akhirat. Perkataan ini cukup bermakna setelah kita menyaksikan dan merasai tanda-tanda awal kemusnahan yang menimpa manusia hari ini, tempiasnya juga dirasai oleh kita di sini.

Kita semua menerima Islam menjadi agama persekutuan dan hak kepada penganut agama lain secara adil. Kerajaan wajib membebaskan pemikiran sempit yang membelenggu pelaksanaan Islam secara menyeluruh dan melaksanakan Islam secara teragak-agak serta terpilih, bukannya secara pengabdian diri kepada Allah.

Saya (Hadi Awang, gambar kiri) ingin mengemukakan dasar dan konsep Islam dalam belanjawan negara, bagi mengisi ketiga-tiga rukun belanjawan tersebut. Saya yakin dan percaya perbezaan agama, bangsa dan politik tidak menghalang sedikit pun pelaksanaannya, sekira ianya difahami dan dilaksanakan dengan adil yang menjadi anutan semua manusia.

Sumber Kewangan

Islam mewajibkan sumber yang halal dan diambil dengan cara yang adil. Dalam perbezaan perkara halal, Islam melarang paksaan terhadap penganut agama lain, mengambil dan memanfaatkan sumber yang diizin oleh agama masing-masing mengikut kepercayaan mereka, dengan syarat meletakkan sumber itu ke dalam simpanan khas bagi mereka dan untuk mereka dan tidak disasarkan kepada penganut Islam.

Dalam mengendalikan urusan ini pihak kerajaan masih tidak istiqamah dengan tidak melakukan pengasingan ini. Kerajaan negeri di bawah Pas diberi arahan melaksanakan perkara ini iaitu mengasingkan hasil halal dan haram.

Sumber daripada judi, arak dan riba yang haram dengan nyata masih lagi bergelumang dengan sumber kewangan negara. Bahkan dianggap terpenting. Begitulah kenyataannya pemimpin yang mengaku menganut Islam, walaupun Allah menegaskan dengan amaran yang keras.

Tidak ada dalam sejarah dunia, negara-negara yang maju dengan sumber judi, arak dan riba. Apa yang berlaku ialah keruntuhan negara disebabkan judi, arak dan riba.

Perlesenan judi oleh kementerian kewangan di bawah kuasa kerajaan pusat bukannya kerajaan negeri. Sangat malang dan memalukan, apabila kita menjadi negara yang mempunyai pusat judi yang terbesar di rantau ini dan bertaraf antarabangsa.

Kegiatannya sentiasa bertambah dengan keizinan kerajaan di atas nama kawalan. Banyak amaran Allah terhadap haramnya judi dan apa yang diharamkan pasti membawa mudarat dan penyakit.

Kalau ada manfaat sekalipun, terlalu sedikit dan tidak boleh menampung bencana daripada penyakitnya. Firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 219: "Mereka bertanyakan kamu berkenaan arak dan judi. Katakan kepada mereka, pada keduanya dosa yang besar dan beberapa manfaat kepada manusia, namun dosa kedua-duanya lebih besar daripada beberapa manfaat yang dihasilkan".

Seluruh penyelidik kemasyarakatan, sama ada Islam atau bukan Islam mengakui hakikat bahawa sebarang bentuk judi menyebabkan gejala negatif yang merugikan jauh lebih besar daripada hasil kewangannya.

Di antara hasil kewangan negara ialah perusahaan arak dan judi yang dibangunkan sejak daripada zaman penjajah. Sumber kewangan negara masih juga ada pergantungan kepada hutang yang berlandaskan riba dan amalan yang berlandaskan riba.

Di antara sebab kemusnahan parah yang menimpa sistem liberal kapitalisme yang dijulang oleh kuasa besar barat ialah riba. Allah SWT mengharamkan riba dengan sekeras-kerasnya dengan amaran dunia dan akhirat, sudah pasti riba sebenarnya penyakit barah ekonomi khususnya kepada aspek kewangan.

Allah SWT berfirman dalam surah al Baqarah ayat 276 yang bermaksud; "Allah menghapuskan (berkat dan kebaikan) daripada riba dan memberi keuntungan kepada segala sedekah (yang bersifat bertolong menolong), dan Allah tidak mengasihi setiap keengkaran dan dosa".

Allah juga memberi amaran yang keras terhadap mereka yang malakukan muamalah riba dalam Al Quran surah Al Baqarah ayat 278 dan 279; "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah (dengan mematuhi segala perintahnya dan meninggalkan larangannya) dan tinggallah saki-baki riba, sekiranya kamu benar-benar menjadi orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak melakukannya (dengan menunaikan perintah Allah yang mengharamkan riba itu) bermakna kamu mengizinkan Allah mengisytiharkan perang terhadap kamu, dan jika sekiranya kamu bertaubat, maka untuk kamu ialah modal harta kamu yang sebenar, dalam keadaan kamu tidak menzalimi dan di zalimi".

Walaupun muamalat Islam dikembangkan dalam bidang perbankan dengan berbagai iktiviti dengan jumlah kewangan yang besar dan menerima pelaburan asing, tetapi kemungkaran riba tidak dicegah, menyebabkan hasil kewangan yang tidak saksama dengan tepat.

Sumber kewangan juga diambil melalui cara zalim terhadap rakyat dan negeri. Kami tetap menegaskan bahawa merampas royalti petroleum daripada negeri Terengganu dan menfikan hak Kelantan adalah satu kezaliman yang haram.

Begitu juga peruntukan dan pengurusan hasil kekayaan di Sabah dan Sarawak masih tidak dapat menyelesaikan kemudahan asas setelah berlalu kemerdekaan setengah abad. Cukai-cukai dan denda yang tidak berpatutan, membebankan rakyat miskin yang berada di seluruh negara.

Bayaran yang diwajibkan kepada rakyat lebih besar daripada yang wajib dilakukan oleh kerajaan kepada rakyat, tetapi tidak dilaksanakan dengan sempurna saperti rawatan kesihatan, pendidikan dan kemudahan asas.

Karajaan menjadikan perkara-perkara tersebut salah satu daripada sumber kewangan negara yang dibebankan kepada rakyat.

Terlalu banyak sumber-sumber alam kurniaan Allah di tanah air kita ini dan sumber yang boleh diambil daripada kalangan mereka yang kaya raya. Tetapi malangnya tidak dikendalikan dengan betul, lalu membebankan rakyat secara menyeluruh, termasuk kalangan yang miskin. Tanpa membetulkan proses memanfaatkan sumber alam dan mereka yang kaya raya tidak diatur supaya menjadi penyumbang yang sistematik dan adil, dengan pencapaian produktiviti yang menjadi hasil negara.

Puncanya kerana salah urus, dibayangi rasuah dan monopili yang haram. Di antara puncanya juga ialah campur tangan politik yang melampau, sehingga menjadikannya sentiasa tidak mencukupi. Keadaan ini menjadikan sumber kekayaan negara berkisar dikalangan orang yang tertentu, tanpa peduli larangan Allah. Firman Allah; "Supaya jangan berkisar di kalangan orang-orang kaya yang tertentu", iaitu kalangan kaya-raya yang berkeliaran di keliling pihak yang berkuasa dengan sumbangan kewangan untuk mengukuhkan pengaruh dengan rasuah. Sehingga kewangan tidak diurus dengan saksama.

Pengurusan

Saya sangat menghargai kakitangan dan pegawai kerajaan yang mengendalikan urusan menjayakan belanjawan mengikut bidang masing-masing. Mereka adalah kalangan yang berpelajaran, berpengalaman dan berkebolehan yang bertaraf tinggi.

Contoh rakan-rakan yang sama melarikan diri berkhidmat di negara luar mendapat pujian di negara tempat mereka berkhidmat. Mengapa mereka yang berada dalam negeri mengalami halangan yang menjadikan segala rancangan Malaysia yang terdahulu tidak mencapai matlamat yang memuaskan dan kita merasa bimbang rancangan malaysia yang sedang dan akan datang mengalami nasib yang lebih buruk.

Di antara puncanya ialah, wujudnya roh politik kepartian yang sangat kuat dalam pentadbiran dan pelaksanaan di semua peringkat. Penjawatan, kenaikan pangkat dan pertukaran tidak berdasar dan berkonsepkan kebolehan dan kelayakan yang sebenar.

Dalam negara demokrasi yang maju para pegawai mengambil tempat dan bertugas secara profesional bukannya kepartian. Mereka boleh menganut apa sahaja fahaman politik yang mereka pilih dan mereka bekerja dan bertugas secara profesional untuk negara di bawah kerajaan yang memerintah dengan tekun berkhidmat kepada negara dan masyarakat.

Ada pun di negara kita ini dirasuk hantu politik kepartian di semua peringkat daripada atas sampai ke bawah. Di peringkat atas saudara semua tahu, mereka yang berada di atas mungkin terlalu tinggi, tidak nampak apa yang berlaku di bawah terutamanya yang paling bawah.

Pengurusan di bawah diganggu oleh lapisan yang dinamakan JKKK. Mereka yang dilantik oleh parti diperingkat cawangan, bagi menjamin rakyat menyokong parti secara paksa dan mengugut.

Semua kelulusan permohonan, bermula daripada bantuan kebajikan bagi menyara hidup sehinggalah borang para pelajar disemua peringkat, wajib mendapat pengesahan JKKK. Terpaksalah terhegeh-hegeh menyembah JKKK sebelum dihantar ke jabatan-jabatan.

Para pegawai wajib menerima pengesahan JKKK, seolah-olah JKKK lebih besar dan dan berperanan daripada pegawai-pegawai yang berpegajian tinggi. Ini di antara penyakit pengurusan yang sedang membarah sekarang.

Ramai wakil-wakil rakyat BN pula bergantung kemenangan pilihanraya kepada JKKK. sudah tentu mereka mempertahankan golongan ini habis-habisan walaupun merosakkan pengurusan dan pentadbiran bagi menyalurkan bajet ini kepada sasarannya secara bijaksana bukan bijaksini.

Negara sedang mengalami kepimpinan yang tidak menjadi teladan, walaupun slogan ini pernah diwarwarkan beberapa dekad yang lalu dan berada dalam lipatan sejarah. Kita telah menyaksikan projek-projek gagal, sedang dan akan terus menyaksikannya.

Di pertengahan tahun wajib dibentangkan dalam dewan ini peruntukan tambahan. Kita tidak mahu peruntukan tanbahan kerana kejahatan manusia dengan sengaja, bukannya bencana yang tidak boleh dielak.

Saya adalah Melayu yang tidak lupa dengan peristiwa stadium runtuh, stesen bas runtuh, makmal di sekolah runtuh sehingga bumbung masjid pun ada juga yang runtuh. Mereka yang bertanggungjawab tidak nampak dan tidak didengari ada yang diambil tindakan.

Mungkin menunggu supaya dilupakan dan terus mendapat projek baru. Bayangan rasuah belum hilang walaupun ada kedengaran tindakan yang diambil, tetapi secara terpilih.

Saya yakin negara yang dihinggapi politik wang dalam pemilihan parti dan pilihanraya tidak mampu mengatasi penyakit rasuah, jauh sekali untuk menghapuskannya. Saya serahkan kepada rakan-rakan yang lain untuk menyebutnya secara detail.

Saya baru pulang dari lautan dalam bersama nelayan, dan saya menyaksikan sendiri bagaimana kapal pukat tunda yang berkuasa tinggi membersihkan laut daripada batu karang, di samping membaham unjam-unjam menarik ikan dan bubu nelayan kecil.

Kumpulan lanun ini bergerak dengan bebas dan berlesen besar, bukan sahaja menggangu nelayan kecil dan sederhana, tatapi sangat merbahaya kerana menghapuskan benih hasil laut dan kawasan pembiakan di dasar laut.

Ikan-ikan yang besar dibawa keluar negara, ikan-ikan yang sederhana, kecil dan kurang mutu dibawa ke darat untuk dijual atau dibuat baja. Saya dimaklumkan juga bahawa tuan punya di darat, pekerjanya daripada negara asing.

Di antara kegiatannya juga ialah mengisi minyak sabsidi dengan banyak untuk dijual di laut. Ada kalangan penguatkuasa memaklumkan kepada saya, tidak boleh diambil tindakan kerana jerung di darat terlalu besar menganga mulut untuk menelan kami.

Walaupun banyak negara dalam dunia termasuk negara maju mengharamkan sebarang cara yang merosakkan hasil laut tetapi kita masih berterusan dengan amalan makhluk perosak ini. Saya mencadangkan supaya pihak yang lebih berkuasa bertindak dengan berani dan telus bagi menyelamatkan keadaan.

Lebih daripada 50% nelayan pukat sederhana dan kecil terpaksa manjual bot, pukat dan alatan nelayan bagi mencari pekerjaan yang lain tanpa suatu jaminan yang kukuh. Keadaan yang sama berlaku di kawasan sungai dan tasik di Malaysia Timur dan Barat .

Sasaran

Perancangan memajukan negara yang membawa kebaikan kepada rakyat, tidak mencapai sasaran. Sekiranya sumber kewangan berpusing dikalangan orang-orang yang tertentu, dikalangan kroni dan mereka yang tidak layak menerimanya.

Perbelanjaan negara tidak bermanfaat sekiranya diletakkan tidak kena pada tempatnya atau tidak sampai kepada sasaran yang sebanar atau mereka yang diberi peluang tidak layak melaksanakannya dengan berjaya.

Pendekatan menjadikan harta kekayaan berpusing dikalangan mereka yang tertentu, daripada pemimpin kepada kroni dan ada bahagian untuk pemimpin dan diberi peluang lagi kepada kroni, hanya sedikit sahaja yang turun kepada sasaran yang sebenar.

Inilah hasil politik wang yang membentuk amalan yang begitu rupa. Amalan ini diakui sendiri oleh pemimpin-pemimpin utama BN.

Syarat pertama untuk mendapat projek ialah pengesahan menjadi penyokong kuat BN. Syarat pertama untuk medapat kemudahan bantuan dalam segala bidang ialah mendapat tanda tangan pengesahan daripada JKKK.

Yang menjadi mangsa terbanyak termasuk dikalangan bumiputera sendiri yang diberi hak istemewa.

Saya sangat menghargai semua kaum yang menjadi rakyat negara ini, yang menerima hakikat hak bumiputera yang perlu dibela dengan hak istemewa, kerana jumlah mereka lebih besar dan majoriti berada di kawasan yang tiada kemudahan hidup, dalam masa yang sama tanpa menafikan hak kaum lain yang terbengkalai.

Semua ketetapan ini hendaklah diamalkan dengan cara yang benar dan saksama. Jangan dipengaruhi oleh fanatik kepartaian yang lebih sempit daripada fanatik kaum yang lebih parah merbahayanya.

Hari ini kita melihat wujudnya gejala perkauman yang sengaja dibangkitkan semula. Saya suka menegaskan bahawa Islam tidak menghalang semangat kecintaan kepada kaum masing-masing kerana perkara ini menjadi naluri manusia dan Islam mewajibkan hubungan sesama keluarga secara wajib, yang dinamakan silaturrahim, yang diharamkan memutuskannya.

Semua para rasul melahirkan kecintaan kepada kaum bangsanya dalam ucapan mereka; "Wahai kaum bangsa ku abdikan diri kepada Allah".

Inilah ucapan semua para Rasul menunjukkan kecintaan mereka kepada kaum masing-masing.

Allah sendiri berfirman bahawa Dialah yang mewujudkan berbagai bangsa dan kaum, kerana hikmah memasyarakatkan manusia secara sejagat, bukannya untuk berpecah dan berkelahi sehingga berperang diantara satu sama lain.

"Wahai manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenalan diantara satu sama lain".

Berkenalan dengan makna hidup bermasyarakat, bertolong menolong dengan bertukar keperluan dan kebolehan yang berbeza dikalangan berbagai bangsa dan berbagai peringkat, menjadikan semua keperluan dapat dihasilkan secara kerjasama persaudaraan kemanusiaan.

Dalam kecintaan kepada bangsa masing-masing Allah meletakkan garis panduan, di antaranya ialah firman Allah; "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum itu mempersendakan kaum yang lain, boleh jadi kaum yang dipersendakan itu lebih daripada yang mempersendakannya, dan janganlah kaum wanita mempersendakan wanita yang lain, boleh jadi wanita yang dipersendakan itu lebih baik daripada yang mepersendakannya, dan janganlah kamu mencela sesama kamu dan jangan memberi gelaran yang menghina, seburuk buruk nama ialah fasik selepas beriman, dan sesiapa yang tidak bertaubat mereka itulah orang -orang yang zalim".

Apabila Allah mengaitkan amalan ini dengan iman dan fasik, menunjukkan bahawa mempersendakan kaum besar dosanya dalam agama Islam sehingga menjadi fasik yang tidak layak menjadi saksi di mahkamah.

Islam juga melarang fanatik kaum yang dinamakan asobiyyah. Sabda Rasulullah SAW; "Bukan daripada kalangan kami (orang Islam yang sebenar) orang yang mengajak kejalan asobiyyah, bukan daripada kalangan kita orang yang berperang di atas dasar asobiyyah dan bukan daripada kalangan kita orang yang mati kerana asobiyyah". Lalu ditanya: "Apakah asobiyyah itu?" Jawab Rasulullah SAW; "Kamu menolong kaum mu di atas perkara yang zalim".

Menunjukkan bahawa tidak menjadi salah sayangkan kaum masing-masing dan membela kaum masing-masing, tetapi salah dan sesat apabila dijadikan kecintaan kaum suatu aqidah perjuangan yang melampau.

Islam mengharamkan zalim dan menghina serta mengejek di kalangan kaum. Sehingga Rasulullah S.A.W. mengambil tindakan disiplin yang keras terhadap para sahabat yang menghina kaum.

Dalam satu peristiwa Rasulullah S.A.W. bangun berdiri apabila dibawa jenazah seorang penganut agama yahudi untuk dikebumikan. Rasulullah S.A.W. berdepan dengan jenazah, lalu dia bangun berdiri.

Diberitahu kepadanya: "Jenazah penganut agama Yahudi". Lalu dijawab, "Dia juga seorang manusia". Maksudnya menghormati kemanuasiaan, walaupun terhadap Yahudi yang paling bermusuh dengan Islam.

Islam mewajibkan penganutnya menghormati dan membantu ibu bapa dan keluarga yang beragama lain bagi menjaga hubungan kekeluargaan dan kemanusiaan.

Bermakna kecintaan kepada bangsa dan membela bangsa masing-masing yang lemah tidak menjadi kesalahan tetapi hendaklah dipelihara juga hubungan kemanusiaan.

Apabila kecintaan kepada bangsa dijadikan aqidah yang mengatasi perintah agama supaya berlaku adil terhadap semua dan bersifat kemanusiaan kepada semua adalah haram.

Perpaduan rakyat sangat penting bagi menegakkan negara , kerana rakyat adalah salah satu rukun bagi Negara. Kekukuhan perpaduan kalangan rakyat gagal diwujudkan berasaskan fanatik kaum. Dalam masa yang sama hak sesuatu kaum dalam negara tidak boleh dihapuskan sekali-kali.

Perpaduan dapat diwujudkan dengan menyuburkan sifat kemanusiaan bersama mengikut naluri bukannya dengan perasaan membuta tuli.

Semua kaum mengakui golongan bumiputra merupakan majoriti dan paling ramai dipinggirkan kerana pengurusan yang salah yang wajib diperbetulkan. Dalam masa yang sama wajib disedari bahawa kaum lain adalah hakikat menjadi rakyat tempatan yang tidak harus dilebelkan dengan kata-kata yang menyakitkan perasaan atau sendaan yang boleh mengeruhkan keadaan.

Islam meletakkan sikap sebigini adalah amalan jahiliyyiah yang wajib dikuburkan, dan Allah memuliakan sesuatu kaum dengan berpegang kepada ajaran Islam.

Sejarah Islam membuktikan bahawa kepimpinan negara Islam tidak tetap di tangan bangsa Arab sahaja. Apabila bangsa Arab meninggalkan Islam, kepimpinan bertukar kepada bangsa bukan Arab yang berpegang dengan Islam.

Keamanan dan keselamatan

Mutakhir ini kita mengalami gejala jenayah berat dan ringan yang tersebar meluas dalam keadaan yang menggerunkan. Ia menunjukkan tidak ada kehebatan undang-undang.

Menjadikan keadaan tidak selamat, daripada jalan raya sehingga dalam rumah sendiri. Sudah banyak mangsa yang dilaporkan terbunuh, hilang, cedera, kehilangan harta dan maruah diri, hilangnya peri kemanusiaan.

Menunjukkan kegagalan undang-undang, kelemahan penguatkuasaan dan badan kehakiman. Marilah kita mengaku kesilapan secara ikhlas, kerana Allah sentiasa membuka pintu taubat seluas timur dan barat, sepenuh langit dan bumi.

Jangan bersikap angkuh lalu tidak berlaku adil terhadap diri sendiri sehingga menutup kelemahan, kerana sikap begini akan membawa kemusnahan.

Pembangunan manusia

Pencapaian kemajuan negara sangat berkait dengan keadaan keselamatan yang menunjukkan kelemahan dalam dasar dan sistem pembangunan insan, kerana tidak memenuhi keperluan manusia mengikut fitrah mereka, daripada segi jasad dan roh, individu dan masyarakat.

Aspek ini berkait dengan peranan pendidikan dan media yang mempengaruhi perkembangan ilmu dan minda.

Sistem pendidikan yang gagal melahirkan insan yang beriman dan budiman, bukan sahaja berilmu. Pembangunan insan menjadi rukun pertama kepada pembangunan tamadun sesuatu umat, aspek kebendaan adalah selepasnya.

Semua negara kuasa besar yang musnah, ketika mereka berada dikemuncak kekayaan, sehingga berjaya mendirikan bangunan yang hebat, tinggi dan kukuh. Berada di kemuncak kekuatan sehingga menjajah kaum lain, tetapi tidak beriman dan budiman.

Persediaan pembangunan insan bukan sahaja bangunan pusat- pusat pendidikan disemua peringkat yang tersergam indah, dan kakitangan yang bergaji lumayan, tetapi juga sangat bergantung dengan dasar pendidikan dan sistem yang merangkumi aspek naluri manusia.

Pembangunan insan hendaklah membentuk akal dan rohani, bukan sahaja jasad yang dilihat. Islam mewajibkan semua ilmu berlandaskan iman sehingga tidak ada pemisahan di antara ilmu duniawi dan ilmu agama, kerana perhitungan dosa pahala berkait dengan seluruh kegiatan manusia.

Begitulah juga akhlak yang mulia. Inilah cara melahirkan manusia yang ikhlas kepada Tuhan dengan ilmu dan akhlak yang luhur, menjadi anggota yang berwibawa membangun umat dan negara, rela berkhidmat dengan penuh pengorbanan dan efisen.

Gejala bekerja kerajaan kerana tidak ada kerja di tempat lain, lebih suka berkhidmat di luar negara kerana mengejar gaji lebih dan keselesaan.

Masalah birokrasi, rasuah, projek terbengkalai menandakan kelemahan dalam pembangunan insan. Maka sistem pendidikan dan pentabirannya hendaklah dilakukan islah.

Peranan media sangat penting bagi melahirkan rakyat yang beriman, budiman dan berilmu. Sepatutnya media melahirkan rakyat yang minat berfikir dan berilmu dengan minat membaca dan mengkaji. Tetapi hari ini ia melahirkan rakyat yang minat berhibur dan berkhayal. Keadaan lebih merbahaya dizaman langit terbuka tanpa sempadan.

Bahasa Kebangsaan

Di awal kemerdekaan kita pernah menobatkan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan yang rasmi. Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan bagi memperkasakan bahasa kebangsaan.

Sehingga bahasa ini berjaya menjadi bahasa perantaran bebagai kaum yang diterima sehingga ke peringkat terbawah di kampung Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain, sehingga berjaya menghubungkan semua kaum, supaya mengeratkan perpaduan tanpa menafikan bahasa ibunda kaum masing-masing, dan mata pelajaran bahasa asing bagi perhubungan antarabangsa dan menimba ilmu dari seluruh pelusuk dunia.

Usaha dilakukan untuk mengambalikan semula bahasa kebangsaan menjadi bahasa ilmu yang pernah berlaku di rantau ini, sehingga digunakan oleh beratus juta manusia.

Ketika bangsa lain memperkasakan bahasa mereka, seperti Jepun, Cina, Jerman dan lain-lain sehingga berjaya menembusi kedudukan di peringkat antarabangsa dalam lapangan yang luas.

Tiba-tiba pemimpin kita kehilangan jiwa sehingga segan berbahasa dengan bahasa kebangsaannya sendiri. Keadaan ini menyebabkan kedudukan bahasa kebangsaan dipinggirkan dalam tanahair sendiri.

Pemantauan Bajet

Dalam negara maju bajet perlu dipantau. Di zaman kegemilangan Islam amalan ini pernah dilaksanakan, apabila kewangan negara bukan sahaja dipantau sumbernya, termasuklah juga pengurusan dan sasaran. Dalam negara moden berlaku secara lebih sistematik, dengan melibatkan tiga pihak iaitu politik, pentadbiran dan awam.

Politik

Belanjawan negara bukan sahaja melalui pembentangan di Parlimen untuk mengesahkannya dari segi perundangan. Yang terpenting, ia juga dipantau melalui soalan dan perbahasan wakil rakyat dan jawapan para menteri kabinet.

Pemantauan tidak berlaku dengan tepat sekiranya banyak soalan ditolak dan menteri yang bertanggungjawab tidak hadir menjawab dan memberi penjelasan. Dibimbangi ada sesuatu kecacatan yang disembunyikan dan menghalang kritikan membina.

Pihak kerajaan dan pembangkang sama-sama bertanggungjawab. Pihak pembangkang hendaklah dianggap penasihat bukannya musuh. Kalangan kerajaan juga mestilah terbuka dan telus, diberi hak yang sama untuk memberi pendapat termasuk mengkritik dengan bebas tanpa syarat yang menganggu hak memberi pendapat yang berbeza.

Pentadbiran

Kalangan pentadbiran yang mengurus dan mengendalikan secara langsung bukan sahaja memantau dari segi auditan yang khusus kepada aspek kewangan, termasuklah juga yang lain jika berlaku.

Kerana yang diambil kira bukan sahaja perbelanjaan keewangan, termasuklah juga pengurusan dan pelaksanaannya. Perkara yang menjadi tujuannya tercapai ataupun tidak.

Pihak awam

Pihak awam juga diberi hak sama memantau bajet, kerana masyarakat awam adalah sasaran utamanya. Individu yang berkepakaran melalui NGO dan media juga berhak memantau perjalanan jentera kerajaan dan politik bagi menggunakan jumlah wang yang diamanahkan. Kadang-kadang pendedahan pihak ini menyedarkan yang salah dan silap.

Penguatkuasaan OSA adalah langkah yang sangat negatif kerana menghalang hak yang adil terhadap negara bagi kebaikan kerajaan dan rakyat.

Undang-undang ini lebih bersifat menyembunyikan kesalahan dan kelemahan. Kerajaan yang kuat dan teguh bersifat berani walaupun menghadapi tuduhan dan tohmahan.
Tuduhan yang benar memberi kesempatan melakukan pembaikan dan pembetulan, tuduhan yang salah perlu dijawab, dan ada cara lain untuk bertindak terhadap penyebar fitnah. OSA menjadikan kerajaan berlagak maksum (bersih sepanjang masa).

Hanya mereka yang berjuang mengekalkan kuasa sahaja bersifat demikian. Peraturan alam daripada Allah menetapkan bahawa hanya kerajaan Allah sahaja yang kekal, semua kerajaan makhluk tidak kekal, walau pemimpinnya seorang Rasul yang mempunyai makjizat.

Allah mengesahkan satu kerajaan yang hebat tamadun kebendaannya, lalu berlagak bahawa dia sahaja yang betul dan memperbodohkan rakyat dengan kesenangan dan kemewahan. Allah berfirman; "Firaun (Raja Mesir) menyeru kaumnya dengan menyampaikan ucapan: Wahai kaumku, tidakkah aku yang memiliki kerajaan negeri Mesir ini, lihatlah sungai yang mengalir dibawah arahanku, adakah kamu tidak dapat melihatnya. Aku lebih baik daripada orang yang hina ini (Nabi Musa yang menentang kerajaan), yang tidak dapat memberi penjelasan dengan nyata. Mengapa tidak diberikan kepadanya gelang-gelang emas (tanda pangkat kebesaran) atau para malaikat datang mengiringinya? Lalu raja itu dapat menjadikan rakyatnya lemah dan bodoh, lalu mentaatinya secara melulu. Sesungguhnya mereka menjadi orang-orang yang fasik. Maka tatkala mereka melakukan perkara yang menyebabkan kami murka, kami pun memberi hukuman siksa keatas mereka, lalu kami tenggelamkan mereka semua. Maka kami jadikannya pengajaran kepada umat yang terdahulu dan contoh kepada umat yang kemudian".

Kebanyakan pengkaji sejarah zaman kini hanya melihat aspek kehebatan tamadun kebendaannya, tanpa melihat kezaliman yang tersirat membawa akibat terburuk.

Allah memerintah supaya kita sentiasa terbuka kepada kebebasan mencari kebenaran dan nasihat menasihati.

Allah berfirman; "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman, yang mengerjakan amal yang baik dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran".

Penutup

Akhirnya saya tegaskan, kejayaan bajet ini ialah meneruskan apa yang baik sebelum ini dan berani membuat muhasabah serta membetulkan kesilapan, menampung yang kurang menguatkan yang lemah. Perjalanannya hendaklah memenuhi rukun kejayaan, serta bersikap terbuka kepada semua pihak yang memberi teguran.

Saya tertarik dengan persembahan bajet yang bermuqadimah Al Quran daripada surah Al Qosas ayat 77. Ayat ini sebanarnya berkait dengan pengajaran daripada cerita Qarun yang dibinasakan bersama dengan harta kekayaannya.

Untuk merangkumi pengajarannya mestilah dibaca ayat 76 sehingga ayat 84. Sila rujuk kepada Al Quran saya petik sebahagian daripadanya; 76. "Sesungguhnya Karun adalah termasuk dikalangan kaum Musa, Maka ia berlaku zalim terhadap mereka, dan kami telah mengurniakan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah kamu terlalu bangga; Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri."

77. "Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan".

78. "Karun berkata: "Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, karana ilmu yang ada padaku," dan apakah ia tidak mengetahui, bahawasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu, tentang dosa-dosa mereka."

79. "Maka keluarlah Karun kepada kaumnya dalam kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia: "Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Karun; Sesungguhnya ia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar."

80. "Berkatalah orang-orang yang dikurniakan ilmu kepadanya; "Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang- orang yang sabar."

81. "Maka kami benamkanlah Karun beserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golonganpun yang menolongnya terhadap azab Allah. dan tiadalah ia termasuk orang-orang (yang dapat) membela (dirinya)."

82. "Dan jadilah orang-orang yang kelmarin mencita-citakan kedudukan Karun itu, berkata: "Aduhai, benarlah Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang dia kehendaki dari hamba-hambanya dan menyempitkannya; kalau Allah tidak melimpahkan kurnia-Nya atas kita benar-benar dia telah membenamkan kita (pula). Aduhai benarlah, tidak beruntung orang- orang yang mengingkari (nikmat Allah)."

83. "Negeri akhirat itu, kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi, dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa."

84. "Barangsiapa yang datang dengan (membawa) kebaikan, maka baginya (pahala) yang lebih baik daripada kebaikannya itu; dan barangsiapa yang datang dengan (membawa) kejahatan, maka tidaklah diberi pembalasan kepada orang-orang yang telah mengerjakan kejahatan itu, melainkan (seimbang) dengan apa yang dahulu mereka kerjakan."

Qorun mendapat kecelakaan kerana sumber harta yang haram dan mengurus secara zalim. Hanya modal harta tanpa modal insan yang sebenar.

Kebahagian dunia sepatutnya menjadi jambatan bahagia sementara waktu di dunia dan kebahagian kekal dihari akhirat, tiba-tiba celaka di dunia dan lebih celaka di akhirat.

Modal insan yang sebenar hendaklah membina roh dan jasad, individu dan masyarakat, bermakna dengan ilmu iman dan akhlak. Saya tidak nampak kejayaan akan dicapai dengan sistem pendidikan yang tidak berjiwa bangsa kerana meminggirkan bahasa kebangsaan, tidak beriman dan berakhlak kerana bergantung dengan guru daripada negara barat.

Kuasa pihak pentadbir dan pendidik dihapus walau pun dibekal dengan gaji yang lumayan. Dalam aspek agama pula menyalahgunakan guru siswazah agama sekadar mengajar membaca dan menulis melalui progrem JQAF. Taraf imam masjid lebih hina daripada JKKK dan Tok Batin.

Daripada mana sumber kewangan yang hendak dibersihkan kalau diantara projeknya sebuah kasino untuk bersaing dengan Resort World Sentosa di Singapura.

Bagaimana untuk mencapai taraf negara maju kalau pekerjanya masih mengemis. Isu gaji minima baru di peringkat menubuhkan majlis konsultasi.

Amalan boros masih diteruskan dengan pembiayaan projek mewah untuk kemegahan dan kepentingan segelintir manusia dan mengabaikan majoriti rakyat. Rasulullah SAW bersabda di antara tanda akhir yang membawa kemusnahan alam ialah: "Apabila kamu melihat berlakunya orang yang dahulunya berkaki ayam (tanpa kasut) tanpa pakaian kerana terlalu miskin, tiba-tiba mereka berlumba-lumba mendirikan bangunan yang tinggi."

Saya memberi amaran bahawa penerusan membina menara tinggi yang baru, bukannya kemajuan tamadun, tetapi permulaan kemusnahan tamadun.

*Perbahasan Belanjawan 2011 oleh Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS.

Jumaat, 22 Oktober 2010

Bajet Qarun: Hilang keberkatan bajet bercampur sumber haram

Oleh TUAN GURU ABDUL HADI AWANG

SETIAP kali pembentangan bajet negara, rakyat tertunggu-tunggu berapa banyak manfaat yang akan sampai kepada mereka dalam bentuk pembiayaan, perbelanjaan atau pengurangan sesuatu cukai mahupun harga barang.

Namun jarang kita melihat kepada sumber sesuatu belanjawan yang juga merupakan rukun belanjawan yang mesti diberi perhatian kerana ia elemen penting yang memastikan kejayaan atau kegagalan sesuatu belanjawan.

Firman Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat 96 bemaksud: "Dan jika sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, nescaya Kami bukakan keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka membohongi, lalu Kami bertindak ke atas mereka dengan sebab yang mereka telah usahakan."

Perkataan berkat hanya ada dalam istilah ekonomi Islam yang memberi makna faedah dunia dan akhirat. Ianya sangat bermakna setelah kita melihat kehancuran kepada manusia hari ini yang tempiasnya dirasai oleh kita di sini.

Islam mewajibkan mengambil sumber yang halal dan diambil dengan cara yang adil. Keadilan Islam tidak membatasi kaum mahupun agama. Islam melarang paksaan terhadap penganut agama lain, mengambil dan memanfaatkan sumber yang diizin oleh agama masing-masing mengikut kepercayaan mereka, dengan syarat meletakkan sumber itu ke dalam simpanan khas untuk mereka dan dibelanjakan untuk mereka serta tidak disasarkan kepada penganut Islam.

Kerajaan negeri di bawah PAS diberi arahan melaksanakan pengasingan ini. Namun pihak kerajaan masih tidak istiqamah dalam pengasingan sumber halal haram ini.

Sumber judi, arak dan riba yang nyata haram, masih bercampur dengan sumber kewangan negara. Bahkan dianggap terpenting. Inilah kenyataannya pemimpin yang mengaku menganut Islam, walaupun Allah menegaskan dengan amaran yang keras dalam hal ini.

Tidak ada dalam sejarah dunia, negara yang maju disebabkan duit arak, judi dan riba. Apa yang berlaku ialah keruntuhan negara disebabkan judi, arak dan riba.

Kerajaan Pusat bertanggungjawab dalam perlesenan judi di bawah kementerian kewangan, bukannya kerajaan negeri. Sangat malang apabila negara kita mempunyai pusat judi terbesar di rantau ini dan bertaraf antarabangsa.

Kegiataannya sentiasa bertambah dengan diizinkan kerajaan atas nama kawalan.

Perlulah diketahui, setiap yang dilarang Allah pasti ada mudaratnya. Jika ada manfaat sekalipun, ianya terlalu kecil dan tidak dapat menampung penyakit dan mudarat yang datang.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 219 yang bermaksud: "Mereka bertanyakan kamu berkenaan arak dan judi. Katakan kepada mereka pada keduanya dosa yang besar dan ada beberapa manfaatnya kepada manusia. Namun dosa kedua-dunya lebih besar daripada beberapa manfaat yang dihasilkan".

Seluruh pengkaji kemasyarakatan sama ada Islam atau bukan Islam mengakui hakikat bahawa sebarang bentuk judi membawa gejala negatif yang merugikan negara.

Namun di antara hasil kewangan negara hari ini datang daripada arak dan judi yang dibangunkan sejak zaman penjajah lagi.

Begitu juga dengan riba. Negara masih bergantung kepada hutang dan amalan berlandaskan riba. Di antara sebab kemusnahan parah menimpa sistem ekonomi liberal kapitalis ialah menularnya riba. Riba menjadi barah ekonomi khususnya dalam aspek kewangan.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 276 bermaksud: "Allah menghapuskan (berkat dan kebaikan) daripada riba dan memberi keuntungan kepada segala sedekah (yang bersifat tolong-menolong), dan Allah tidak mengasihi setiap keingkaran dan dosa".

Begitu juga dalam ayat 278 dan 279 surah Al-Baqarah, Allah SWT memberi amaran keras terhadap pelaku riba yang bemaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan mematuhi perintahnya dan meninggalkan larangannya dan tingggallah saki baki riba, sekiranya kamu benar-benar menjadi orang yang beriman Maka jika kamu tidak menunaikan (dengan menunaikan perintah Allah yang mengharamkan riba itu) bermakna kamu mengizinkan Allah dan Rasulnya mengisytiharkan perang terhadap kamu, dan jika sekiranya kamu bertaubat, maka untuk kamu modal harta kamu yang sebenar, dalam keadaan kamu tidak menzalimi dan dizalimi".

Walau pun muamalah Islam dikembangkan dalam perbankan dengan pelbagai aktiviti yang menerima pelaburan yang besar, namun kemungkaran riba masih belum dicegah menyebabkan hasil kewangan negara menjadi tidak saksama dan tepat.

Selain itu sumber kewangan negara juga diambil dengan jalan yang zalim terhadap rakyat dan negeri. Rampasan royalti petroleum daripada Terengganu dan penafian hak yang sama kepada Kelantan adalah perbuatan zalim dan haram disisi agama.

Begitu juga dengan peruntukan dan pengurusan hasil kekayaan di Sabah dan Sarawak yang masih tidak dapat menyelesaikan kemudahan asas setelah setengah abad berlalu kemerdekaan adalah perbuatan yang tidak adil.

Cukai-cukai dan denda yang tidak berpatutan membebankan rakyat yang miskin. Bayaran yang diwajibkan ke atas rakyat, lebih besar daripada yang wajib dilaksanakan kerajaan ke atas rakyat, tetapi tidak dilaksanakan dengan sempurna seperti rawatan kesihatan, pendidikan dan kemudahan asas yang masih lagi ketinggalan.

Namun, kerajaan menggunakan perkara-perkara tersebut sebagai sumber kewangan negara.

Kesimpulannya, belanjawan negara yang diambil daripada sumber yang haram seperti judi, arak, riba dan rampasan hak rakyat yang diambil dengan cara yang zalim akan mendatangkan kemudaratan kepada negara dan rakyat.

Ia menghilangkan keberkatan, satu istilah yang hanya ada dalam sistem ekonomi Islam yang bermaksud keuntungan dunia dan akhirat. -

Khamis, 21 Oktober 2010

Bajet 2011 tidak mesra orang muda

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar mendakwa Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri, Jumaat lalu tidak mesra belia dan orang-orang muda yang mewakili sebahagian besar penduduk di negara ini.

Firdaus sewaktu membahaskan Bajet 2011 petang tadi berkata, Kementerian Belia dan Sukan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan pewaris negara ini tergolong di antara kementerian yang menerima peruntukan terkecil.

"Kementerian ini di tempat ketiga terakhir dalam senarai kementerian yang ada dengan jumlah peruntukan hanya RM730 juta," kata beliau.

Menurutnya, golongan belia memerlukan sahsiah yang tinggi kerana mereka merupakan golongan harapan untuk mewarisi pemerintahan negara.

Namun ujarnya, mutakhir ini terlalu banyak masalah sosial yang membabitkan remaja.

Justeru, Firdaus yang juga Pengarah Pilihan raya Pemuda PAS Pusat mencadangkan kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan memberikan keutamaan bagi membudayakan pembangunan secara positif yang berteraskan prinsip dan nilai-nilai murni kemanusiaan serta agama untuk pembentukan belia dan remaja di negara ini.

"Kerajaan mesti menghalang konsert dan hiburan-hiburan yang melampau seperti artis Amerika, Adam lambert yang mana aksinya amat bertentanagn dengan budaya kita dan syariah Islamiah," katanya.

Tambahnya juga, permasalahan yang melanda belia hari ini sangat mencemaskan dan tindakan mengawalnya sudah sampai ke tahap yang dianggap terdesak.

"Kerajaan harus sedar, fungsi Kementerian Belia dan Sukan bukan sekadar mempersiapkan ahli sukan bagi mengejar pingat emas kepada negara, tetapi tanggungjawab utama kementerian adalah membentuk dan membina pewaris yang akan membawa negara ke mercu kejayaan dan kegemilangan," katanya.

Sehubungan itu tegasnya, peruntukan untuk kementerian ini tidak seharusnya dilihat setanding dengan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar kerana belia adalah aset kekayaan semula jadi yang bakal memainkan peranan penting dalam politik, ekonomi dan kemasyarakatan di negara ini.

"Kegagalan kerajaan mengatasi masalah di kalangan remaja dan belia adalah salah satu daripada ancaman kepada sumber tenaga manusia yang akan merugikan negara dalam jangka masa panjang," katanya.

Rabu, 20 Oktober 2010

Bajet 2011 ketepi keutamaan rakyat

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa menyifatkan Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri sebagai hilang fokus dan lari dari kehendak sebenar yang ditagih rakyat.

Sebaliknya, Datuk Seri Najib ketika membentangkan bajet tersebut 15 Oktober lalu lebih fokus kepada projek-projek yang bukan prioriti negara.

Membahaskan bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini beliau berkata, kerajaan sepatutnya mendahulukan keperluan orang awam terutama golongan miskin yang tertindas, daripada para penguasa dan orang-orang kaya.

"Apa makna bangunan Warisan Merdeka 100 tingkat menelan belanja RM5 bilion, walhal pada masa sama masih ramai golongan muda, penjawat awam, swasta yang belum mampu miliki rumah yang selesa meskipun bekerja selama 10 tahun," katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Biarpun bajet yang diumumkan mahu transformasi ke arah negara maju, namun Kerajaan kata Nasharuddin masih terkebelakang apabila masyarakat peneroka Felda masih dinafikan hak mereka.

"Peneroka Felda di Malaysia kira-kira 113 ribu orang. Malangnya tiada langsung peruntukan diumumkan kepada mereka.

"Bahkan kerajaan lebih mementingkan memansuhkan duti import pada kadar 5 hingga 30 peratus ke atas barang-barang kegemaran pelancong seperti pakaian malam, seluar dalam," katanya.

Dalam soal pendidikan pula, bajet 2011 katanya juga tidak mementingkan soal pendidikan agama dengan hanya memperuntukkan RM95 juta sahaja kepada Sekolah Agama Rakyat.

Menurutnya, dengan jumlah pelajar lebih 250 ribu, seorang pelajar sekolah agama rakyat hanya mendapat RM20, berbanding peruntukan kepada hanya sebuah Pusat Permata Pintar RM111 juta.

Dalam pembinaan lebuhraya pula, kerajaan sepatutnya mengutamakan projek pembinaan lebuhraya Pahang-Kelantan berbanding lebuhraya Gutrie-Damansara mahupun Paroi-Senawang.

Ianya kerana, beribu-ribu rakyat Kelantan terpaksa terperangkap dalam kesesakan sehingga 15 jam di musim perayaan.

"300 barangan yang tidak perlu dikenakan cukai itu bagi saya tidak diperlukan rakyat.

"Rakyat saya di Bachok tidak perlu bag tangan Gucci Yang Dipertua," katanya sebelum menutup perbahasan.

Isnin, 18 Oktober 2010

Bajet Najib tidak seimbang

http://buletinonline.net/images/stories/berita35/lbajetPRU13.gifBULETIN ONLINE

Cuba memancing undi wanita

KUALA TERENGGANU - PAS Terengganu menyifatkan Bajet Negara 2011 yang dibentang Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Dato’ Seri Najib Razak Jumaat 15 Oktober sebagai bajet yang tidak seimbang.

Pembangunan luar bandar tidak dinyatakan secara khusus dan peruntukannya hanya sebanyak RM28..3 bilion.

“Peruntukan sebanyak itu bukan hanya untuk pembangunan luar bandar sahaja tetapi disenaraikan secara bersama dengan peruntukan untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian,”kata Bendahari PAS Terengganu, Haji Muhyiddin Abdul Rashid

Menurutnya, bajet pembangunan luar bandar bagi seluruh negara adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan pembangunan bandar.

”sebanyak RM 25 bilion diperuntukan bagi projek pembangunan bercampur di Sungai Buloh dan projek bersepadu "Warisan Merdeka" dengan menara 100 tingkat, kedua-duanya bertumpu d ilembah Kelang,”jelasnya.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Hulu Terengganu bimbang, ketidakseimangan tersebut akan menyebabkan penghijrahan belia dari luar bandar berterusan dan menyebabkan peningkatan gejala sosial.

Oleh itu, katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) dibawah pimpinan Dato’ Seri Najib kini tidak mengutamakan penduduk kampung dan luar bandar.

Haji Muhyiddin juga menyifatkan peningkatan imbuhan kepada Pengerusi JKKK, Pengerusi JKKP, Tok Batin, Pengerusi JKKK Orang Asli, Pengerusi JK Kampung Baru, Pengerusi JK Kampung Baru Rangkaian dan Pengerusi JK Kampung Bagan sebagai bajet khusus untuk petugas pilihanraya Barisan Nasional (BN).

”Kita (PAS Terengganu) menyokong pendapat beberapa ahli parlimen PAS dan Pakatan Rakyat yang menyatakan bajet 2011 adalah bajet untuk pilihanraya,

”Najib cuba mempersonakan segmen wanita dengan pengumuman cuti bersalin 90 hari dan memansuhkan duti impot ke atas beg tangan, kasut, sut, baju kanak-kanak, dompet, pewarna rambut,”ujarnya lagi.

Beliau berkata, Najib yang juga Presiden Umno dengan jelas cuba memancing undi kerana pengundi wanita merupakan segmen majoriti dalam senarai pemilih di Malaysia.

BAJET 2011, BAJET ORANG MABUK?


Oleh: MAIL MATHEW

KELANGSUNGAN dan keperluan untuk bermegah-megah sangat dengan Bajet 2011 baru-baru ini tidak timbul meskipun pihak pembangkang khususnya Parti Maju Sabah (SAPP) tidak akan menghalangnya dari diteruskan; tetapi sekadar terkejut ketika mengamati intipati kandungan bajet itu hampir selari dengan fokus rangsangan bajet di masa lalu, namun rakyat gusar kerana pelaksanaannya tidak sampai ke sasaran mengikut jadual.

“Apabila rakyat mula gusar kerana bajet berbillion ringgit diumumkan setiap tahun tetapi hasilnya tidak sampai kepada kawasan. Bagaimana pun pemimpin menempelak menyalahkan pula pihak pelaksana, kononnya merekalah punca sebenar lambat melaksanakan arahan itu,” kata Naib Presiden SAPP, Jimmy Jawatah pagi tadi.

Tegasnya, keghairahan pemimpin kerajaan BN khususnya Perdana Menteri merencanakan rangsangan program pembangunan untuk dimasukkan dalam setiap bajet; nampaknya tidak terkawal langsung kerana beliau (PM) mungkin tidak mendapat ‘input’ dari pihak bawahan (wakil rakyat/Pengarah) status keperluan (ditambah nilai atau dibatal) projek pembangunan di masa lalu.

Jimmy yang juga Pengerusi CLC SAPP Tenom dan bekas Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) ketika era kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) seterusnya berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Pembantu Menteri Pertaniandan Asas Tani Sabah, Datuk Bobbey Suan baru-baru ini, bahawa pihak pelaksana tidak konsisten dengan tanggung jawabnya mensasarkan sesuatu pembangunan itu disasaran yang tepat mengikut arahan yang dikeluarkan.

Beliau berkata, selain bukti yang telah disebut Bobbey tentang kelemahan meletakkan sasaran tepat pengagehan Program Bantuan Rumah (PBR) kepada miskin dan miskin tegar, malah kualiti pembinaannya juga termasuk saliran najis dan pendawaian tidak sempurna dan tidak mengikut piawaian yang betul.

“Sebenarnya, masalah seperti ini sudah berlaku sejak BN bertapak di Sabah tetapi jentera pentadbiran kerajaan tidak pernah menguatkuasakan peraturan tugas pemantauan setiap projek yang telah siap perlu disahkan sebelum Perintah Am Kerja (GWO) itu ditanda tangani,” tegas Jimmy.

“Bantuan PBR juga kita mendapat tahu bahawa ia sudah diselewengkan kerana apa sebab mereka yang dikategorikan sebagai berkemampuan tetapi diberi kelulusan memiliki PBR? Malah ada pula suatu ketika pernah dilaporkan dalam media bahawa seorang pemimpin wanita dari salah satu parti komponen BN mendapat PPRT (sebelum PBR),” tambah beliau.

Nampaknya, tambah Jimmy lagi, apabila ramai pemimpin kerajaan BN khususnya wakil wakil rakyat yang sejak akhir-akhir ini iaitu selepas pengumuman Bajet 2011 turut mempertikaikan kelemahan pihak pelaksanaan, sudah pastilah apa yang disuarakan pembangkang khususnya SAPP dalam masalah tersebut sebelum ini; bukanlah niat pembangkang bermain politik membabi buta tetapi dengan sendirinya telah terbukti dan diakui BN menerusi kenyataan-kenyataan pemimpin mereka sendiri.

“Inilah yang dikatakan sebagai sudah terantuk barulah terngadah atau ‘Bajet Orang Mabuk Tuak’ namun ia maseh belum terlambat untuk diperbaiki demi mensejahterakan bajet yang baru diumumkan itu,” kata Jimmy sambil mengharapkan agar pemimpin BN akan bersedia berubah kearah yang lebih positif dalam konteks membangunkan rakyat di sesuatu kawasan.

Kantong Kering, Umno-BN Terpaksa Naik Harga Rokok Diluar Bajet

Oleh Fazli Othman

azan15SHAH ALAM - Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail meminta kerajaan Umno-Barisan Nasional mengharamkan rokok dijual daripada terus menaikkan harganya yang ternyata membebankan rakyat khususnya di kalangan yang berpendapatan rendah.

Katanya, cadangan untuk menaikkan harga rokok memang bagus tetapi apa yang memusykilkan adalah kenaikan itu dilakukan di luar waktu bajet dan ini merupakan luar daripada kebiasaan.

"Biasanya , ia akan dibincangkan di peringkat Kabinet dan akan dibentangkan di Parlimen, tidak kiralah apa barangan pun tapi ini merupakan kenaikkan harga barang.

"Kalau betul tidak mahu, baik haramkan sahaja. Ini tidak, kerajaan juga yang kutip cukai hasil daripada penjualan rokok.

"Kalau betul hendak haramkan, buat sahaja pengisytiharan. Dalam kes ini bukannya tentang kerajaan tidak mahu menggalakkan rakyat merokok tapi pasal nak kutip cukai. Ini menunjukkan kerajaan mahu pendapatan lebih daripada hasil tersebut," komen Azan kepada Suara Keadilan.

Berhubung isu judi yang dibangkitkan oleh Ketua Pemuda Pulau Pinang, Datuk Reezal Merican Naina Merican, Azan berkata beliau amat berterima kasih kerana menyedarkan rakyat tentangnya.

"Kerajaan Persekutuan tanpa hasil judi sebenarnya tidak ada duit yang secara tradisi dibayar oleh tauke judi. Baguslah isu ini di bawa oleh Umno, rupa-rupanya yang amat bergantung kepada hasil judi adalah mereka sendiri.

"Agenda beliau adalah membantu Pakatan Rakyat yang akhirnya membawa kesedaran kepada rakyat," ujar beliau.

Katanya lagi, beliau akan membangkitkan isu hasil perjudian semasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan bajet nanti.

"Isu ini akan membawa Umno tersungkur dalam Pilihan Raya Kecil DUN Galas sehinggalah Pilihan Raya Umum ke-13 nanti," tambah Azan

Belanjawan Najib Bersandarkan Dasar Lama Mahathir

Oleh Suara Keadilan

lks5SHAH ALAM - Belanjawan 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri Jumaat lalu tidak mencerminkan kesungguhan melaksanakan apa yang terkandung di dalam Model Ekonomi Baru malah mengambil acuan dan kerangka polisi lama yang telah gagal serta memerangkapkan Malaysia dalam ekonomi pendapatan sederhana selama lebih sedekad sehingga menjurus negara ke arah status bankrap menjelang 2019.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata ini terbukti apabila Datuk Seri Najib telah terjerumus dalam kegilaan mega projek seperti mentornya, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan cadangan pembinaan Menara Warisan Merdeka berharga RM5 bilion

"Sekiranya Najib begitu komited terhadap MEB berdasarkan kepada transformasi ekonomi, sosial dan kerajaan, tidakkah lebih elok bagi Malaysia mencapai sasaran sebagai negara dua puluh teratas di kalangan negara paling kurang gejala rasuah di dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International? Ataupun mensasarkan agar negara mempunyai sekurang-kurangnya 10 universiti yang tergolong dalam 100 universiti terunggul di dunia?

"Malah Najib perku ditanya adakah beliau sebenarnya cuba menandingi Dr Mahathir yang membina Menara Berkembar Petronas? Atau adakah Najib mempunyai cita-cita untuk membina bangunan paling tinggi di Asia?" sindir Kit Siang dalam kenyataan medianya semalam.

Beliau berkata Belanjawan 2011 tidak menyakinkan rakyat bahawa bajet pertama hasil MEB mampu mentransformasi ekonomi kepada berpendapatan tinggi bagi mencapai status negara maju menjelang 2020 dengan memberi perhatian kepada modal insan, perkhidmatan awam yang efisien, suntikan pembaharuan dalam sektor swasta dan peluang sama rata kepada semua warga Malaysia.

Jelas beliau, umpamanya Talents Corporation di bawah Pelan Induk Talent Kebangsaan yang akan ditubuhkan awal tahun depan bagi membangunkan jaringan pengkalan data sumber kemahiran seluruh dunia tidak mungkin berjaya jita tidak ada kemahuan politik yang kuat daripada pentadbiran Najib.

Malah ketidak yakinan terhadap kemahuan politik Najib untuk melakukan perubahan terserlah apabila Umno berusaha untuk mendapatkan sokongan daripada kalangan pesara kerajaan.

Kata Kit Siang ketika melancarkan Kelab Umno bagi pesara kerajaan di Seri Perdana Sabtu lalu, Najib meluahkan rasahairan mengapa golongan tersebut menyokong oposisi.

Malah Najib menyatakan hanya Umno mampu menjamin kelangsungan hidup rakyat Malaysia disamping menyalahkan oposisi kononnya menyoal hak istimewa orang Melayu, pertikaikan doakan kesejahteraan untuk Yang DiPertuan Agong serta cadangan membuka UiTM kepada bukan Melayu.

"Dalam sekelip mata Najib telah mendedahkan dasar 1Malaysia dan semua cakap mengenai transformasi ekonomi, sosial dan kerajaan agar negara melepasi perangkap ekonomi sederhana adalah kosong dan tidak bernilai sama sekali.

"Apa yang lebih dahsyat, ucapan beliau yang menghina komponen Barisan Nasional seperti MCA, Gerakan, MIC, SUPP dan PBS and other sebagai tidak relevan kepada Umno lantas meruntuhkan polisi 1Malaysia beliau," kata Kit Siang

Bajet utamakan Permata Pintar anak tirikan SAR, dakwa Pemuda PAS

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berkata pihaknya kesal dengan Bajet 2011 yang secara khusus memperuntukkan RM111 juta bagi agenda Permata memperkasa pendidikan awal berbanding hanya RM95 juta sebagai bantuan per kapita untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) rendah dan menengah.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Fadhil Osman berkata, peruntukan RM111 juta digunakan untuk pembangunan dan pembinaan Fasa II Kompleks Sekolah Permata Pintar, membina 32 Pusat Anak Permata Negara (PAPN) serta membiayai operasi 52 premisnya yang telah siap.

“Sedangkan jumlah yang lebih kecil iaitu RM95 juta pula diperuntukkan untuk keseluruhan SAR rendah dan menengah yang jauh lebih banyak bertebaran di negara ini,” kata beliau merujuk kepada kandungan Bajet 2011 yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat Jumaat lalu.

“Bajet ini ternyata tidak adil dan berat sebelah.

“Peranan SAR yang jauh lebih penting dalam mendidik dan menjadikan generasi insan soleh dan solehah gagal difahami oleh Perdana Menteri.

“Keadaan SAR juga kebanyakannya dalam keadaan daif kerana kurangnya perhatian terhadap aspek pembangunannya. Kebajikan guru dan murid terabai, kemudahan dan fasiliti yang tidak berapa lengkap, sistem pengajaran yang tidak sempurna, serta pelbagai kelemahan yang perlu diperbaiki,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Fadhil menambah apa yang pasti, kebanyakan SAR hanya diusahakan oleh individu atau organisasi tertentu dan mereka yang banyak berkorban bagi memastikan SAR terus hidup dalam masyarakat.

“Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan tidak menafikan peranan Permata Pintar iaitu Pusat Asuhan Kanak-kanak prasekolah juga sangat penting dalam mendidik generasi akan datang, namun perhatian istimewa kerajaan terhadap Permata amat mendukacitakan.

“Dalam keadaan ia baru ditubuhkan beberapa tahun lalu, Permata sudah mendapat tempat yang penting dengan peruntukan tahun 2011 diberikan sangat tinggi,” kata beliau.

Katanya, umum mengetahui bahawa projek Permata Pintar adalah projek yang diusahakan oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

“Soalnya, mengapa Perdana Menteri sanggup mementingkan projek isterinya sedangkan projek yang diusahakan rakyat iaitu SAR dianggap kurang penting.

“Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan merasa kecewa meskipun Rosmah tidak mempunyai sebarang jawatan rasmi dalam kerajaan, khususnya Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Pelajaran Malaysia tetapi program Permata yang diuruskannya nampaknya seakan mendapat bajet istemewa,” kata beliau lagi.

Sehubungan itu kata Fadhil, ternyata slogan Perdana Menteri rakyat didahulukan merupakan omongan kosong.

Katanya, projek milik rakyat seperti SAR ini terlalu sukar mendapat bajet tambahan.

“Sepatutnya, apalah salahnya bajet tahun 2011 diberikan peruntukan besar bagi membaik pulih SAR, menaik taraf guru, menambah elaun guru-guru, serta memberi pelbagai kemudahan khusus untuk meningkatkan kualiti SAR seluruh negara.

“Kerajaan juga perlu menggalakkan penubuhan SAR di seluruh negara sebagaimana Permata Pintar bagi mengurangkan penyakit yang menimpa masyarakat khususnya remaja.

“Kerajaan tidak akan rugi sekiranya bajet yang besar sebagaimana untuk Permata Pintar diberikan kepada pembangunan SAR, kerana hasil yang akan dituai bakal menguntungkan negara dan generasi akan datang,” ujar beliau.

Ahad, 17 Oktober 2010

Pembangkang bertegas bajet 2011 bajet pilihan raya

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Sungguhpun dinafikan oleh pemimpin kerajaan, namun pihak pembangkang tetap berpendirian bahawa Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini adalah bajet pilihan raya.

Mereka mendakwa pelbagai insentif yang diumumkan termasuk tidak menaikkan kadar tol lebuh raya Utara Selatan (Plus) bagi tempoh lima tahun, pemberian bantuan kewangan khas kepada penjawat awam serta penetapan gaji minimum bertujuan memenangi hati rakyat.

Anggota Parlimen Bachok yang juga Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa mendakwa apa yang dibentangkan itu secara jelas menjurus ke arah pilihan raya.

“Pembentangan bajet ini jelas bahawa ia untuk pilihan raya umum ke-13 akan datang. Jangkaan kami sebelum ini, meletakkan (pilihan raya) daripada bulan enam ke atas, tetapi dari apa yang dibentangkan ini, bagi saya mungkin lebih awal daripada bulan enam,” katanya kepada pemberita.

Namun beliau menyambut baik peruntukan kepada sistem perbankan dan kewangan Islam yang disifatkannya mampu berkembang kukuh untuk tahun hadapan.

Sentimen sama turut disuarakan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa bajet yang dibentangkan Najib tidak menyeluruh dan tidak mencapai matlamatnya dalam membantu rakyat.

“Saya tengok ada kelemahan besar (dalam bajet ini) kerana masalah rasuah, penyelewengan dan pembaziran tidak disebut dan hanya disebut projek-projek mega yang seperti biasa akan memberi manfaat yang lebih besar berbilion kepada kroni dan keluarga, ratus ringgit kepada rakyat,” katanya yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Anwar yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh mendakwa bajet kali ini tidak mempunyai hala tuju yang jelas sebaliknya hanya membentangkan projek-projek gergasi yang akan dilaksanakan dan memberi manfaat kepada golongan tertentu berbanding keperluan rakyat.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata beliau tertarik dengan peruntukkan yang diumumkan oleh kerajaan kepada Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang boleh memperkasakan modal insan di negara ini.

“Cumanya saya tidak nampak macam mana peruntukkan ini digunakan dengan berkesan dan saya berharap kerajaan dapat melaksanakan dengan lebih berkesan strategi yang direncanakan menerusi peruntukan belanjawan hari ini,” katanya yang juga Anggota Parlimen Kepong.

Anggota Bebas dari Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mengalu-alukan cadangan kerajaan untuk memberikan pinjaman 100 peratus kepada golongan eksekutif muda untuk memiliki rumah sendiri yang berharga bawah RM220,000.

Walau bagaimanapun, beliau berharap kerajaan harus mengenakan syarat terhadap pihak pemaju dalam memastikan kuota pemilikan rumah diagih secara adil dan saksama bagi mengelakkan monopoli.

“Sekurang-kurangnya, kerajaan harus memastikan kuota pemilikan rumah dimiliki oleh Bumiputera sebanyak 30 hingga 50 peratus,” katanya.

Bajet 2011: BN saudagar mimpi perdagang dongengan, kata Hadi

THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa Bajet 2011 yang dibentangkan semalam membuktikan agenda ekonomi dan transformasi dibawa Datuk Seri Najib Razak sebenarnya “berpusing di takuk lama dengan diberi penjenamaan semula.”

Kata beliau, kerajaan pusat pimpinan BN cuba menjadi “saudagar mimpin yang memperdagangan dongengan” dengan angkta-angka besar dalam bajet kali ini dan pengumuman projek-projek mega.

Dalam ucapan Bajet 2011 semalam, Najib yang juga Menteri Kewangan dan Perdana Menteri berkata, “kita bukannya saudagar mimpi yang memperdagang dongengan.”

“Kita adalah parti pembina harapan yang berpijak di bumi nyata.

“Apa yang kita capai bukanlah secara tidak sengaja, ibarat bulan jatuh ke riba, tetapi ia hasil dari perencanaan yang jelas, ketegasan pelaksanaan, perancangan yang rapi serta pengorbanan yang tinggi,” kata Najib.

Dalam reaksinya, Hadi (gambar) juga medakwa Bajet 2011 ditaburkan dengan angka yang indah-indah bersifat kosmetik, dengan mengkesampingkan pembinaan manusia yang menjadi enjin melaksanakan agenda perubahan ekonomi berkenaan.

Ahli Parlimen Marang ini memberitahu akibat dari penyelewangan, pembaziran dan rasuah yang bermaharajalela dan sistem pemerintahan yang tidak bersifat adil kepada rakyat teramai, maka kesejahteraan rakyat tentunya akan berada di takuk lama.

“Inilah yang ditekankan oleh PAS bahawa asas terbesar ialah kerajaan yang dipacu oleh Umno-BN telah gagal dalam mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru setelah diberi peluang memerintah selama lebih 50 tahun,” kata Hadi dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Justeru, kata Hadi, bagaimana mungkin kerajaan yang sama boleh melakukan perubahan dengan satu dasar lain pula sedangkan sistem pemerintahan dan politik peras ugut dan penyisihan komponen ekonomi terhadap rakyat di luar bandar terus berleluasa.

Beliau menambah pada masa yang sama fokus kerajaan juga terus tersasar atas sebab-sebab tidak masuk akal, umpamanya peruntukan untuk program Pusat Anak Permata Negara yang hanya dinikmati oleh segelintir kecil pihak dan masih di peringkat percubaan menikmati dana sebanyak RM111 juta berbanding RM100 juta untuk meningkatkan taraf hidup Orang Asli dan Pribumi, dan lebih parah lagi berbanding peruntukkan RM95 juta yang diperuntukkan sebagai bantuan perkapita untuk sekolah agama rakyat (SAR) rendah dan menengah.

Kata Hadi, apa yang penting ialah bukannya jumlah angka-angka yang sedap didengar, umpamanya dibentangkan bahawa pendapatan per kapita meningkat 6.1 peratus kepada RM28,000 dan kononnya kadar pengangguran di takuk 3.5 peratus sedangkan realitinya rakyat di luar bandar tidak menikmati faedah langsung daripada peningkatan angka-angka sedemikian bahkan jauh sekali dari menikmati kesejahteraan hidup akibat dari perubahan angka-angka ini.

“Inilah hakikatnya,” kata beliau.

“Kita katakan bahawa kerajaan Umno-BNlah sebenarnya yang menjadi ‘saudagar mimpi yang memperdagangkan dongengan” bahkan mengelirukan rakyat dengan angka-angka sedemikian.

“Projek-projek pelaburan juga dilihat gagal dalam melakukan anjakan terhadap taraf hidup rakyat luar bandar yang miskin dan memerlukan,” katanya.

Hadi berkata,kerajaan juga nampaknya tidak cuba belajar dari kesilapan lalu dengan mengimpikan projek pembangunan Warisan Merdeka dengan menara 100 tingkat beserta kemudahannya yang bakal menelan belanja asas RM5 bilion sedangkan projek koridor yang sepatutnya lebih memberi manafaat kepada rakyat hanyalah menerima secebis peruntukan sahaja.

“Contohnya peruntukan untuk East Coast Economic Region (ECER) hanyalah RM178 juta iaitu dalam lingkungan 3.6 peratus dari projek Warisan Merdeka.

“Ini tidak lagi dicampur dengan kemungkinan projek RM5 bilion itu meningkat sebagaimana yang sentiasa berlaku dalam pemerintahan kerajaan Umno-BN,” kata beliau.

Hadi menambah, agensi yang sepatutnya melaksanakan amanah untuk membangunkan ekonomi rakyat miskin, kini telah menumpukan pula kepada projek mega sebegini kerana pimpinan Umno-BNlah sebenarnya “bermimpikan projek” lantas “memperdagangkan tanggungjawab membangunkan ekonomi rakyat.”

“PAS menekankan peningkatan taraf hidup rakyat miskin perlulah melalui fasa di mana rakyat teramai ini perlu merasakan bahawa mereka adalah menjadi sebahagian dari enjin aktiviti ekonomi bahkan mereka juga menjadi pemain dalam memperkasakan pembangunan negara,” katanya