Sabtu, 17 Oktober 2020

Umno penyumbang terbesar dalam PN, layak dapat lebih, kata Tajuddin

MALAYSIAKINI


 PETALING JAYA: Seorang ahli Majlis Tertinggi Umno mengesahkan parti itu mahu kedudukan lebih kukuh dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan diberikan jawatan timbalan perdana menteri dan lebih banyak jawatan dalam kementerian strategik.

Tajuddin Abdul Rahman dipetik sebagai berkata, Umno tidak diberikan pengiktirafan sewajarnya, walaupun menyokong pembentukan PN dan mempunyai paling ramai ahli Parlimen dalam pakatan itu.

“Kami menyumbang jumlah kerusi tertinggi di Parlimen, jadi mungkin jawatan timbalan perdana menteri perlu diberikan kepada kami,” katanya dipetik Star Online.

Kenyataannya mengesahkan laporan FMT semalam yang memetik sumber sebagai berkata, ahli Umno berharap Kabinet dirombak untuk mengukuhkan kedudukan parti itu dalam gabungan parti pemerintah itu dan mendapat jawatan timbalan perdana menteri.

Sumber memberitahu FMT, sesetengah ahli Umno tidak selesa dengan “satu atau 2 menteri PPBM yang mempunyai banyak kawalan ke atas Muhyiddin Yassin”.

Hari ini, Tajuddin memberi contoh Menteri Kanan, Mohamed Azmin Ali dan 9 ahli Parlimen yang meninggalkan PKR untuk menyertai PN, di mana mereka semua dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri.

“Malah PAS, parti lebih kecil daripada Umno, diberikan jawatan penting. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli Umno,” kata Tajuddin.

Beliau berkata, Umno diberikan portfolio berkaitan sains, inovasi dan perpaduan, tetapi parti itu “tidak dapat menyumbang dengan banyak” dalam portfolio itu, sebaliknya ia patut diberikan kementerian berkaitan ekonomi, perdagangan serta pertanian.

Tajuddin menjelaskan Umno tidak mengejar ” kuasa demi kuasa”, tetapi jawatan penting akan membantu parti itu berkhidmat lebih baik kepada rakyat.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu mengulangi Umno sedang mempertimbangkan untuk menyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim, jika tuntutan parti itu tidak dipenuhi ahli PN.

Bagaimanapun, katanya, Umno tidak mahu bekerjasama dengan DAP.

Selasa lalu, Umno mengumumkan ia sedang mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong PN, jika syarat baru yang dikemukakan mereka tidak dipenuhi.

Tiada ulasan: