Jumaat, 16 Oktober 2020

Usul undi tak percaya PM, siapa beri Ku Li harapan?

Athirah Huda Zalhe

 

Petanda signifikan, sekian lama veteran UMNO itu bertapa di Gua Musang

BANGI – Siapa yang berada ‘di belakang’ Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sehingga beliau bersuara menuntut usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibahaskan di Dewan Rakyat?

Persoalan itu ditimbulkan Pemerhati Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Isa Hamzah susulan surat maklum balas Tengku Razaleigh atau Ku Li, baru-baru ini.

Terdahulu, Tengku Razaleigh meminta usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri diberi keutamaan untuk dibahas pada persidangan Dewan Rakyat akan datang, yang dijadual 2 November ini.

Gesaan itu dibuat menerusi surat dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 25 September lalu, yang dikongsi kepada media, kelmarin.

Mengulas perkara itu, Dr Isa tertanya-tanya, siapakah yang ‘memberi harapan’ kepada veteran UMNO berkenaan untuk kembali bernafas, setelah sekian lama tidak muncul.

“Ini satu perkembangan menarik bagi saya, tentunya Ku Li keluar dari Gua Musang setelah lama bertapa di sana.

“Apabila dia keluar, seperti satu tanda yang signifikan, apa yang telah berlaku? Siapa yang beri beliau harapan untuk kembali bernafas?,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Bahkan, Dr Isa berkata, sehingga kini tidak jelas ke arah mana kecenderungan Tengku Razaleigh.

“Saya pun tertanya-tanya daripada mana sumber kekuatan beliau. Nampaknya menariklah untuk kita tahu siapa yang menyokong beliau.

“Daripada situ kita akan tahu apa yang berlaku di dalam UMNO. Sekarang nampaknya belum jelas,” katanya.

Surat Tengku Razaleigh itu merujuk usul tidak percaya terhadap Muhyiddin yang dikemukakan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad pada persidangan Dewan Rakyat Mei lalu, dan dibawa pada persidangan Julai.

Tengku Razaleigh berpandangan usul itu penting dalam menentukan Perdana Menteri mendapat kepercayaan Dewan Rakyat selaras dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Surat berkenaan tular ketika keadaan politik negara sedang tidak menentu ekoran dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan majoriti kukuh untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

Selain Anwar yang menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober lalu, Tengku Razaleigh juga turut dipanggil menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun, Setiausaha politik Tengku Razaleigh mendakwa bahawa pertemuan itu hanyalah untuk mendapatkan padangan mengenai situasi semasa politik negara atas kapasiti beliau sebagai Ahli Parlimen paling lama berkhidmat.

Dalam beberapa hari lalu juga, sekeping foto Tengku Razaleigh bersama Dr Mahathir serta isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali tular di media sosial.

Foto tular itu menimbulkan pertikaian apabila ia didakwa kononnya pertemuan empat tahun lalu, tetapi kebanyakan pengguna media sosial menganggap ianya adalah baru.

Tiada ulasan: