Putus sokongan sosial, kesan ekonomi faktor kes bunuh diri meningkat
KEJADIAN bunuh diri yang melibatkan pesakit COVID-19 merupakan suatu tragedi yang sangat dikesalkan. Ia mengingatkan kita tentang bahaya COVID-19 yang tidak terhad kepada gejala fizikal semata-mata.
Banyak kajian diperingkat global secara konsisten menunjukkan perkaitan rapat diantara epidemik COVID-19 dan tekanan psikologi.
Kajian awal di China pada awal krisis COVID-19 pada tahun 2019 misalnya menunjukkan 35 peratus melaporkan gejala tekanan psikologi. Begitu juga kajian di Amerika Syarikat yang menunjukkan 45 peratus daripada kalangan dewasa mengakui kesan negatif pandemik ini kepada kesihatan mental mereka.
Pandemik ini secara tidak langsung memberi kesan psikologi dalam pelbagai bentuk. Antaranya ialah kesunyian, keresahan melampau, ketakutan terhadap risiko jangkitan, kemurungan dan gangguan tidur.
Dalam masa yang sama berlaku juga kesan sekunder seperti meningkatnya kes bunuh diri, keganasan rumah tangga dan penyalahgunaan dadah.
Pola peningkatan kes bunuh diri susulan pandemik telah diperhatikan sejak berlakunya epidemik Spanish Flu dan SARS di Hong Kong sebelum ini. Kajian juga menunjukkan kesan langsung dan tidak langsung ini berterusan pada tempoh yang lama memandangkan sebahagian impak pandemik ini berlangsung pada tempoh yang lama, misalnya kesan sosial dan ekonomi.
Antara yang dikenalpasti sebagai berisiko tinggi adalah mereka yang mempunyai sejarah masalah mental, mereka yang tinggal di kawasan yang berlaku banyak kes, mereka yang kehilangan ahli keluarga akibat COVID-19 dan pekerja kesihatan yang bekerja secara langsung dengan pesakit.
Secara spesifiknya, terdapat tiga faktor utama yang menyumbang kepada impak kesihatan mental dalam kes COVID-19 ini – ketidaktentuan, terputus sokongan sosial dan kesan ekonomi.
Interaksi antara faktor-faktor inilah yang akhirnya menyumbang kepada meningkatnya risiko bunuh diri bagi individu yang terkesan.
Apa yang boleh dilakukan?
Pencegahan bunuh diri memerlukan usaha kolaboratif semua pihak. Tidak ada suatu pendekatan yang spesifik berkesan untuk semua keadaan. Ini kerana fenomena bunuh diri itu sendiri bersifat multifactorial.
Secara umum, pencegahan mesti belaku dalam tiga peringkat – pencegahan kepada masyarakat umum, pencegahan dalam kalangan mereka yang berisiko dan pencegahan di kalangan mereka yang sudah mempunyai sejarah penyakit mental dan risiko bunuh diri.
Pencegahan umum boleh berlaku dalam bentuk meningkatkan kesedaran mengenai tanda awal, membentuk sokongan sosial kepada mereka yang terkesan, bantuan praktikal seperti kewangan, memperbaiki akses kepada bantuan awal bagi mereka yang berisiko.
Kerajaan juga perlumeningkatkan keupayaan perkhidmatan dengan mengembeling tenaga semua pihak kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan, komuniti dalam membantu mereka yang berisiko
Keluarga pula perlu ambil perhatian, beri sokongan, bertanya khabar, mengambil berat tentang perkembangan ahli keluarga.
Masyarakat secara umum, perlu cakna tentang isu ini, jauhi stigma, elakkan penyebaran berita palsu dan komen-komen di media sosial yang boleh menyumbang kepada berlakunya risiko bunuh diri.
Di peringkat hospital, seperti mana pada fasa pertama, perkhidmatan sokongan psikososial COVID-19 perlu diperkasa bagi mengesan mereka yang berisiko dan memberi bantuan awal sewajarnya.
* Dr Rozanizam Zakaria
Penolong Professor dan Pakar Psikiatri UIAM
Naib Presiden I-Medik
Tiada ulasan:
Catat Ulasan